Sunday, August 21, 2011

Iwan Syahman dedah cerita insaf




RASA keinsafan itu terdetik sejak tiga tahun lalu, sewaktu dia bersendirian memikirkan kehidupan lampau. Kegagalan perkahwinan kedua bersama bekas isteri, Wan Rafidah Abu Bakar menyebabkan sepi semakin mencengkam diri.

Ia sekaligus membuatkan kehidupan harian menjadi kucar-kacir dan seakan-akan tiada makna. Lelaki ini kemudiannya nekad untuk mencari ‘sesuatu’ yang mampu mengisi kekosongan rohaninya.

“Di kala saya sedang leka memikirkan makna kehidupan sebenar, tanpa disedari minda saya menerawang entah ke mana.

“Semuanya ibarat air yang dituang ke dalam gelas. Bila penuh, ia tertumpah di atas lantai seolah-olah tiada erti. Saya anggap kehidupan saya seperti pembaziran,” dedah awal lelaki ini pada pertemuan di pejabat Utusan Malaysia, pagi Isnin lalu.

Penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu dangdut kontemporari sekitar tahun 1990-an ini mengakui bahawa ‘kehanyutan’ lampau berpunca dari kelalaian dari perintah Maha Pencipta. Apabila terlalu leka dengan keseronokan sementara dunia.

Namun begitu, Iwan bersyukur kerana diberi hidayah bagi memulakan episod hidup baru.

“Saya akui punya sedikit pengetahuan asas agama. Saya perlu banyak mengimbas dan mengulangkaji ibadah yang saya tinggalkan sebelum ini.

“Banyak ilmu keagamaan diketahui selepas menyertai kumpulan tabligh. Ternyata kumpulan itu amat sesuai buat diri saya yang jahil agama,” katanya jujur.

Katanya, perubahan yang dilakukan itu berniat tulus murni. Tidak pernah ada tujuan menunjuk-nunjuk.

“Saya pernah mengalami zaman jahiliah seperti mana umat terdahulu. Macam-macam jenis maksiat pernah dilakukan. Tapi biarlah urusan yang lepas itu lepas,” jelasnya lembut.

Hidayah & dangdut

Wan Syahman Wan Yunus, 50, atau lebih dikenali dengan panggilan Iwan Dangdut ini adalah antara artis yang menerima hidayah mengejut seperti komposer Sham Kamikaze dan pelakon drama Mek Salmah Dari Scotland, Catriona Ross.

Justeru itu, penghijrahan ke arah kebaikan tersebut tidak pernah menghalang dirinya untuk terus aktif dalam industri seni tanah air.

Tambahan pula Iwan adalah antara peneraju irama dangdut yang kerap kali dikaitkan dengan Ratu Dangdut, Amelina.

“Dalam soal ini, saya pernah berserah kepada-Nya dan dia beri saya petunjuk. Tapi bukan dengan memilih lagu bergenre dangdut. Kalau saya teruskan juga, macam mana dengan wang penghasilannya?

“Saya perlu lebih menitik beratkan tentang sumber kewangan kerana mahu mencari keredaan Tuhan. Tidak mahu terlibat sama sekali dengan masa silam saya. Justeru, cara terbaik adalah membuat lagu-lagu berunsur dakwah. Mengajak orang membuat kebaikan dan mengingatkan mereka,” katanya berterus-terang.

Merujuk tentang persoalan mengguna pakai nama pentas Iwan Syahman menggantikan Iwan Dangdut, lelaki ini punya alasan sendiri.

“Saya berharap agar penghijrahan ini bersifat menyeluruh. Bukan setakat dalaman malahan keseluruhan diri saya. Nama itu terpaksa ditukar sebab saya lebih selesa dengan jati diri sendiri.

“Biarpun saya tahu risiko yang terpaksa diterima selepas perubahan itu. Memang ada yang tak perasan apabila saya perkenalkan diri dengan nama Iwan Syahman berbanding Iwan Dangduti,” jelasnya.

Pemilik E-Wan Entertainment ini juga berharap agar album dakwah berjudul Segalanya Allah yang mengandungi sepuluh buah lagu itu mampu mengubati kerinduan di kalangan peminatnya.

Antara lagu berunsur nasihat yang terkandung dalam album itu adalah Segalanya Allah, Shalat Dulu, Fadhilat Shalawat, Semua Allah Punya, Kalimah Toyyibah, Seksa Neraka, Pengasih dan Ke Taman Syurga.

Mengulas tentang keluarga barunya, Iwan memberitahu bahawa dia cukup bahagia dengan perkahwinan ketiganya bersama Evie Surriyanti, 25, yang dinikahi 20 Februari 2009.

Wanita yang berasal dari Permatang Siantar, Medan, Indonesia itu telah banyak menyokong perubahan niat barunya itu. Rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran permata hati, Wan Nur Sumayyah yang kini berusia setahun enam bulan.

Segala aktiviti harian Iwan dikongsi dalam laman sosial www.facebook.com/ Iwan Syahman atau boleh dihubungi menerusi e-mel eone@hotmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: