Saturday, August 20, 2011
Azri, Lena bukti kemampuan
Baik Mohamad Azri Abdullah(Azri) mahupun Lenaber Haidir(Lena), kedua-duanya mempunyai bakat tersendiri dalam bidang nyanyian. Malah mereka juga antara peserta AF9 terbaik dan sering mendapat pujian dalam program itu.
Biarpun masih baru dalam dunia seni tanah air, kedua finalis program realiti Akademi Fantasia musim ke sembilan (AF9) ataupun terakhir ini, tidak terlepas daripada gosip dan kontroversi yang mampu menggugat nama mereka sebagai pelapis baru.
Kisah mengenai mereka dikatakan terbabit dengan “aksi panas” di Bali baru-baru ini, menjadi buah mulut orang. Bagaimanapun desas-desus itu akhirnya hilang begitu sahaja.
Pertemuan Zass dengan kedua pendatang baru ini, di majlis berbuka puasa anjuran pihak Astro baru-baru ini, merungkai perkara sebenar yang berlaku antara mereka. Malah, Azri dan Lena, cukup mudah memberikan kerjasama.
“Masa kat Bali tu kami buat rakaman Trek Selebriti dan memang ada keluar bersama-sama. Tapi taklah seperti yang dikatakan. Kami terus balik ke bilik masing-masing. Saya dan Lena selesa berkawan dan tak lebih dari itu.
"Alhamdulillah, cerita-cerita panas itu, tidak menyekat perjalanan karier saya. Saya tidak mahu reputasi saya tercemar sedangkan masih mentah dalam dunia seni. Apa yang berlaku saya jadikan pengalaman supaya saya lebih berhati-hati pada masa akan datang. Nasib saya juga baik kerana semua yang berlaku tidak membuatkan masyarakat dan peminat memandang serong kepada saya,” kata Azri.
Sementara, Lena berkata, apa yang berlaku akan dijadikan pengajaran berguna untuknya mengharungi hari-hari esok.
“Perkara ni dah lepas dan saya tak nak ungkit lagi. Saya tak mahu perkara ini menjadi titik perkenalan saya dalam bidang nyanyian, jadi saya akan buktikan kemampuan saya sebagai penyanyi kepada penggemar industri muzik di luar sana,” katanya yang optimis melangkah jauh dalam dunia seni.
Beralih tentang perkembangan seni, Azri dan Lena, bersyukur kerana banyak mendapat tawaran, sama ada bagi sesi rakaman, jemputan berbuka puasa dan persembahan sepanjang Ramadan ini.
“Setakat ini saya masih bernaung di bawah pihak Astro dan sedang mempertaruhkan single Niskala selepas keluar daripada AF9. Bagaimanapun, saya masih menanti respons daripada peminat untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam industri ini," kata Azri yang teruja meraikan golongan yang kurang bernasib baik sepanjang Ramadan.
Sementara Lena berkata, dia juga sibuk dengan pelbagai agenda seni, termasuklah undangan nyanyian sepanjang Ramadan.
Azri kagumi Lena
Jejaka berusia 24 ini mengakui dia senang bersama Lena, walaupun pada mulanya mereka tidak rapat ketika sama-sama terlibat dalam program AF9. Bernaung dibawa pengurusan yang sama membuatkan mereka sering bertemu dan bekerjasama antara satu sama lain.
Apabila ditanya pandangannya mengenai Lena, jujur Azri akui dia yakin Lena mampu pergi jauh dalam bidang nyanyian. Katanya, suara Lena yang unik membuatkan dia lain daripada bakat-bakat yang sedia ada dalam industri ini.
“Dulu masa bersama di AF9, saya sudah dapat rasakan Lena mempunyai aura yang tersendiri untuk memikat peminatnya, malah dinobatkan sebagai naib juara meletakkan dia di peringkat yang lebih tinggi.
“Sebagai seorang rakan, saya sentiasa berharap dia berjaya mencapai impiannya sebagai penyanyi yang berjaya, mungkin satu hari nanti dia dapat menjadi pengganti kepada ratu Rock Malaysia, Ella kerana suaranya yang serak-serak basah itu,” ujarnya.
Selain mempunyai harapan yang tinggi terhadap Lena, Azri juga senang mendampingi Lena.
“Kami boleh berkongsi cerita bersama, bagi saya dia merupakan seorang pendengar yang setia. Sepanjang kami berkawan dia antara sahabat yang memahami dan banyak membantu,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: