Saturday, August 20, 2011

Suki kembali dengan 'terlalu mencintaimu'

Penyanyi yang dilahirkan menerusi rancangan realiti Malaysia Idol, Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Wee, 22, kini kembali dengan single terbarunya yang berjudul Terlalu Mencintaimu.

Gadis cantik berbangsa Cina ini, sekali lagi mempertaruhkan lagu Melayu sebagai single terbarunya setelah hampir dua tahun menyepi tanpa sebarang album mahupun single baru.

Justeru Suki berharap single ini dapat memberikan kepuasan kepada pendengar yang sentiasa menantikan kehadirannya dalam dunia muzik tanah air.

Menurut penyanyi ini, Terlalu Mencintaimu, berkisarkan tentang pengalamannya yang sukar melupakan kekasih lama setelah berpisah.

“Lagu ini diibaratkan luahan perasaan terbuku dalam hati saya, malah lagu ini sangat istimewa kerana jalan ceritanya berkait rapat dengan kehidupan saya.

“Ia juga sebuah lagu bakal memberikan kelainan kepada pendengar kerana berbeza single terdahulu saya. Sukar bagi saya membawakan lagu balada dan ia benar-benar menguji kekuatan vokal saya.

“Pada masa sama, lagu ini juga memerlukan kekuatan dalaman supaya saya dapat menyampaikan apa yang saya rasa kepada pendengar.

“Saya mahu mereka menghayati apa yang berlaku dalam lagu ini,” katanya ketika mengunjungi pejabat Sinar Harian, kelmarin.

Terlalu mencintai merupakan sentuhan daripada komposer terkenal tanah air, Ajai dan liriknya ditulis oleh penulis Indonesia, Reggie Chasmala.

Jelasnya juga, lagu itu sebenarnya sudah dihasilkan enam tahun lalu, namun Ajai dan Reggie, memberikan nafas baru kepada lagu itu supaya lebih bersesuaian dengan selera pendengar masa kini.

Ditanya, apakah perasaannya bekerjasama dengan Ajai dan Reggie, Suki berkata, dia sangat berbangga apabila kedua-dua komposer itu memberikan peluang kepadanya menyanyikan lagu tersebut.

“Buat pertama kalinya, saya mendapat didikan daripada mereka dan bagi saya ia adalah pengalaman yang sangat baik.

“Malahan Ajai mendorong saya melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, dia benar-benar membantu saya memberikan yang terbaik lebih-lebih lagi ketika menyanyi bahagian yang tinggi dalam lagu itu,” katanya yang baru sahaja kembali ke Malaysia setelah sibuk menjalani promosi album Mandarinnya di Taiwan.

Dalam perkembangan lain, Suki juga menjadi pelakon di Taiwan bagi sebuah drama TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: