|
MELANGKAHKAN kaki di pentas peragaan merupakan impian anak muda bernama Wilson Tan yang sepatutnya meneruskan sahaja kariernya sebagai jurutera.
Namun cinta yang mendalam terhadap dunia peragaan itu membuatkan anak kelahiran Grik, Perak ini nekad untuk melangkahkan kakinya sebagai model.
Keputusan yang diambilnya itu sebenarnya mematahkan hati kedua orang tuanya yang mahu anak kedua daripada tiga beradik ini, memilih untuk menjadi seorang jurutera.
Tetapi apabila Wilson, graduan Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang tahun 2006 itu tekad untuk menjadi model, ibu bapanya terpaksa akur.
"Saya tidak menyesal kerana meninggalkan jawatan sebagai jurutera bagi sebuah syarikat cari gali minyak.
"Bukan duit yang dikejar kerana hati dan jiwa ini amat mencintai dunia peragawan. Jadi, saya perlu buktikan kepada keluarga bahawa keputusan saya tidak silap," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pencarian bakat World Stars Road To Hollywood, Team Malaysia 2011 di Bangkok Connexion, Jalan Ampang, baru-baru ini.
Di majlis yang cukup santai itu, hadir sama, Pengarah Eksekutif Creative Line Promotions, Romli Bidin selaku pihak yang bertanggung jawab mencari bakat-bakat dari Malaysia untuk dibawa ke Hollywood.
Wilson merupakan salah seorang peserta dari Malaysia yang terpilih untuk mewakili negara ke World Stars Road To Hollywood tahun lepas.
Selain Wilson, lain-lain peserta ialah IZ, Cheryl Koh, Ram, Zul dan pasangan kembar, Jady dan Pearly Fasha.
Pencarian bakat dijuruskan kepada bidang vokal, tarian, drama, lakonan dan peragaan (modelling).
Menurut Wilson, dia hanya seorang budak kampung yang cuba untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Usahanya selama dua tahun untuk menempatkan diri sebagai top supermodel di Malaysia ternyata membuahkan hasil.
Penghargaan Best Asia Model Award 2011, Asia Model Fesyen Award 2011 di Seoul, Korea dan Top Star Model 2011 yang digenggam Wilson hari ini menjadi pembakar semangat untuknya meneruskan langkah ke pentas peragaan fesyen di Paris dan Milan September nanti.
Mungkin ada yang skeptikal terhadap Wilson yang agak lambat untuk memulakan langkah sebagai seorang model kerana faktor usianya yang bukan lagi awal 20-an.
Tetapi kelewatan itu sebenarnya mempunyai hikmah yang tersendiri kerana Wilson tidak mahu digelar model dungu.
"Saya tamatkan pengajian di universiti, untuk penuhi impian orang tua . Kemudian, saya pilih untuk merealisasikan impian saya.
"Doakan kejayaan saya kerana anak Malaysia juga mampu bergelar model yang berjaya," kata Wilson yang memperagakan pakaian jenama Versace dan Gucci di kota London, Los Angeles (LA), Washington DC, Singapura, Hong Kong, Korea, Bangkok dan Thailand.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: