Monday, March 14, 2011

Lisa gementar aksi ranjang

pix_gal0
Aktres popular akui agak kekok apabila mula berlakon dengan Aaron Aziz dalam Ombak Rindu

KALI pertama Lisa Surihani, 25, dan Aaron Aziz, 35, bergandingan di layar perak menerusi Ombak Rindu terbitan Astro Shaw dan Tarantella Pictures, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-23 itu mengakui sedikit gementar mendekati hero kacak itu.
Memegang watak pembantu sebagai model dan pelakon terkenal bernama Mila, Lisa akui, perasaannya lain macam apabila dimaklumkan bakal bergandingan dengan pelakon berstatus suami ini. Sebelum Aaron, Lisa pernah berlakon di samping pelakon lain yang juga berstatus suami, seperti Allahyarham Faizal Yusof menerusi drama Adamaya.Bagaimanapun debaran dirasai Lisa bersama Faizal tidak berasa 'segerun' pembabitannya dengan Aaron. Malah, saat berjumpa ketika sesi latihan dan bacaan skrip filem terbabit, Aaron menyapanya dengan ucapan helo dalam gaya yang sedikit formal dan serius.

Kata Wajah Eksklusif Astro itu lagi, dia memang mengambil masa sebelum mencipta keserasian bersama bapa kepada tiga anak itu. Apatah lagi menerusi filem diadaptasi daripada novel menggunakan judul sama tulisan Fauziah Ashari itu ada adegan ranjang membabitkan mereka.

Lisa dan Aaron yang diatur untuk sesi fotografi bersama B*POP ini juga kerana masing-masing adalah finalis bagi dua kategori Pelakon Filem Popular dan Pelakon TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Kata duta dan jurucakap bagi acara jalan kaki amal untuk kanak-kanak atau Walk For Children: 1 Malaysia Goes Green yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini, ada satu babak intim membabitkannya dan Aaron hingga membuatkan dirinya menggigil satu badan.
"Tapi lucunya, babak intim itu turut diwarnai insiden lucu yang dikenang Lisa sampai sekarang. Semua gara-gara petai. Kami jalani penggambaran filem ini di Langkawi tahun lalu. Bayangkan Lisa memang kuat makan petai mentah dan pokok petai pula ditanam berdekatan set penggambaran dijalankan.

"Lisa boleh selamba makan 10 biji petai seperti mengunyah makanan. Tahu sajalah penangan bau petai. Lisa pula ada babak bersama Aaron. Nak jadikan cerita Aaron pula memang tak suka dan benci bau petai. Untuk mengurangkan bau itu, Lisa mengamalkan petua meminum susu segar.


Kenangan kisah petai

"Tapi dengan kuantiti biji petai yang Lisa makan, ia tidak mampu diatasi. Akhirnya, babak intim itu hampir rosak akibat bau ini. Nak tak nak kami kena bertahan. Aaron pun sempat berseloroh, meminta gula-gula getah untuk diberikan kepada saya bagi menyegarkan kembali bau mulut," kata duta Garnier dan Lipice ini sambil tertawa mengenangkan memori kisah petai itu.

Kata Lisa, perasaan gementar yang dirasainya terhadap lelaki kelahiran Singapura itu semuanya bertimbal balik kepada rasa hormatnya terhadap aktor senior itu. Begitu juga dengan heroin filem ini yang dilakonkan Maya Karin.

"Isteri Aaron (Diyana Halik) sendiri berkata kepada Lisa jangan ada perasaan takut-takut dengan Aaron. Lisa pun tidak boleh terlalu kuat berperasaan begitu kerana ia sebenarnya akan memberi kesan kepada perjalanan penggambaran filem ini, Aaron dan pelakon lain.

"Selepas memulakan penggambaran, keserasian antara Lisa dengan Aaron contohnya juga semakin baik. Bukan saja Aaron, dengan isterinya juga biarpun kali pertama jumpa kami boleh cepat ngam. Apabila Lisa dan Diyana bercakap bab perempuan termasuk hobi membeli-belah, mulalah Aaron mengusik kami," katanya yang mendapat bimbingan lakonan daripada Ellie Suriaty sebelum menjalani penggambaran Ombak Rindu.


Aaron ada sikap humor

Mengenai Aaron, Lisa sudah menganggapnya seperti abang sambil menyifatkan Aaron penuh dengan sikap humor di sebalik wajah seriusnya itu. Kata artis naungan MIG Productions itu lagi, Aaron sebenarnya memang kuat menyakat seperti dirinya sendiri.

"Siapa yang mampu menidakkan, dia memang seorang lelaki dan bapa yang sangat tampan. Paling penting dengan status dipegangnya kini, dia sangat mementingkan aspek kebersihan dan penjagaan diri," kata Lisa yang bakal menggayakan rekaan Nurita Harith pada malam kemuncak ABPBH 2010 kelak. Bermula esok,Lisa akan ke lokasi penggambaran Papa, I Love You arahan Hashim Rejab. Turut sama berlakon ialah Mia Sara Nasuha dan Zalif Sidek.

Sementara itu, bapa kepada tiga orang anak comel bernama Danish Anarqi, 7, Dwi Arianna, 5, dan Dahlia Arissa, sembilan bulan ini pula menganggap Lisa sebagai wanita yang tebal dengan sikap rendah dirinya. Dengan populariti dan anugerah dikecapinya hingga dilabel sebagai Primadona filem Melayu masa kini, Lisa tidak pernah mendabik dada.

"Lisa kini dilihat antara pelakon wanita pelapis yang terus menjadi sebutan. Sejujurnya, sikap diva tidak pernah ada dalam dirinya. Dia bersedia menerima komen dan mahu belajar sekali gus untuk memastikan penggambaran filem ini berjalan lancar.

"Malah, boleh dikatakan setiap kali diadakan latihan berlakon dan bacaan skrip, dia tidak pernah ketinggalan menyertainya. Saya harap sikapnya itu akan terus kekal sampai bila-bila. Saya pun dilayannya baik seperti abang sendiri," kata pemegang watak Burhanuddin Helmi menerusi teater Natrah musim kedua.

Tak terikat watak Hariz Ditanya lanjut mengenai watak Hariz dalam filem Ombak Rindu, Aaron menjelaskan watak terbabit sangat berlainan dengan mana-mana watak dipegangnya sebelum ini. Malah, filem ini juga buat kali pertama menyaksikan kemampuan Aaron melakukan watak intim termasuk atas ranjang.

"Kali pertama juga saya berlakon di bawah arahan Osman Ali. Malah daripada maklum balas di Fanpage (Facebook) ramai sebenarnya pengikut novel Ombak Rindu ini. Saya sendiri beberapa kali membelek novel ini demi tuntutan watak. Tetapi sebolehnya saya tidak mahu sangat terikat dengan karakter Hariz seperti dalam novel.

"Saya hanya cuba menyamai karakter Hariz terhadap layanannya kepada Izzah (lakonan Maya Karin) saja. Untuk bahagian lain, saya cuba mencipta kelainan. Saya pernah menulis status bertanyakan Siapa Haris di Fanpage dan tidak sangka ada yang tahu mengenai Hariz.

"Dalam kebanyakan komen, saya tertarik pada komen seorang peminat yang menulis Hariz adalah lelaki yang terbaik dan terburuk untuk Izzah. Secara tak langsung, komen itu sebenarnya memberi gambaran kepada kehendak karakter yang perlu saya lakukan terhadap Hariz," katanya yang sudah setahun melepaskan gelaran sebagai Wajah Eksklusif Astro.

Elak isteri nampak babak intim

MENERUSI filem Ombak Rindu, watak Hariz lakonan Aaron Aziz berdepan dilema dalam memilih Izzah, wanita ditemuinya di kelab malam selepas dijual bapa saudara sendiri dan tunangannya, Mila. Namun, hati Hariz sebenarnya lebih dekat dan dominan terhadap Izzah.

"Banyak juga adegan intim dalam filem ini. Malah Osman sendiri selaku pengarah ada bertanyakan isteri saya mengenai perasaannya jika saya mahu melakukan babak terbabit. Ia memang cabaran buat saya. Tapi Osman bijak merealisasikan babak sebegitu tanpa perlu bersentuhan tetapi masih berbaur sensual.

"Ketika melakukan adegan ini, saya memang tidak mahu isteri saya ada bersama di lokasi penggambaran. Saya sendiri tidak pernah membayangkan isteri sendiri ketika melakukan lakonan adegan sebegitu. Lainlah, kalau mahu melepaskan kerinduan atau cinta, bolehlah saya membayangkan isteri," katanya yang harus menayangkan separuh tubuh badannya bagi menjayakan adegan intim dalam filem itu.

Mengenai peluangnya dalam ABPBH 2010, Aaron tidak meletakkan harapan terlalu tinggi bagi kedua-dua kategori yang mencalonkan namanya itu. Tahun ini, Aaron sudah empat kali dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular manakala dua kali bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.

"Kalau ada rezeki menang, saya bersyukur. Kalau tak menang, tak mengapalah. Kejayaan saya menjulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) pada Anugerah Skrin 2010 bagi Evolusi KL Drift 2 sudah saya anggap sebagai pembakar semangat untuk saya melakukan yang terbaik pada masa mendatang," katanya yang kini masih melunaskan baki penggambaran drama Kasih Yang Suci untuk slot Akasia TV3.

Sebanyak 80 peratus penggambaran Ombak Rindu dijalankan di Langkawi dan selebihnya di Kuala Lumpur dan Golok. Selain Ombak Rindu, Aaron juga menunggu giliran filem lakonannya, KL Gangstar dan Datin Ghairah ditayangkan pada tahun ini. Aaron juga terbabit dalam penggambaran filem indie produksi Singapura berjudul The Endless Day.

INFO Aaron

NAMA PENUH: Aaron Mustapha Aziz
USIA: 35 Tahun
TARIKH LAHIR: 23 Februari 1976
ASAL: Pasir Ris, Singapura
STATUS: Suami/Bapa
KERJAYA: Model & Pelakon
DRAMA TV: (Antaranya) Sumaiyah, Emil Emelda, Janji Diana, Sadiq & Co, Cinta Gila, Cinta Lelong, Rahsia Cinta dan Bulan Bertemu Matahari, Dilemma Wanita, Cahaya Kasih, Malam 7 Likur, Hana Hani Strawberi dan Oh Ibu
FILEM: Evolusi KL Drift 1 & 2, Shh. Dia Datang, Bohsia... Jangan Pilih Hitam, Pisau Cukur, Datin Ghairah, Dua Alam dan Cempaka
PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura (2003, 2004, 2005)
DUTA: L'oreal


INFO Lisa Surihani

NAMA PENUH: Lisa Surihani Mohamed
USIA: 25
TARIKH LAHIR: 23 Mac 1986
STATUS: Bujang
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of Aberystwyth, Wales, United Kingdom
FILEM: Good Bye Boys, I'm Not Single, Jangan Pandang Belakang Congkak, V3: Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stiletto, Zoo, Lagenda Budak Setan, Kapoww!!,
Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Ombak Rindu dan Sekali Lagi
DRAMA: Obsesi, 3 Janda, Mataku Nampak Hantu, Ponti Anak Remaja, Mentua vs Menantu 2, Azan dan Tudung Ekspres
DUTA: Garnier, Lipice

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: