Tuesday, March 29, 2011
Smartag laksana projek di Thailand
SYARIKAT penyedia penyelesaian Pengenalpastian Frekuensi Radio (RFID), Smartag Solutions Berhad (Smartag), merancang untuk melaksanakan Projek Tempat Pemeriksaan Darat di Thailand, April ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, PK Lim berkata, kumpulan itu sudah menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Persekutuan Penjejakan Kontena RFID dengan Thailand diasas Netbay Co Ltd.
“Sebagai sebahagian daripada usaha kami ke arah mengkomersialkan projek ini di Thailand, kami bekerjasama bersama Netbay sebagai rakan kongsi perniagaan di sana.
“Projek ini membolehkan kontena diangkut melalui jalan raya untuk dikesan menggunakan sistem RFID kami berdasarkan ISO 18186:2010,” katanya pada Majlis Pelancaran Prospektus Smartag Solutions Berhad, di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, kerjasama bersama Netbay itu adalah berkaitan dengan pelaksanaan, sistem dan perkhidmatan penjejakan kontena RFID di gerbang pemeriksaan Thailand yang ditentukan Kastam Diraja Thailand.
“Kami berhasrat mengembangkan laluan ini kepada rangkaian laluan yang disambung RFID meliputi dari Malaysia sehingga Laos, Vietnam dan sebahagian China Selatan.
“Projek tempat pemeriksaan darat ini dapat membuka peluang baru kepada kumpulan kami dalam membangunkan laluan baru dengan Thailand sebagai titik rujukan kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusinya, Datuk Abdul Hamed Sepawi berkata, perkembangan laluan di negara baru pada masa akan datang sekali gus membolehkan Smartag memainkan peranan penting dalam kemudahan perdagangan di rantau Asean.
“Pelepasan kastam lebih cepat di samping pengesanan lebih baik menggunakan teknologi dan perkhidmatan kami dapat menggalak lebih banyak perdagangan kalangan negara jiran ke arah Komuniti Asean menjelang 2015,” katanya.
Sehingga kini, Smartag menubuhkan fasa pertama infrastruktur RFID di Sadao, Mukdahan dan Suvarnabumi Free Customs Zone.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: