Saturday, March 26, 2011

Simpati Yoyo, cinta Sapta




ROSSA tampil polos pada temu janji makan malam kami Isnin lalu. Dia yang memilih lokasi temu janji iaitu Restoran Tesate Plaza Senayan, Jakarta, Indonesia.

“Saya suka makanan di sini. Ia masakan asli Indonesia,” katanya pada pertemuan malam itu. Pertemuan malam itu sebenarnya diatur secara mengejut selepas kami bertemu pada majlis akad nikah teman baiknya, Krisdayanti dan Raul Lemos hujung minggu lalu.

Usai menjamu selera, penyanyi genit dengan nama lengkap Rossa Roslaina Sri Handayani yang memang cukup mesra dan mudah ketawa ini mula berbagi cerita.

Katanya, pertemuan kami pada malam itu adalah untuk temu bual mengenai mantan suaminya, pemain drum grup Padi, Surendro Prasetyo atau Yoyo, yang ditahan kerana disyaki memiliki dadah pada awal bulan ini.

Ada simpati dalam bicara kami tentang lelaki yang pernah singgah dalam hatinya itu. Beritahu Rossa, dia kaget dengan berita penangkapan tersebut. Ini kerana, sehari sebelum mantan suaminya itu ditangkap, Yoyo berada di rumahnya, bertemu anak mereka yang menginjak usia empat tahun. Rizki Langit Ramadan.

“Saya terkejut dengan berita itu kerana sehari sebelumnya, Yoyo datang ke rumah bermain dengan Rizki, sementara saya sibuk dengan agenda konsert saya. Tidak sangka pula ini terjadi.

“Tapi, jujurnya, dia memang sudah memakai (mengambil) dadah sejak sebelum kami berkahwin. Namun saya tidak sangka, sehingga kini rupanya dia masih lagi memilih untuk berdamping dengan benda itu,” katanya yang mengetahui berita Yoyo ditangkap melalui BlackBerry dan Twitter.

Namun akui penyanyi yang terkenal dengan untaian lagu indah seperti Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies ini, dia tahu kalau mantan suaminya itu bergelut untuk lari daripada ketagihannya itu.

Sewaktu menjadi isteri kepada Yoyo, dia selalu menjadi orang kuat yang menyokong usaha suaminya untuk menjadi ‘orang baru’. Katanya: “Sebetulnya, dia mempunyai keinginan yang tinggi untuk sembuh. Tapi susah jika masih berada di lingkungan yang sama dan sudah terlalu lama memakainya. Kecuali dia mempunyai keazaman yang cukup jitu.”


ROSSA bersyukur walaupun Yoyo mempunyai masalah ketagihan dadah, tapi dia tetap melunaskan tanggungjawab sebagai bapa yang baik kepada anak mereka, Rizki Langit Ramadan.


Belum berkesempatan melawat lelaki berusia 36 tahun yang kini ditahan di sebuah balai polis, kata Rossa dia sengaja untuk melewatkan sesi lawatan itu.

“Saya tidak mahu pemergian saya ke sana menjadi bahan berita sensasi. Jadi biar semuanya reda dan saya akan pergi melawat dia. Saya akan pergi sendiri tanpa Rizki,” ujarnya yang bercadang melawat Yoyo sehari selepas pertemuan kami tanpa membawa Rizki.

Ditanya mengapa tidak mahu membawa Rizki bersama, kata Rossa, dia tidak mahu mengheret anaknya sama dalam masalah orang dewasa.

Sementelah, Rizki tidak mengetahui bapanya itu kini ditahan polis. Selain tidak membenarkan anaknya menonton saluran infortainment, kesibukan Yoyo yang jarang melawat Rizki membuat anaknya itu tidak menyedari ‘kehilangan’ bapanya.

Jelas Rossa: “Rizki tak tahu Yoyo sedang ditahan polis. Sejak dulu, saya tidak benarkan Rizki menonton infortainment kerana ia tidak bagus untuk minda anak-anak. Pada masa yang sama, dia juga tidak sedar Yoyo tidak ada kerana kesibukan Yoyo sebelum ini membataskan masa untuk mereka bertemu.”

Namun jelas Rossa, biar Yoyo jarang menghabiskan masa dengan anaknya, lelaki itu tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bekas ketua keluarga yang pernah mengemudi bahtera rumah tangga mereka. Yoyo juga disifatkan Rossa sebagai seorang bapa penyayang.

Lantas saat disua jika Yoyo seorang lelaki yang budiman, mengapa mereka berpisah, Rossa dalam senyum manisnya menjawab: “Punca perceraian kami biarlah rahsia kami berdua sahaja. Tetapi apa yang boleh saya katakan, keputusan kami untuk berpisah adalah jalan yang terbaik. Daripada hancur semuanya, lebih baik kami berpisah.”

Cinta Sapta


ROSSA (tengah), Krisdayanti (kanan Rossa) bergambar dengan kami usai makan malam.


Ada rona merah pada wajah mulus penyanyi ini saat diusik tentang hati yang telah dimiliki lelaki baru bernama kekasih. Sebenarnya Rossa mempunyai kekasih hati bukan lagi rahsia. Ia telah menjadi bualan hangat sejak setahun lalu. Namun yang menjadi misteri adalah siapa gerangan yang berjaya menawan hati wanita yang pernah rapuh kerana cinta lalu.

Lantas saat nama Raja Sapta Oktohari, putera ahli politik terkenal Indonesia, Oesman Sapta, saya ajukan, Rossa berteriak kecil. Ketawanya panjang berekor. Apabila terus didesak, Rossa akhirnya kalah. Hanya satu anggukan kecil tanda setuju, namun tidak mahu dipanjangkan dengan penjelasan.

Lalu apabila saya bawa persoalan lebih mendalam tentang persediaan dia berkahwin dengan Sapta, mengikut jejak langkah kawan baiknya, Krisdayanti yang baru sahaja menikahi Raul, Rossa menggeleng.

Katanya: “Kami jalani saja dulu percintaannya. Tapi kalau untuk berkahwin, saya fikir belum lagi. Bukan untuk masa terdekat ini. Atau tahun ini. Ya, memang belum saya fikirkan bila ya. Namun saya juga tidak berani berkata lebih dari itu kerana jika akhirnya ia terjadi (berkahwin), pasti terjadikan. Biar saja, doakan yang baik-baik saja ya.”

Ditanya adakah dia masih trauma atau bersikap berhati-hati kerana sejarah keruntuhan rumah tangga yang lalu, Rossa memberitahu dia tidak sesekali berasa trauma. Sebaliknya, tekan Rossa sekali lagi, dia hanya berasa belum mahu berkahwin lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: