
SEJAJAR dengan tagline Macam-macam Ada, Astro kini tampil menyajikan program realiti masakan baru yang menampilkan konsep berbeza daripada program masakan yang lain.
Jaguh kampung adalah taruhan terbaru pihak Astro Prima yang mana program ini ingin mencari pasukan juara memasak antara kampung di seluruh Malaysia.
Di dalam Jaguh Kampung, menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, program realiti ini bukanlah semata-mata mahu mencari chef bertaraf antarabangsa, akan tetapi konsepnya lebih kepada memberi keseronokan.
“Bagi saya program ini bukan bertujuan untuk mencari tukang masak profesional, akan tetapi untuk bersuka ria dan pada masa yang sama juga boleh berkongsi resipi dengan penonton,” ujarnya.
Kelainan yang ditampilkan Jaguh Kampung adalah setiap kumpulan yang bertanding akan mewakili zon masing-masing iaitu Utara, Selatan, Timur dan Barat.
Peserta yang mempunyai gabungan tiga orang sekumpulan akan melalui detik uji bakat di mana mereka harus mempamerkan satu hidangan masakan dan akan disoal jawab.
“Peserta yang kami pilih ini bukan semata-mata hanya punyai bakat memasak, mereka turut memiliki perwatakan yang menarik. Kita tidak mahu peserta yang hanya tahu masak, tetapi tidak berwatakan menarik. Mereka perlu ada dua gabungan ini,” tambah Nizam yang walaupun begitu, skil memasak masih lagi menjadi keutamaan bagi program realiti ini.
Program ini juga gamat dengan kehadiran dua selebriti tanah air iaitu Ogy Ahmad Daud dan Jaafar Onn sebagai pengacara merangkap juri tetap yang akan mengadili setiap pasukan mengikut kriteria yang telah ditetapkan.
“Apa yang akan menjadi cabaran peserta ialah mereka harus menyiapkan hidangan dalam tempoh 60 minit sahaja,” jelasnya sambil memberitahu 16 pasukan telah dipilih mewakili kampung masing-masing.
Empat kumpulan akan berentap mewakili zon masing-masing pada peringkat separuh akhir serta peringkat akhir pula akan menyaksikan dua kumpulan sahaja akan dipilih bagi merebut peluang mengangkat gelaran juara Jaguh Kampung dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000.
Apa yang menarik mengenai program ini adalah, pelbagai jenis masakan yang datang dari pelbagai negeri dapat dipelajari dan dicuba.
“Mungkin sesetengah orang yang menyukai masakan kampung tetapi tidak tahu bagaimana penyediaan atau bahan-bahannya. Mungkin dengan adanya program ini, penonton boleh mempelajarinya sendiri,” kata Nizam mengenai program 16 episod ini.
Menambah tarikan terhadap program ini, selain mendapat resipi yang mungkin tidak pernah diketahui, penonton juga dapat bergelak ketawa melihat teletah peserta yang bekerja di dalam berkumpulan.
“Saya rasa penonton juga sudah lama tidak disajikan dengan program masakan berkonsepkan sebegini. Kerana inilah, pihak Astro Prima terbitkan program Jaguh Kampung untuk menarik minat semua golongan menontonnya,” jelas Nizam mengenai kemunculan program baru ini di layar kelak.
Jaguh Kampung mula menemui penonton setiap Sabtu pada pukul 7.30 malam bermula hari ini, 26 Mac.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: