Monday, March 28, 2011

Robot penyelamat


ROBOT Quince berbentuk seperti kereta kebal mainan mampu memasuki kawasan bangunan runtuh.


GEMPA bumi dan tsunami yang melanda Jepun baru-baru ini sememangnya suatu tragedi yang tidak dapat dilupakan oleh penduduk negara matahari terbit itu dan setakat ini ia telah meragut nyawa lebih 10,000 orang.

Walaupun dunia mengetahui Jepun merupakan salah sebuah negara maju tetapi mereka juga tidak dapat mengelak daripada kehilangan nyawa yang agak besar kerana selain kematian yang disahkan tadi, hampir 16,000 orang rakyatnya masih hilang.

Bagaimanapun, pasukan mencari dan menyelamat tidak berputus asa mencari mereka yang hilang tersebut menggunakan pelbagai kaedah termasuk penggunaan teknologi moden seperti menggunakan pesawat tanpa pemandu bagi mengesan mereka yang mungkin terselamat.

Selain itu, sebagai negara pembangun teknologi robot terkenal dunia, Jepun juga menggunakan mesin-mesin pintar untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat.

Antara robot itu adalah robot berbentuk ular yang mampu menyelinap masuk di celah-celah runtuhan dan kemudiannya mengambil gambar untuk dipancarkan kepada skrin komputer pasukan penyelamat.

Pengarah Pusat Mencari dan Menyelamat Menggunakan Robot (CRASAR) di Universiti A&M di College Station, Texas, Robin Murphy mengesahkan sebuah pasukan diketuai oleh Satoshi Tadokoro dari Tohoku University dan satu lagi pasukan yang diketuai Eiji Koyanagi dari Institut Teknologi China, Pusat Teknologi Robotik Masa Depan telah menggunakan robot mereka dalam operasi tersebut.

Menyelinap

Pasukan Tadokoro menggunakan robot berbentuk ularnya sepanjang 7.9 meter yang dilengkapi dengan kamera skop dan boleh menyelinap di celah-celah runtuhan.

Menurut Murphy, penggunaan robot ular itu sangat praktikal kerana saiznya dan pasukan Koyanagi juga menggunakan robot berbentuk kereta kebal mainan dikenali sebagai Quince yang boleh memanjat longgokan runtuhan atau memanjat tangga.

Robot ular itu diliputi oleh "cilia" iaitu dawai-dawai halus yang akan bergetar apabila merayap dan mampu bergerak 4.5 sentimeter sesaat, menaiki halangan, mengikuti dinding dan berpusing kembali apabila tiada jalan ditemui.

"Robot sememangnya telah digunakan dalam operasi menyelamat dalam beberapa bencana sebelum ini seperti selepas taufan Katrina melanda New Orleans dan serangan ke atas World Trade Center pada 11 September 2001," katanya.

Selain itu, jurutera di Army Corps of Engineers juga menggunakan Seabotix, kenderaan dasar lauk yang boleh dikawal dari jarak jauh (ROV) untuk menyiasat kerosakan kepada dinding laut dan jambatan ketika kerajaan Amerika Syarikat (AS) memberi bantuan kepada Haiti ketika negara itu dilanda gempa bumi.

Terdapat pelbagai jenis robot-robot penyelamat yang boleh digunakan untuk membantu usaha menyelamat dalam bencana seperti gempa bumi di Jepun. Antaranya:

l Kenderaan kecil mampu terbang seperti helikopter robotik yang boleh memeriksa dari atas bangunan yang runtuh.

l Robot ular yang mampu menyelinap masuk ke dalam bangunan.

l ROV dalam air yang mampu memeriksa jambatan atau membaiki sesuatu di dalam air.

l Kenderaan darat tanpa pemandu yang mampu beroperasi sendiri berasaskan sensor dan berfungsi mencari mangsa yang terselamat.

Bagi CRASAR pula, pertubuhan itu mempunyai beberapa jenis robot menyelamat seperti helikopter AirRobot dan iSensys, ROV VideoRay untuk memeriksa dalam air, kenderaan air berasaskan sonar untuk memeriksa jambatan dan robot darat seperti Inuktun VGTV.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah robot-robot penyelamat itu direka untuk memasuki ke kawasan-kawasan yang tidak boleh dihampiri manusia dan seterusnya menjalankan kerja-kerja menyelamat selepas berlaku sesuatu bencana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: