Monday, March 28, 2011

Revolusi peranti Android


MAXIS bekerjasama dengan syarikat elektronik Samsung membawa telefon bimbit pintar Google Nexus S untuk pengguna di Malaysia.


BUAT pertama kalinya, penyedia perkhidmatan telekomunikasi negara, Maxis Berhad (Maxis) memperkenalkan telefon bimbit pintar keluaran syarikat enjin carian Google.

Model Google Nexus S atau lebih dikenali sebagai Telefon Google hadir bersama sokongan sistem operasi Android 2.3 (Gingerbread OS).

Menerusinya, ia menawarkan kelebihan paparan antara muka lebih ringkas dan pantas selain input teks intuitif untuk urusan komunikasi terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Maxis Berhad, Jean-Pascal Van Overbeke, pengenalan telefon bimbit pintar itu membuktikan Maxis sentiasa memberi tumpuan memenuhi kehendak pengguna yang sentiasa mahukan peranti inovatif dan bersesuaian dengan gaya hidup mereka.

''Maxis merupakan syarikat pembekal telekomunikasi pertama yang menawarkan pengalaman operasi profesional dan multimedia mobiliti menerusi Nexus S.

''Ia dilaksanakan menerusi kerjasama dengan syarikat pembangunan peranti ini iaitu Samsung dalam memastikan ia menawarkan spesifikasi komunikasi moden dan terbaik,'' katanya.

Melihat kepada rekaannya, Google Nexus S mempunyai binaan bergaya dan ergonomik dilengkapi paparan skrin sentuh pintar WVGA beresolusi 800 x 480 dengan saiz empat inci.

Menerusi pacuan pemproses Hummingbird 1 GHz pula, peranti tersebut mampu memaparkan kualiti grafik tiga dimensi (3D) selain menawarkan masa memuat naik serta turun fail secara lebih cepat.

Google Nexus S turut disempurnakan bersama kamera belakang lima megapiksel serta kamera VGA di bahagian hadapan dengan sokongan lampu flash dan rakaman video.

Untuk ruang storan, peranti pintar ini didatangkan bersama kapasiti memori binaan dalam 16 gigabit (GB) dan RAM 512 megabit (MB).

Antara kelebihan lain telefon bimbit tersebut, ia dilengkapi ciri-ciri unik Android seperti capaian Wi-Fi, anti cap jari, sokongan Near Field Communication (NFC) dan panggilan Internat (VoIP/SIP).

Tidak cukup dengan itu, ia juga didatangkan dengan capaian sambungan Bluetooth dan USB.

Google Nexus S kini ditawarkan pada harga RM2,499. Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi daripada laman web www.maxis.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: