Saturday, March 12, 2011

Permulaan meyakinkan


Enam peserta Mentor 5 (dari kiri) Ratna, Ayish, Salma, Iqa, Aiman dan Shiha ketika membuat persembahan lagu tema Mentor, Tunjuk Ajar Ku Sifu pada konsert pengenalan Mentor 5 di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


MELANGKAH ke musim yang kelima, program realiti Mentor sememangnya telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi dalam mencari barisan protege yang mampu memberi saingan sengit sesama sendiri.

Buktinya, enam mentor yang tidak boleh dinafikan pengalamannya iaitu Datuk Sharifah Aini, Edry Abdul Halim, Rahim Maarof, Afdlin Shauki, Erra Fazira dan Noh (Hujan), berjaya menemui anak didik yang tidak keterlaluan dikatakan mempunyai vokal yang mantap.

Konsert pengenalan Mentor musim kelima (Mentor 5), pada malam Ahad lalu bagaikan menterjemah kemampuan para protege mereka iaitu Shiha, Iqa, Ratnah, Aiman, Salma dan Ayish apabila masing-masing memberikan persembahan yang cukup menghiburkan.

Dalam merebut gelaran juara yang membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000 dan sebuah kereta Chevrolet Cruze, seperti musim-musim sebelum ini, mereka di bahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.

Bagi yang mungkin tidak berkesempatan menonton siaran langsung konsert tersebut, tiga peserta yang menerajui kumpulan A ialah Shiha (Datuk Sharifah Aini), Ayish (Noh Hujan) dan Ratnah (Afdlin Shauki).

Manakala mereka yang menerajui kumpulan B ialah Iqa (Edry Abdul Halim), Salma (Erra Fazira) dan Aiman (Rahim Maarof).

Bercerita tentang pembahagian kumpulan, menurut Penerbit Eksekutif dan Pengarah Mentor 5, Muhamad Sufian Isa, ia dilakukan berdasarkan persembahan peserta pada konsert yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam itu.

“Pihak produksi Mentor 5 sebelum membuat sebarang keputusan pemilihan kumpulan melakukan perbincangan terlebih dahulu dengan juri tetap, Datuk Ramli MS dan penasihat vokal iaitu Ajai.

“Berdasarkan pemarkahan yang diperolehi pada malam ini, kami pecahkan mereka kepada dua kumpulan. Bagaimanapun, dari segi peratusan kami minta maaf kerana tidak boleh diumumkan.

“Cuma kebetulan ada dua protege lelaki iaitu Ayish dan Aiman berada pada kumpulan yang berbeza,” katanya.

Ada kelainan yang dilakukan dalam penyingkiran peserta untuk musim kali ini. Kata Suffian, peserta hanya akan disingkirkan selepas selesai empat kali persembahan berbanding tiga persembahan pada musim-musim sebelum ini.

Konsep persembahan berselang-seli antara kumpulan A dan B setiap minggu masih lagi dikekalkan dengan pemarkahan undian 50 peratus juri profesional, 30 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus lagi mewakili undian daripada juri awam.

Menyorot persembahan peserta pada malam tersebut, tirai konsert pengenalan itu dibuka oleh Juara-juara Mentor terdahulu iaitu Pija (Layar Impian), Fiq (Layar Bahtera), Black (Aku Dan Duniaku) dan Mohd (Aku dan Duniaku) sebelum menyanyikan lagu tema Mentor, Tunjuk Ajar Ku Sifu.

Ratnah terlebih dahulu mengambil tempat mempersembahkan nyanyian bertenaga menerusi lagu Tak Ada Logika sambil menari.

Menurut Afdlin, persembahan Ratna pada malam tersebut cukup membanggakan kerana bukan semua berkemampuan menyanyi dan menari pada waktu yang sama.

Potege Noh , Ayish tampil bertenaga menerusi lagu Hapus Aku.

Malah, dia yang cukup selesa menyanyi dengan menggunakan gitar berjaya keluar dari kepompong apabila menguasai pentas dengan baik.

“Kalau nak tanya tentang persembahan Ayish, saya memang belum cukup puas sebab masa latihan dia boleh buat lebih baik,” kata Noh.

Seperti mentornya Sharifah Aini, Shiha yang anggun tampil dengan gaun ungu berjaya menyerlahkan kemantapan vokalnya menerusi lagu popular Aizat Amdan, Hanya Kau Yang Mampu.

“Saya cukup berhati-hati untuk memberi lagu ini kepada Shiha.

“Saya mahu dia menjadi diri sendiri sebab itu saya beri lagu yang dinyanyikan oleh lelaki kepada dia supaya dia boleh menyampaikan lagu ini dengan cara tersendiri. Untuk permulaan saya gembira dengan persembahannya,” kata Sharifah Aini.

Tampil dengan pakej lengkap mempunyai rupa dan suara, menjadikan Aiman, pemuda tinggi lampai yang juga protege kepada Rahim Maarof cepat memperoleh perhatian.

Mempersembahkan lagu Kau Dan Aku, Aiman yang berjiwa R&B berjaya mencabar diri menyanyikan lagu yang berlainan genre dengan dirinya.

Iqa yang juga merupakan protege kepada Edry memukau penonton dengan lagu Aku Cinta Padamu sambil persembahannya diiringi oleh hampir 30 orang koir kanak-kanak.

Bagi Edry, rata-rata peserta Mentor untuk musim kali ini mempunyai bakat yang besar untuk diketengahkan dan sebagai mentor pengalaman yang ada hampir 30 tahun dalam industri akan digunakan sebaiknya untuk menggilap bakat protegenya itu.

Mempunyai vokal bernada tinggi, Salma yang mendendangkan lagu Bertamu Di Kalbu tidak terkecuali mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Biarpun ada yang mengatakan bahawa Erra tidak perlu bekerja keras kerana Salma sudah mempunyai pakej suara yang bagus namun, kata Erra, sebagai pesaing dalam rancangan itu Salma sebenarnya perlu banyak diberi perhatian dari segala segi.

Sementara itu, Ramli MS ketika diminta mengulas tentang persembahan peserta Mentor musim ini berkata, apa yang dipersembahkan untuk permulaan dia nampak ia satu persaingan yang positif di kalangan peserta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: