BAGI kebanyakan graduan, mereka mungkin tidak merasai pengalaman mengorek lubang sedalam lebih satu meter dalam keadaan cuaca panas terik pada siang hari dan kesejukan pada waktu malam.
Lubang itu pula dikorek untuk menyediakan tempat berlindung sekiranya diserang musuh.
Namun, itulah yang dilalui Muhammad Yunos, 24, ketika mengikuti latihan ketenteraan dalam hutan tebal di Mempaga, Pahang ketika bergelar mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Bagaimanapun, keperitan itu ternyata berbaloi apabila Muhammad dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Kadet kepada 298 pelajar universiti itu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kem Perdana Sungai Besi baru-baru ini.
Menceritakan kisah itu, Muhammad yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan dengan Mata Gred Terkumpul (CGP) 3.53 berkata, dia terus fokus menjalani latihan ketenteraan kerana sedar rutin itu harus dijalaninya ketika memohon memasuki UPNM.
“Pada masa sama, saya harus membahagikan masa untuk akademik kerana ia merupakan prasyarat untuk ditauliahkan sebagai pegawai kadet.
“Pengajian selama empat tahun di UPNM agak mencabar tetapi inilah cita-cita saya sejak kecil. Oleh itu, saya harus cekal semangat dan berusaha untuk menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan dan alhamdulillah, semua pengorbanan itu berbaloi
“Saya juga tidak pernah menyangka akan dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan. Saya ingin berkongsi kejayaan ini bersama ahli keluarga lain terutamanya ibu, Fatimah Basok yang tidak henti-henti memberi sokongan” katanya sebak dan memeluk ibunya ketika ditemui selepas menerima tauliah daripada Tuanku Mizan.
Selain itu, anak ketujuh daripada lapan beradik itu turut aktif dalam sukan hoki dengan mewakili universitinya pada Kejohanan Liga Hoki Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum).
“Sebenarnya dua orang abang saya juga berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Selepas ini, beliau akan menjalani episod baru dalam hidupnya apabila akan memulakan tugasnya di Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
Sepanjang pengajiannya, Muhammad yang juga bekas pelajar jurusan biologi Kolej Matrikulasi Perlis pernah mewakili delegasi UPNM ke Akademi Militer Indonesia, Angkatan Tentera Udara Indonesia dan Universiti Gadjah Mada untuk sesi pertukaran idea.
Sementara itu, Khairul Ashmawi Abdul Latif, 24, yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat manakala Muhammad Hisham Abdul Halim (Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim) dipilih Pegawai Kadet Terbaik Tentera Laut.
Pegawai Kadet Terbaik Tentera Udara pula disandang Mohd. Najib Shawalluddin yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan Mekanikal Aeronautik.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan pengurusan tertinggi UPNM mengekalkan prestasi universiti tersebut demi mencapai wawasan penubuhannya.
Titah Seri Paduka Baginda, langkah-langkah peningkatan perlu dilakukan secara berterusan mengikut perkembangan semasa supaya usaha mewujudkan kecemerlangan pada masa hadapan tercapai.
“Beta berbangga kerana hari ini merupakan hari bersejarah kepada negara khususnya UPNM kerana berjaya melahirkan pegawai muda yang bakal mewarisi kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Beta yakin lepasan UPNM adalah seorang pemimpin berkarakter yang bermaruah, berintegriti serta tinggi budi pekerti yang akan meneruskan kesinambungan mempertahankan keselamatan dan memelihara kedaulatan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Turut hadir pada upacara itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentauliahan tersebut merupakan satu amanah yang wajib dipelihara dengan komitmen yang berterusan oleh penerima.
“Penerima tauliah adalah mereka yang terpilih, cemerlang dan sanggup mengorbankan jiwa dan raga kepada agama, bangsa dan negara.
“Begitu juga dengan usaha mengharungi cabaran demi meningkatkan kewibawaan, imej dan keterampilan sebagai pegawai ATM yang profesional dan bertaraf dunia haruslah diteruskan,” titah Tuanku Mizan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: