Tuesday, March 15, 2011

Penghargaan buat P Ramlee



Bagi generasi muda, mereka mungkin tidak berkesempatan mengenali Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee secara lebih dekat. Namun, mereka bertuah kerana filem dan lagu legenda itu masih ditayangkan dan diputar hingga kini.

Walaupun sudah 38 tahun pemergiannya, kehebatan P Ramlee turut dikenang dan dihargai golongan muda. Antaranya termasuklah usaha Pusat Budaya dan Seni (PBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Pertandingan Nyanyian Lagu P Ramlee, baru-baru ini.

Pertandingan yang dibuka kepada seluruh warga kampus itu bukan saja bagi menghargai jasa P Ramlee, malah mendekatkan mereka dengan karya seniman terulung itu.

Peringkat akhir pertandingan menyaksikan 10 peserta mara dan berentap menyanyikan lagu P Ramlee yang malar segar hingga kini.

Tuah ternyata menyebelahi Norfatin Yusmi yang membawa lagu Jalan Bersama, apabila dinobatkan sebagai johan.

Menurut Norfatin yang sangat mengagumi P Ramlee, kesungguhan menjalani latihan adalah kunci kejayaannya mengetepikan sembilan finalis lain.

“Walaupun menjalani latihan nyanyian dalam minggu peperiksaan, tidak mematahkan semangat saya malah menganggapnya sebagai cabaran.

“Saya turut berterima kasih kepada guru vokal, Sukena Md Arif yang membantu membuat persiapan terutamanya dalam pemilihan lagu,” katanya.

Sementara itu, Nora Amila Roslan yang mendendangkan lagu Sejak Ku Bertemu Padamu tidak menyangka muncul sebagai naib johan.

“Kemenangan ini tidak dijangka sama sekali kerana semua peserta mempunyai bakat yang hebat.

“Jika bertanding lagi tahun depan, saya akan membuat persediaan dari segi pemilihan lagu yang sesuai dan memberikan kelainan pada persembahan tersebut,” katanya.

Tempat ketiga disandang Nazirul Mu’izz Azmi yang mempersembahkan lagu Getaran Jiwa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: