
TEMPOH 40 tahun bergelar anak seni sudah cukup bagi penyanyi Ramli Sarip meraih pelbagai pengalaman pahit manis dalam hidupnya.
Semua pengalaman itu banyak mendewasakan Ramli hingga mendapat gelaran Papa Rock. Hanya mempertaruhkan vokal yang parau lagi seksi, lelaki kelahiran Singapura itu puas menghiburkan peminat di merata tempat.
Namun dalam banyak-banyak pengalaman itu, Ramli merasai satu perasaan luar biasa selepas membuat persembahan di pejabat Utusan Melayu pada malam Isnin lalu.
Dia yang hadir kerana program Jom Chat Bersama... Ramli Sarip di Utusan Online sempat meluangkan masa menyampaikan tiga buah lagu buat kakitangan di Jabatan Pengarang.
Bergema sahaja vokal lelaki berusia 59 tahun itu yang diiringi petikan gitar kapak, operasi mengejar ‘dateline’ ibarat terhenti seketika dan ruang pejabat menjadi sepi secara tiba-tiba.
Semuanya kerana lagu Doa Buat Kekasih yang memecah kesunyian malam apabila Ramli yang hadir santai dengan berbaju T dan seluar jeans berjaya membuatkan kakitangan terpukau sejenak.
Bagaikan dia tahu ada yang tidak puas hanya dengan satu lagu, Ramli pantas memanaskan lagi suasana malam dengan lagu Perjalanan.
Kemuncak persembahan itu pastinya dendangan lagu berhantu, Teratai yang sesekali dinyanyikan beramai-ramai sekali gus melengkapkan satu malam yang penuh indah di Jalan Chan Sow Lin.
Menyedari tujuan utama datang ke mari, Ramli menyambung tugas hakikinya apabila berbual santai dalam talian secara langsung dan berinteraksi bersama para peminatnya menggunakan teknologi terkini, live streaming.
Selain berinteraksi, Ramli turut melayan soalan dan komen yang dihantar pembaca Utusan Online dan sesi di laman itu boleh diikuti menerusi TV Utusan.
“Terima kasih kepada semua yang sudi menjemput saya ke sini. Inilah pengalaman saya yang paling pelik sepanjang bergelar anak seni.
“Selalunya saya menghiburkan peminat di atas pentas, tapi malam ini saya berdepan secara langsung dengan orang media,” katanya yang tidak putus-putus diajak bergambar kenangan bersama oleh sebahagian kakitangan.
Jumpa di PWTC
April yang bakal bertandang tidak berapa hari lagi memberi satu pengertian cukup bermakna bagi Ramli. Ini kerana buat pertama kali, penyanyi rock terkenal itu bakal muncul membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 20 dan 21 April ini.
Jelas Ramli, dia tidak berhasrat menampilkan gimik tertentu dan baginya cukuplah dengan barisan lagu yang akan disampaikan kelak.
“Saya memiliki lebih 20 lagu popular daripada tujuh album bersama Sweet Charity dan 12 album secara solo.
“Sudah pasti lagu-lagu yang wajib didengar dan sering mendapat permintaan akan saya sampai nanti,” katanya yang mengakui lagu-lagu ‘berhantu’ seperti Teratai, Kamelia dan Bukan Kerana Nama bakal menjadi pilihan.
Kata Ramli, tema pada majlis itu nanti setiausaha adalah bos dan berharap agar golongan tersebut dapat menikmati persembahannya dengan lebih dekat.
Jelasnya, persembahan yang akan diiringi pemain muzik handalan seperti Man Kidal dan Aji akan turut menampilkan lagu Inggeris dendangan penyanyi antarabangsa seperti Rod Stewart dan Bryan Adams.
Sementara itu, majlis makan tengah hari yang akan diacarakan pelakon komedi terkenal, Dee, itu bakal diserikan dengan pertunjukan fesyen Marrie Fashion oleh pereka Sabri Saad.
Pelbagai cabutan hadiah bertuah disediakan termasuk penginapan di hotel sekitar Kuala Lumpur seperti Legend, Grand Seasons, Seri Pacific dan Dynasty, serta barangan elektrik dan baucar.
Tempahan boleh dilakukan dengan menghubungi talian 03-26146701 atau 03-26146702.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: