Sunday, March 27, 2011

Mahu jadi pelakon berilmu




Hari ini banyak sungguh anak muda yang nak jadi pelakon. Sebab itu ada yang payah nak cam wajah mereka.

Menyedari perlunya ada kelainan dan ilmu dalam bidang lakonan untuk lebih maju, anak muda dari Kuantan, Pahang, Muhammad Syazwan Mohd. Hashim mempersiapkan diri terlebih dahulu.

Dia kini mengikuti pengajian dalam bidang lakonan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Saya sudah di tahun akhir. Insyaallah saya akan tamat pada bulan Jun ini. Saya telah mempersiapkan diri untuk terjun ke bidang lakonan.

“Untuk perancangan jangka pendek saya akan memulakan kerjaya sebagai pelakon dulu. Tak kisahlah watak kecil atau besar. Kalau dapat watak pelakon tambahan pun saya akan sedia demi untuk menimba pengalaman.

“Saya memang sangat meminati bidang lakonan sebab itu saya pilih pengajian ini,” kata Syazwan kepada Pancaindera.

Dia sedar ilmu yang ditimba bukanlah bekal mutlak untuk mendapat tempat dalam bidang lakonan, tetapi dia memiliki satu kelebihan.

“Ilmu yang saya pelajari boleh membantu saya dalam kerjaya lakonan. Banyak ilmu yang saya dapat daripada pengajar Aswara.

“Semestinya saya akan menggunakan ilmu yang saya timba daripada Ahmad Yatim, Rohani Yusof, Rosminah Tahir dan lain-lain,” ungkapnya bersemangat.

Sepanjang pengajiannya Syazwan pernah terlibat dalam beberapa pementasan teater termasuk Muzikal Uda Dan Dara, Gelanggang Tuk Wali dan lain-lain.

Kemuncak minatnya untuk mendalami ilmu lakonan teater bermula selepas memenangi anugerah Pelakon Terbaik ketika menyertai festival teater di Pahang ketika di bangku sekolah.

“Selepas tamat sekolah saya cuba memohon masuk Aswara dan berjaya,” katanya lagi. Baginya ilmu yang dipelajari akan memanjangkan lagi langkahnya dalam bidang seni untuk jangka masa panjang.

“Saya boleh menjadi tenaga pengajar juga suatu hari nanti. Saya juga boleh menurunkan ilmu saya kepada pelakon baru lain pula selepas ini,” katanya.

Sementara itu Syazwan yang bersosok tinggi lampai itu juga meminati peragaan dan mula berjinak-jinak dalam bidang itu.

Ada juga beberapa siri peragaan yang dilakukannya antaranya memperaga batik sebuah butik milik kenalannya.

“Saya harap pendedahan saya dalam Kacak Bergaya ini akan membuka lebih pelung untuk saya dikenali,” ungkap Syazwan lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: