Monday, March 28, 2011

Pelakon penipu

TERPEDAYA...tiga mangsa skim MLM yang ditipu K membuat aduan kepada Nadzim (kanan).
TERPEDAYA...tiga mangsa skim MLM yang ditipu K membuat aduan kepada Nadzim (kanan).

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mualaf yang pernah berlakon dalam beberapa drama Cina terbitan produksi tempatan, rupa-rupanya turut bijak ‘berlakon’ apabila memperdaya ribuan mangsa menyertai skim perniagaan jualan langsung (MLM) dianjurkannya, menyebabkan mangsa kerugian hampir RM50 juta.

Dia yang dikenali dengan nama K dan berusia awal 40-an, bijak memperdayakan mangsa melabur skim MLM didalanginya apabila menjual nama kerabat diraja sebuah negeri di Pantai Timur dengan mendakwa dia anak angkat keluarga diraja.


Selain itu, K bijak memanipulasi statusnya sebagai saudara baru menyebabkan skim pelaburan dianjurkannya mudah mendapat ahli dengan jumlah keahlian mencecah 30,000 orang termasuk dari Indonesia dan Thailand.

Kebanyakan mangsa adalah kakitangan kerajaan dan warga emas yang terpengaruh apabila K mendakwa mampu memberi pulangan keuntungan sehingga 60 peratus daripada modal permulaan RM3,700 satu lot.


Penipuan K didedahkan tiga mangsanya, Mohd Fahmi Anuar, 32, Adam Lim, 31, dan Adlan Shah Haris, 35, yang membuat aduan kepada Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.


Mereka yang mengetuai ahli kumpulan pelaburan terbesar di Johor dan sekitar Lembah Klang berkata, K juga meyakinkan pelabur dengan memaklumkan syarikatnya mempunyai lombong berlian di Kanada dan kilang pemprosesannya di China.Menurut Mohd Fahmi, pada mulanya dia musykil, tetapi selepas diberi penerangan kononnya pelaburan itu mempunyai lesen sah selain melihat K menggunakan kereta mewah bernombor VIP yang didaftarkan dengan alamat istana, dia tidak teragak-agak mencuba nasib.


“Saya mengajak rakan lain melabur dan gembira apabila menerima pulangan pertama seperti yang dijanjikan selepas sebulan melabur.

“Namun, sejak Oktober tahun lalu sehingga sekarang saya tidak menerima sebarang bayaran dan setiap kali menelefon K tidak pernah berjawab,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM250,000 melalui dua pakej yang disertai.


Mohd Fahmi berkata, dia bersama rakan lain pergi ke rumah K tetapi mendapati rumah lelaki itu dikawal ketat dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) selain dipasang pagar berduri.


“Saya yakin lelaki itu masih tinggal di rumah berkenaan berdasarkan kereta dan keadaan rumah yang kemas tetapi dia sengaja berbuat demikian kerana enggan bersemuka dengan kami yang ‘mengejarnya’ sejak lapan bulan lalu,” katanya.


Katanya, ramai pelabur mengalami kerugian dan ada antara mereka sanggup menjual kebun, membuat pinjaman bank, menjual barang kemas dan juga meminjam daripada along.


Adlan Shah pula berkata, banyak janji K tidak ditepati malah pelbagai alasan direka bagi melepaskan diri.


“Awalnya kami dimaklumkan proses pembayaran mempunyai sedikit masalah selepas berlaku pertukaran dalam sistem elektronik bagi penambahbaikan dan dia meminta kami menunggu hingga hujung bulan.


“Dia berjanji membayar tunggakan keuntungan kepada ahli melalui pembayaran cek sebaik saja masalah membabitkan sistem itu selesai tapi sehingga sekarang kami tak mendapat apa-apa,” katanya yang mendakwa kerugian hingga RM4 juta, hasil pelaburan bersama beberapa orang bawahannya.


Menurutnya, K juga bijak memerangkap ketua kumpulan sepertinya untuk melepaskan diri daripada dimarahi ahli.


“Selepas cek keuntungan diserahkan kepada ketua kumpulan K akan memaklumkan kepada semua ahli kononnya bayaran dibuat. “Namun, belum sempat kami menunaikan cek dia membekukan akuan bank menyebabkan cek tidak boleh ditunaikan, tapi ahli memarahi kami kerana menyangka dia benar-benar memberikan duit,” katanya.


Adlan Shah juga mendakwa, K memeluk agama Islam hanya sebagai usaha untuk meyakinkan mangsanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan mengesahkan laporan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: