Tuesday, March 29, 2011

Mesti jujur dalam penulisan


SELAIN menjadi seorang penulis, Abd. Rahim juga merupakan seorang penceramah.


BERBUAL dengan ahli akademik yang mencurah seluruh jiwa dan tenaga terhadap pembangunan sistem pendidikan negara, sememangnya membangkitkan keterujaan.

Hujah dan intipati setiap topik penceritaan dijawab oleh Prof. Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid, 61, dengan bernas dan berilmiah.

Begitu juga dengan membaca hasil tulisan tiga buah bukunya yang diterbitkan oleh Utusan Publication & Distributors (UP&D).

Tulisan Abd. Rahim dilihat banyak mencabar pemikiran pembaca untuk menilai dan merenung hala tuju serta matlamat pembangunan negara pada masa akan datang.

Buku Wawasan Pembangunan : Isu dan Cabaran misalnya, memperincikan tentang pentingnya gerak kerja pembangunan dalam sesebuah negara.

Ujarnya : "Pembangunan adalah satu agenda penting dalam pembangunan negara dan mengagihkan kekayaan, mewujudkan keadilan sosial serta menangani pelbagai masalah kritikal yang dihadapi oleh masyarakat."

Begitu juga kupasannya dalam karya Agenda Perubahan: Pengurusan Sumber Manusia dan Kerjaya.

Menerusi buku tersebut, beliau telah menitipkan idea kepada pembaca cara-cara menguruskan sumber manusia, menggarap strategi dan menangani pelbagai agenda secara proaktif.

Pandangan berani beliau tentang pendidikan seksual dilontarkan menerusi sebuah buku yang bertajuk Pendidikan Seksual : Perspektif Kurikulum, Pengajaran dan Tingkah Laku Moral.

Karya itu jelas membahaskan dan memberi panduan berhubung pengajaran seksual di sekolah yang mengambil kira perspektif etika, moral, agama dan falsafah.

Akui Abd. Rahim, setiap kali ingin menghasilkan sesebuah buku, beliau akan membuat rujukan termasuk mengumpul banyak penyelidikan dan kertas seminar.

"Namun, pengalaman saya belajar di Universiti Keel di United Kingdom Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Sains Sosial telah menjadikan saya seorang penulis yang lebih peka dan baik.

"Kehebatan pensyarah saya dalam membuat penyelidikan dan sifat kepimpinan mereka telah mendorong kepada saya untuk mencontohi kerja-kerja dan sikap mereka," beritahunya yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang penulisan.

Setakat ini, beliau telah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku akademik, khususnya dalam bidang pendidikan dan sains sosial.

Buku rujukan

Antara buku hasil tulisan beliau ialah Patriotisme, Agenda Pembinaan Bangsa, Halatuju Pengurusan Sumber Manusia, Ketrampilan Wanita Dalam Konteks Global dan banyak lagi.

Rata-rata karya beliau telah dijadikan buku rujukan di sekolah-sekolah menengah dan di institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Mantan Rektor Kolej Antabangsa Dunia Melayu Dunia Islam dan bekas pensyarah Universiti Malaya (UM) itu juga bertindak sebagai konsultan dalam sektor pembangunan keluarga, masyarakat dan sains politik.

Terkini, beliau adalah penulis sepenuh masa dan sering dijemput menyampaikan ceramah dan seminar di seluruh negara.

Pada 27 April ini, Abd. Rahim akan menjadi salah seorang panel dalam Seminar Setiausaha : Menjana Profesional dan Integriti anjuran UP&D.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama beliau bekerjasama dengan UP&D. Syarikat tersebut telah banyak menerbitkan buku-buku hasil karya beliau. Bahkan, beliau tidak menafikan UP&D adalah sebuah syarikat yang bagus dalam memasarkan buku.

Mengikut perancangan, terdapat tiga buah buku lagi hasil tulisan bekas guru ini akan diterbitkan oleh UP&D. Buku-buku tersebut ialah Wanita Alaf Baru, Pengurusan Pendidikan Tinggi dan Budaya Politik Masyarakat Negara Membangun.

"Saya juga sedang dalam proses menyiapkan beberapa buku lagi," katanya yang tidak pernah jemu menulis.

Rugi jika tidak bertanya kepada beliau bagaimana seseorang berupaya menjadi seorang penulis yang baik.

Ujar Abd. Rahim, perkara pokok yang harus diberi perhatian ialah memiliki banyak pengetahuan selain mempunyai pengurusan masa yang baik.

"Kita mesti jujur dalam penulisan dan jangan plagiat tulisan orang lain.

"Pengalaman juga banyak membantu dan seorang penulis juga mesti berkebolehan mengintegrasikan bahan bacaan atau rujukan," katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: