SIAPA sangka, permainan paintball yang pada asalnya dimainkan dua sahabat di hutan Henniker, New Hampshire, Amerika Syarikat pada tahun 1950-an kini mempunyai kira-kira 12 juta peminatnya di seantero dunia. Populariti paintball dikatakan setara dengan sukan futsal.
Di Malaysia, sukan itu mula dimainkan secara meluas pada tahun 1999. Mungkin ramai tidak mengetahui sebenarnya Malaysia adalah pusat paintball terbesar di Asia.
Sejajar dengan perkembangannya, baru-baru ini pihak Energizer Malaysia Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menganjurkan Energizer Night Strike di Xtion Paintball, Bukit Jalil yang telah pun mencipta sejarahnya tersendiri.
Bermain guna cahaya UV
Acara itu diiktiraf sebagai pertandingan paintball waktu malam yang menggunakan cahaya ultraviolet (UV) pertama di Asia Pasifik oleh Paintball Asia League Series (PALS). Permainan itu menampilkan pusingan ‘speedball’ tujuh minit yang mempunyai senario menawan bendera.
Ia dimainkan dalam keadaan gelap dan hanya diterangi oleh cahaya UV dan bebola cat berwarna pendarfluor untuk melengkapkan imej jenama baru Energizer, iaitu Energy Beam.
“Energizer Night Strike merupakan salah satu contoh bagaimana Energizer membawakan keseronokan jenama kami melalui acara sebegini yang boleh dialami sendiri secara realiti oleh pengguna kami,” kata Pengurus Jenama bagi Energizer, Joshua Leong.
Selama tiga hari berturut-turut, pancaran cahaya dan bebola cat pendarfluor jingga yang ditembak oleh para peserta sepanjang malam berserta bunyi helikopter dan letusan senjata telah menggamatkan Bukit Jalil.
Sebanyak 19 pasukan mengambil bahagian dengan 85 pusingan permainan yang kesemuanya dijalankan pada waktu malam.
Antara pasukan yang mengambil bahagian seperti A.C.E, Pro-Ops, Marauders, TMS, Orale Canale, Black Cell dan Double R termasuk dua pasukan daripada Energizer Malaysia.
Pasukan A.C.E. dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000. Sementara pasukan Double R meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Black Cell dengan wang tunai sebanyak RM5,000.
Kejutan pasukan amatur
Seperti yang dijangkakan, pasukan-pasukan berpengalaman seperti A.C.E sememangnya mempunyai banyak kelebihan. Namun suasana kelam dan cahaya neon di arena pertempuran turut memberi kelebihan kepada para peserta amatur yang berjaya mencatat jumlah tembakan mengenai sasaran yang memberangsangkan.
Sebagai contoh, walaupun pasukan profesional Black Cell yang cukup berpengalaman namun, mereka kalah mengejut dengan pasukan amatur, Double R.
“Medan pertempuran sememangnya seimbang bagi semua pasukan. Tapi persekitaran permainan yang agak gelap ditambah bilangan bebola cat terhad yang boleh digunakan oleh setiap pemain dalam setiap pusingan.
“Ini memberikan peluang kepada pasukan yang kurang berpengalaman untuk mencatat kemenangan,” kata salah seorang ahli pasukan Black Cell, Nicholas Wong.
Bagaimanapun Nicholas mencuri tumpuan ramai dalam permainan itu. Dia telah memasuki medan pertempuran dengan memakai satu sut samaran ghillie lengkap, menjadikan beliau hampir tidak kelihatan apabila meniarap di atas tanah.
Taktik tersebut ternyata berhasil apabila dia berjaya mengetepikan empat orang lawan dalam satu pusingan dan berjaya menggondol gelaran Best Camouflage.
Dalam pada itu, Suhaila Shardi yang merupakan satu-satunya pemain paintball wanita dalam pasukan TMS, muncul sebagai pemain pertama berjaya menawan kubu lawan dalam pusingan awal pada malam pertama.
Dengan mempamerkan ketangkasan dan semangat juang yang mengagumkan, dia berjaya menyelinap masuk jauh ke dalam kawasan pihak lawan dan menyalakan bateri AA Energizer gergasi, menandakan kejayaan mencapai kemenangan.
Mengulas lanjut, Pengurus Besar Napshot, Energizer Night Strike, Kevin Wong berkata, pertandingan itu merupakan satu acara yang sungguh baik untuk industri paintball tempatan, terutamanya bagi membangkitkan rasa minat terhadap sukan tersebut.
“Acara sebegini mungkin bakal menjadi suatu fenomena baru dalam sukan paintball yang pastinya akan menarik minat lebih ramai untuk menyertai permainan tersebut,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: