PENGGEMAR buku adakalanya bukan sahaja cerewet memilih buku tetapi juga lokasi terbaik mencari buku. Bagi yang mementingkan kualiti dan pilihan, mereka lazimnya akan mencari kedai buku yang besar dan selesa. Kepada yang mempunyai bajet terhad, akan ke kedai buku terpakai. Trend terkini ialah memesan buku secara talian yang amat sesuai bagi mereka yang sibuk dan tidak berkesempatan ke kedai buku.
Bagi mencari dan mendapatkan cadangan lokasi pembelian buku terbaik khususnya di Lembah Klang, penulis melayari beberapa laman forum dalam talian dan blog pembaca tegar.
Sebahagian besar pembeli buku memilih Kinokuniya di Suria KLCC atau BookXcess di Amcorp Mall Petaling Jaya untuk membeli buku baru.
Bagi pencari buku-buku terpakai pula, gudang jualan Payless Book di Dataran Milennium Petaling Jaya, Junk Bookstore di Jalan Tun H.S. Lee dan tingkat atas Pasar Chowrasta, Pulau Pinang disebut-sebut sebagai lokasi terbaik pilihan mereka.
Populariti Kinokuniya atau Kino di kalangan kebanyakan rakyat Malaysia mungkin dibantu oleh lokasi yang sangat strategik.
Suria KLCC mudah diakses memandangkan ia mempunyai stesen LRT dan tempat letak kereta bawah tanah yang luas.
Meneliti komen pembaca dalam forum dan blog masing-masing, empat faktor dapat dirumus yang menjadikan Kino sangat digemari ramai iaitu pilihan buku, persekitaran, layanan pekerja dan khidmat dalam talian.
Gudang buku dua tingkat itu menawarkan pilihan tajuk buku yang sangat banyak dengan kepelbagaian genre yang mampu memuaskan keperluan bacaan kebanyakan pembaca di Malaysia.
Pengurus Hal Ehwal Korporat Kino, Theresa Chong berkata, gudang itu menyediakan sekurang-kurangnya 250,000 judul buku pada satu-satu masa, meskipun beliau tidak pasti sama ada angka itu adalah koleksi jualan buku terbesar negara.
Pengunjung kali pertama akan segera menyedari betapa luas pilihan buku yang ditawar oleh gudang buku yang mengkhususkan tingkat atas kepada naskhah seni dan sastera.
Jika terasa rambang mata, pengunjung tidak perlu khuatir kerana tajuk-tajuk buku di Kino dikatalogkan dengan baik, kemas dan tersusun sekali gus memudahkan pengunjung mencari genre pilihan dengan cepat.
Meneliti sampel
Kino mengamalkan konsep rak buku terbuka. Pengunjung boleh memilih dan membaca sebanyak mungkin buku-buku yang dibuka atau sampel sebelum membuat pembelian.
Seorang pengunjung mengakui perasaan selesa itulah yang menjadikan Kino lokasi pilihan untuk beliau meluangkan masa berkualiti dengan yang tersayang pada hujung minggu.
“Pekerja Kino tidak akan mengganggu meskipun pengunjung mengambil masa seharian untuk memilih buku, berbeza dengan layanan pekerja di sesetengah kedai buku tempatan yang sering mengekori sambil merenung menyebabkan kita terasa dilayan bak pencuri,” luahnya dalam satu laman forum.
Seorang pengunjung yang lain pula selesa membenarkan anak-anaknya berlegar di dalam Kino selama yang mereka mahu kerana yakin dengan tahap keselamatan dan kebersihan gudang buku itu.
“Saya pasti mereka tidak akan sesat, lagipun rak-rak buku yang rendah dan mesra kanak-kanak memudahkan mereka dipantau dari jauh selain membolehkan mereka mencari sendiri naskhah pilihan tanpa bantuan orang dewasa,” katanya.
Pengemar buku terutama dari luar Lembah Klang mungkin menghadapi masalah mencari buku idaman memandangkan pilihan kedai buku yang terhad di kawasan masing-masing.
Di sinilah letaknya kepentingan perkhidmatan pembelian buku dalam talian Kino yang dinamakan BookwebMalaysia.
Seorang penulis blog dari Ipoh, Perak memuji perkhidmatan BookwebMalaysia yang dianggapnya lebih cekap dan pantas, selain kos penghantaran murah berbanding pesanan buku melalui peruncit dalam talian utama dunia, Amazon.com.
Kata Chong, setiap pesanan buku akan diproses pada waktu yang sama setiap hari bagi memastikan pesanan tiba kepada pembeli dalam tempoh selewat-lewatnya dua hari dengan kos hanya RM8 untuk setiap penghantaran dan percuma jika jumlah buku berharga RM300.
Buku mahal
“Sambutan terhadap perkhidmatan ini amat memberangsangkan dan meningkat setiap bulan,” katanya.
Sambil meluahkan rasa penghargaan kepada masyarakat yang mempercayai khidmat Kino, beliau tidak menafikan ada kemungkinan mereka akan membuka cawangan yang baru jika menemui peluang dan lokasi yang sesuai.
Penulis menyedari harga-harga buku yang menarik memang mahal untuk golongan pekerja kelas pertengahan, malah ia boleh dianggap bagai satu kemewahan jika ada wang kepada mereka yang berpendapatan rendah.
Ini menyebabkan ramai yang tidak mampu berbelanja bagi memenuhi keinginan membaca kerana perlu menyimpan duit untuk keperluan hidup yang lebih penting.
Bagaimanapun, semasa meninjau-ninjau di Amcorp Mall baru-baru ini, penulis terpandang sebuah buku bergambar kulit tebal Antarctica: A Call to Action yang dijual pada harga RM17.90 sedangkan harga asal yang tertera di kulit buku ialah RM111.00.
Ia kedengaran mustahil, tetapi kedai buku BookXcess memang menjual buku-buku baru berbahasa Inggeris dengan potongan harga sekurang-kurangnya 50 peratus daripada harga asal.
Ia lebih berbaloi jika dibandingkan dengan banyak kedai buku terpakai yang pernah penulis lawati.
Jumlah judul buku di BookXcess mungkin hanya sekitar 10,000 judul yang dibahagikan kepada fiksyen, bukan fiksyen, remaja dan kanak-kanak, tetapi ia turut menempatkan banyak tajuk popular atau karya penulis ternama.
|
|
Ia termasuk karya laris novelis terkemuka seperti Dan Brown, Sidney Sheldon, Cecelia Aher, Danielle Steel, John Grisham dan Sophie Kinsella.
Ada juga karya klasik dari Agatha Christie, Charles Dicken, J.R.R. Tolkien, Jane Austen, Sir Arthur Conan Doyle serta William Shakespeare.
Golongan muda boleh memilih buku-buku popular seperti siri Twilight, Cirque Du Freak, Harry Potter, Percy Jackson, The Vampire Diaries selain Nancy Drew dan The Hardy Boys.
Pengunjung dewasa pula boleh memilih pelbagai genre buku yang bersesuaian dengan minat termasuk biografi, sejarah, hobi malah pelbagai buku masakan terkini chef-chef selebriti termasuk Martin Yan, Ramsey Gordon, Jamie Oliver dan lain-lain.
Pastinya peminat buku teruja apabila melihat perbezaan harga yang begitu besar di antara harga jual dan dan harga runcit sebenar.
Merungkai pertanyaan penulis, pemilik BookXcess, Andrew Yap menjelaskan, kedai itu menjual buku-buku berlebihan atau buku terlebih cetak.
“Buku berlebihan adalah buku-buku yang tidak dapat dijual dan dipulangkan semula oleh pengedar, manakala buku lebihan cetakan berlaku apabila penerbit terbuat anggaran permintaan yang lebih tinggi berbanding permintaan sebenar,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut beliau, syarikat penerbitan termasuk nama terkenal seperti Bloomsbury, HarperCollins, Headline-Hodder, Random House, Paragon, Penguin dan Walker perlu mengosongkan gudang mereka untuk terbitan terbaru.
Ini bermakna, lebihan stok itu perlu dijual pada harga yang sangat rendah, dan memungkinkan buku-buku laris terkini untuk muncul di kedai itu dalam tempoh hanya beberapa bulan selepas diterbitkan.
Untuk kemudahan pengunjung, BookXcess menyediakan sistem pangkalan data yang baik sama ada menerusi laman web atau laman sosial Facebook mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: