![]() |
| MEMPELAI bersama ibu dan ayah Farid Fikri Dorimiza dan Shukri Said (berbaju emas) serta ibu Nur Natalia, Munirah Abdullah (di tengah). |
Ibu kepada Dr. Farid Fikri Syukri, Dorizima Mat Yusuf, 49, yang baru beberapa bulan pulih dari rawatan kemoterapi akibat menghidap kanser payu dara mengakui doanya selama ini telah dimakbulkan Allah.
Pembaca tetap Utusan Malaysia ini cukup bersyukur kerana hasil usaha anaknya untuk mencuba nasib di dalam peraduan ini telah membuahkan kejayaan.
"Ujian kesakitan selama ini satu hikmah tidak ternilai kerana Allah telah membalasnya dengan kemenangan anak saya sekali gus perkahwinan tajaan ini telah membantu saya,'' katanya.
Jelasnya, doanya bukan sahaja termakbul malah berpuas hati kerana dapat menghasilkan sendiri bunga telur untuk tetamu khas dan juga bunga pahar selepas menjalani rawatan.
Selain itu, ibu Nur Natalia Ku Yusof, Munirah Abdullah berkata, beliau serta suaminya dan seluruh ahli keluarga merasa sangat gembira dan bersyukur dengan kemenangan anak dan menantu mereka dalam peraduan berkenaan sehingga layak memiliki majlis persandingan yang cukup meriah.
Ujarnya, sebelum tiba ke Kampung Pengantin, sehari sebelumnya, beliau dan keluarganya sememangnya tidak mengetahui secara terperinci bagaimana keadaan atau persiapan majlis persandingan itu kerana menetap di Kemaman, Terengganu.
"Alhamdullillah, syukur kepada Tuhan yang mempermudahkan perhubungan anak saya dan menantu serta mentakdirkan anak saya memenangi peraduan ini di tempat kedua.
"Saya juga gembira Nur Natalia dipertemukan dengan Farid Fikri yang cukup menyayangi serta menghargai anak saya dan sebagai ibu. Pastinya saya mengharapkan anak saya bertemu suami terbaik sepertinya yang mempunyai pendidikan bagus, tanggungjawab dan serius dengan hubungan.
"Doa saya untuk mereka supaya kekal hingga ke akhir hayat dan terima kasih kepada penganjur yang mengadakan persandingan cukup sempurna untuk mereka," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: