Wednesday, March 23, 2011

Rekaan bagi PBSM


REKAAN untuk PBSM.


TUGAS seorang pereka fesyen sebenarnya bermula daripada kertas kosong yang dilukis sehinggalah rekaan atas kertas itu dihasilkan menjadi baju.

Sebelum sesuatu rekaan dihasilkan, sudah pasti kajian dan penyelidikan perlu dibuat dalam usaha menghasilkan yang terbaik.

Untuk itu, bagi pasangan Aini Adnan, 22, dan Nurmainhana Ab. Rashid, 24, sebelum mereka 'menterjemahkan' rekaan mereka menjadi realiti, mereka memerlukan masa empat bulan untuk membuat kajian dan penyelidikan.

Menurut kedua-dua penuntut tahun akhir Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini, kajian dan penyelidikan amat penting. Tanpa kedua-dua elemen tersebut, sudah pasti apa yang ingin dihasilkan tidak dapat direalisasikan sepenuhnya dengan sempurna.

Kali ini, mereka telah menghasilkan rekaan yang mampu ditukar menjadi aksesori sampingan.

Untuk itu, mereka telah memilih Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk merealisasikan rekaan mereka. Baju hujan boleh menjadi pouch bag, tali beg boleh menjadi anduh, dalam beg sandang terdapat satu lagi beg serta baju hujan boleh disimpan di bahagian belakang jaket.

Rekaan kreatif ini sebenarnya dihasilkan daripada perbincangan bersama wakil Persatuan Bulan Sabit Merah. Selepas dirasakan rekaan tersebut mampu menarik perhatian golongan muda, Aini dan Nurmainhana meneruskannya dengan jahitan.

''Rekaan yang dihasilkan merupakan idea daripada teknik lipatan dan penglibatan Persatuan Bulan Sabit Merah di dalam rekaan ini adalah kerana ingin memberikan sesuatu yang berlainan kepada ahli-ahlinya.

''Bayangkan, untuk dua produk iaitu beg dan jaket, masing-masing mempunyai fungsi yang tersendiri dan ini secara tidak langsung mampu menyelesaikan masalah kecemasan yang berlaku.

''Boleh dikatakan rekaan ini merupakan rekaan pelbagai fungsi di mana ia boleh diubah menjadi aksesori lain pada satu-satu masa,'' ujar Aini ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan fabrik, jelas Nurmainhana, mereka memilih kain kapas kerana ia tahan lasak dan juga sesuai untuk dijahit menjadi jaket dan beg.

Manakala bagi baju hujan pula, mereka memilih kain jenis tafita thick yang kalis air.

Kesemua fabrik serta aksesori yang digunakan merupakan bahan-bahan tempatan dan mudah didapati dan mampu diketengahkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: