![]() |
| WARNA biru menyuntik mood yang lembut dan menenangkan kepada penampilan si pengantin. |
WISMA Sri Angsana yang terletak di Taman Nirwana, Ampang, Selangor adalah lambang kejayaan empayar perniagaan yang diterajui sepasang suami isteri, Nurulhuda Yaacob, 39, dan Mohd. Ashrin Alias, 43, serta rakan mereka, Mohd. Azlan, 36.
Pada mulanya, bisnes yang diasaskan pada 26 Ogos 1996 itu hanya menawarkan perkhidmatan menyewakan kanopi untuk majlis-majlis perkahwinan.
Lama-kelamaan atas permintaan yang tinggi daripada pelanggan, Sri Angsana mengambil keputusan menawarkan perkhidmatan katering pula. Ia bagi memudahkan bakal mempelai mendapatkan perkhidmatan sajian makanan dan kanopi di bawah satu bumbung.
“Kini pelanggan tidak perlu lagi runsing kerana terpaksa mendapatkan khidmat sewaan kanopi dan katering di syarikat yang berlainan. Semua itu boleh ditempah di Sri Angsana. Lebih menarik, pada tahun lepas kami telah melancarkan Pakej 3 iaitu pakej perkahwinan yang terbaik pada harga berpatutan.
“Pakej 3 berharga RM12.80 bagi setiap kepala dengan jumlah minimum 1,000 jemputan. Pelanggan bukan sahaja disajikan menu yang pelbagai dan lazat. Pada masa yang sama, kami menyediakan pelamin, hiasan meja pengantin bersama bunga segar, kek tiga tingkat, solekan dan sepasang busana pengantin,” jelas Nurulhuda sambil menunjukkan koleksi terbaru busana pengantin yang ditawarkan di butik Sri Angsana Cipta.
Berbicara lanjut mengenai pakaian pengantin di Sri Angsana Cipta, Nurulhuda yang memiliki kreativiti menggubah hantaran dan pelamin memberitahu, bakal pengantin bebas memilih konsep dan warna pakaian yang diminati.
Trend renda Perancis
Namun, ibu kepada dua cahaya mata itu menyarankan bakal mempelai haruslah terlebih dahulu menentukan tema perkahwinan dan konsep dekorasi pelamin sebelum melakukan sesi pemilihan busana.
Menurutnya, ia wajar dititikberatkan kerana kombinasi tema pelamin dan busana yang ideal membantu menyuntik penampilan elegan, segak dan anggun kepada pasangan pengantin pada hari majlis resepsi berlangsung.
![]() |
| PAKAIAN pengantin wanita yang berasaskan renda Perancis semakin mendapat sambutan. |
Tambah Nurulhuda, koleksi pakaian pengantin di Sri Angsana tidak terhad pada konsep rekaan tradisional malah turut menampilkan seleksi pakaian pengantin stail moden kontemporari.
Bagi mereka yang memilih tema kemelayuan, baju kebaya pendek bersama kain lipat kipas atau potongan ala duyung antara pilihan yang menawan. Apatah lagi tata rias pengantin perempuan diserikan dengan dandanan rambut, solekan dan padanan aksesori yang glamor.
“Pada pengamatan saya, kebanyakan pengantin muda kini lebih cenderung memilih pakaian pengantin moden kontemporari seperti kebaya labuh yang dipadankan bersama kain dan bengkung warna sedondon.
“Ini termasuklah pakaian pengantin yang dihasilkan dalam rekaan dres labuh dan meleret. Penampilan si mempelai tampak indah dengan sematan vel dan mahkota,” ujar Nurulhuda yang turut memberitahu trend pakaian pengantin sekarang kebanyakannya diperbuat daripada fabrik renda dan sifon.
Tutur Nurulhuda: “Selain renda Perancis, kami turut menggunakan renda Indonesia tetapi dalam kuantiti yang sedikit kerana kebanyakan masyarakat tempatan lebih meminati renda Perancis. Mana tidaknya, renda Perancis menggunakan teknik sulaman yang cantik dan taburan labuci atau manik yang minimum berbanding renda buatan Indonesia.
Dalam pada itu, Nurulhuda yang anggun dalam persalinan baju kurung merah terang itu menyatakan kini Sri Angsana Cipta sedang dalam proses mereka dan menyiapkan pakaian pengantin gabungan renda Perancis dan kain songket. Cara tersebut bertujuan memartabatkan tekstil warisan negara dalam kalangan masyarakat tempatan.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: