
KEBIASAANNYA, upacara berinai dilakukan di sebelah pihak pengantin perempuan pada malam sebelum berlangsungnya majlis akad nikah atau persandingan pada hari keesokannya.
Bagaimanapun, ia sedikit berbeza mengikut tradisi keluarga Shawkath Ali Mohamed Kassim, 56, seorang peniaga kain di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu,
Baru-baru ini, Shawkath Ali telah melangsungkan majlis berinai untuk anak lelakinya yang berusia 25 tahun, Syeikh Muhammad Rafi.
Majlis itu diadakan dua hari sebelum Syeikh Muhammad melangsungkan perkahwinannya dengan wanita pilihan berasal dari Kampung Bukit Diman, Ajil, Hulu Terengganu, Syamimi Sarudin, 22, pada 13 Februari lalu.
Perkara menarik dalam upacara masyarakat India Muslim itu ialah ia melibatkan semua ahli keluarga di semua peringkat umur termasuk kanak-kanak. Ia adalah simbol penyatuan ahli keluarga yang merestui perkahwinan tersebut.
Upacara yang memerlukan persiapan mudah seperti inai dan serbuk kayu cendana itu sebenarnya berasal dari India. Namun begitu, terdapat banyak elemen Islam yang diterap ke dalam pelaksanaannya seperti majlis yang dimulakan dengan bacaan doa.
Sementara itu, beberapa ritual tradisi yang tidak bersesuaian dengan Islam ditinggalkan.
Selepas bacaan doa, upacara berinai dimulakan oleh ibu pengantin lelaki dan selepas itu serbuk kayu cendana akan dilumur pada bahagian muka pengantin tersebut.
Ia kemudian diteruskan oleh bapa pengantin, diikuti adik-beradik dan ipar pengantin yang disusun mengikut usia, ahli keluarga lain dan akhir sekali rakan terdekat.
Menurut Shawkath Ali, selain meneruskan tradisi budaya India Muslim, ia adalah lambang perpaduan dan keharmonian keluarga yang akhirnya akan dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.
Senda gurau
“Pada majlis ini, semua ahli keluarga akan berkumpul dan setiap seorang akan mengambil secubit inai dan dipakaikan pada tangan pengantin.
“Selepas itu mereka akan melumurkan serbuk kayu cendana pada muka pengantin dan ketika proses ini berjalan, banyak senda gurau antara kami menyebabkan majlis ini berlangsung dengan meriah,” katanya.
Menurut Shawkath Ali, di sebalik upacara itu, inai dan serbuk kayu cendana sebenarnya dikatakan dapat menaikkan seri pengantin pada hari persandingan anaknya kelak.
Jelasnya, majlis sama telah dilakukan untuk dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuannya sebelum ini di rumahnya dan ia akan diteruskan untuk majlis perkahwinan tiga orang anaknya yang lain.
Tambahnya, upacara tersebut bagaimanapun lebih meriah jika ia dilakukan di kampung keluarganya di Kampung Thulkenathan, Chennai, Tamil Nadu, India kerana lebih ramai ahli keluarga berpeluang menyertainya.
“Saya sendiri berkahwin di sana tetapi untuk melakukan majlis ini di sana ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Jadi, kami mengambil keputusan mengadakan majlis di sini saja.
“Namun, ada dalam kalangan rakan-rakan saya yang berkemampuan tetap mahu melakukan upacara ini di Tamil Nadu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Sementara itu, menurut Syeikh Muhamad Rafi, dia bersyukur kerana masih ada bapa dan ahli keluarga yang mahu mengadakan upacara tersebut kerana dia sendiri tidak tahu tentang upacara itu.
“Jika ditanya kepada saya mengenai upacara ini, saya akan jawab tidak tahu sebab kami yang lahir di negara ini tidak begitu didedahkan dengan upacara itu.
“Kebanyakan kawan saya terdiri daripada orang Melayu iaitu kaum majoriti di negara ini yang tidak mengamalkan budaya ini,” katanya.
Namun, jelasnya, keunikan budaya yang masih diamalkan keluarganya itu membuatkan perkahwinannya lebih meriah dan meninggalkan banyak kenangan manis di saat-saat akhir sebelum mengakhiri zaman bujang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: