Tuesday, March 29, 2011

Merealisasikan impian insan bertuah


Salah seorang peserta yang mencuba nasib untuk merealisasikan impiannya.


SEDAR akan kepayahan seseorang dalam mencapai impian, TV3 mengambil satu pendekatan dengan menerbitkan sebuah rancangan baru bagi membantu mereka yang bertuah untuk merealisasikan impian mereka.

Rancangan yang diberi nama Sejuta Impian itu bakal menjadi landasan mudah kepada mereka yang berjaya memikat hati panel hakim untuk memperolehi dana bagi menggapai impian yang dihajati.

Menurut penerbit rancangan berkenaan, Tengku Firhad Bustaman Tengku Mohd. Ali, Sejuta Impian akan mengagihkan dana bernilai RM1 juta kepada mana-mana peserta yang dirasakan layak.

"Apa yang penting mereka meyakinkan panel hakim dan mengapa impian itu perlu dilaksanakan.

"Tidak kira apa pun impian mereka kita akan pertimbangkan sama ada perlu atau tidak dana disalurkan," katanya ketika ditemui semasa sesi uji bakat terakhir rancangan itu di Sri Pentas baru-baru ini.

Tengku Firhad menambah, rancangan yang bakal memulakan siarannya pada 5 Mei ini akan membantu merealisasikan impian mereka yang dilihat dapat memberikan impak kepada masyarakat ataupun dalam membangunkan masa depan belia negara.

"Kriteria impian yang kita gariskan merangkumi impian untuk membangunkan diri sendiri, perniagaan ataupun kemasyarakatan.

"Impian itu boleh jadi untuk menyambung pelajaran, memulakan atau membesarkan perniagaan dan yang memberikan impak kepada masyarakat seperti membina surau atau tadika.

"Impian juga boleh datang daripada seseorang individu atau kumpulan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," jelasnya.

Katanya lagi, rancangan 20 episod yang akan disiarkan setiap hari Ahad itu, mendapat kerjasama daripada Telekom Malaysia (TM) selaku penaja utama dan Dana Belia 1Malaysia yang memberikan peruntukan RM1 juta yang ditawarkan.

"Walaupun kita menawarkan RM1 juta tetapi jumlah itu akan dibahagikan kepada mereka yang bertuah.

"Kita cuba untuk merealisasikan impian ramai orang," tegasnya.

Jelas beliau lagi, agihan berkenaan adalah bergantung kepada keputusan panel hakim.

"Sekiranya impian berkenaan dirasakan perlu direalisasikan, panel hakim akan pertimbangkan peruntukan yang akan diberikan.

"Bagaimanapun untuk impian individu, had maksimum yang boleh diluluskan panel hakim berjumlah RM20,000 manakala impian sesebuah kumpulan layak dipertimbangkan sehingga RM50,000," jelasnya.

Tambahnya lagi, rancangan yang akan disiarkan pada pukul 7.30 malam itu, telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 1,000 orang yang berminat untuk merealisasikan impian mereka.

"Jumlah itu terdiri daripada penyertaan yang kita terima melalui tiga cara iaitu uji bakat, permohonan secara pos dan online.

"Bagaimanapun, daripada jumlah berkenaan kita akan tapis dan memilih mereka yang menepati kriteria ditetapkan sahaja untuk ke peringkat seterusnya iaitu proses rakaman," katanya.

Jelasnya lagi, sepanjang melalui proses uji bakat yang bermula sejak 5 Mac lalu di seluruh negara, berbagai-bagai impian yang telah disuarakan oleh para peserta.

"Sepanjang uji bakat, berbagai impian yang disuarakan. Ada yang hendak menjadi pelakon, penyanyi dan yang paling banyak adalah impian untuk membangunkan masyarakat.

"Paling tidak dapat saya lupakan adalah impian sesorang belia yang mahu bekerja selama 10 hari dengan perdana menteri.

"Tidak kira apa pun impian mereka itu kami terima dan serahkan pada team Sejuta Impian dan panel hakim untuk menentukan yang seterusnya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: