Tuesday, March 29, 2011

Ulama Asia Barat inspirasi Juara AQ5


JUARA Akademi Al-Quran musim kelima, Mohd. Syahriansyah Apin menerima senaskah al-Quran bertinta emas daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.


MENDENGAR dan menghayati bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada ulama Asia Barat menjadi inspirasi Mohd. Syahriansyah Apin dalam meningkatkan serta memperbaiki mutu bacaan kitab suci al-Quran.

Itulah antara persiapan yang dilakukan oleh juara program realiti Akademi Al-Quran musim kelima (AQ5) yang berakhir pada Sabtu lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Mohd. Syahriansyah, 25, berkata, pada pentas akhir itu beliau melakukan yang terbaik dan meminimumkan kesalahan.

"Juara atau tidak, bukan menjadi persoalan. Apa yang penting adalah melakukan yang terbaik.

"Kemenangan ini tidak pernah terlintas di fikiran saya kerana semua peserta lain yang beraksi pada pentas akhir adalah yang terbaik," katanya.

Beliau yang diberikan potongan daripada surah An-Nur ayat 32 hingga 34 pada malam itu berjaya memperdengarkan bacaan yang terbaik selain memukau panel juri.

Daripada empat peserta akhir cuma Syahriansyah yang mendapat komen positif daripada para juri tetap AQ5 pada malam itu.

Katanya, kemenangan yang diperolehi berkemungkinan disebabkan peserta lain banyak melakukan kesilapan ketika memperdengarkan bacaan akhir mereka itu.

"Bacaan saya sendiri masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dan mungkin pada pertandingan itu saya dapat mengawal pembacaan agar kesilapan dapat dikurangkan dan dielakkan.

"Bagaimanapun saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan ini. Ia meningkatkan semangat saya untuk terus mempelajari dan memperjuangkan al-Quran," jelas penuntut Falkulti Pendidikan Islam Universiti Malaya itu.

Tambahnya, perancangan yang dilakukan selepas ini adalah untuk menyambung kembali pengajiannya yang tertangguh sejak menyertai rancangan realiti itu sejak 11 minggu lalu.

"Selepas tamat pengajian di saya berhasrat untuk menyambung pengajian diperingkat sarjana pula.

"Mungkin saya akan melanjutkan pelajaran ke Mesir kerana saya memang menyimpan impian untuk dapat menjejakkan kaki ke negara berkenaan," ujarnya.

Jelas pemuda yang bercita-cita untuk bergelar pensyarah itu, Mesir menjadi pilihannya untuk menyambung pengajian disebabkan ramainya pakar-pakar dalam bidang al-Quran di sana.

"Di sana, perkembangan dalam pembacaan ayat-ayat suci al-Quran sangat baik dan saya ingin mengambil peluang itu untuk meningkatkan lagi pemahaman serta ilmu berkenaan al-Quran," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga menyeru golongan muda supaya mendekati dan mendalami al-Quran agar dapat menghindari daripada melakukan perkara yang dilarang.

Dengan kemenangan itu, Mohd. Syahriansyah membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000, sebuah al-Quran bertinta emas yang bernilai RM35,000 dan barangan perabut jati bernilai RM20,000.

Beliau juga membawa pulang pakej mengerjakan haji dan umrah, biasiswa menyambung pengajian, pakej lawatan ke Syria, barangan songket dan sebuah trofi berbentuk al-Quran.

Bagaimanapun, ketiga-tiga peserta lain yang berjaya layak ke pentas akhir berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000, pakej mengerjakan haji dan umrah, biasiswa menyambung pengajian, barangan songket dan sebuah trofi berbentuk al-Quran.

Sementara itu, satu-satunya peserta wanita dalam AQ5, Suhailah Zulkifly,22, berkata, walaupun kejuaraan bukan miliknya, dia tetap berpuas hati dengan prestasi yang telah ditunjukkan.

"Saya tetap seronok dan gembira. Bukan senang menjadi satu-satunya peserta tunggal wanita dan dapat bertahan sehingga ke pentas akhir.

"Saya berharap dengan penglibatan saya ini akan dapat membuka jalan kepada para qariah di luar untuk bersama dalam menyertai AQ pada masa hadapan," jelas anak kelahiran Melaka itu.

Katanya, persiapan dari segi mental dan fikil perlu dilakukan agar peserta wanita dapat bersaing bersama dengan peserta lelaki.

Seorang lagi peserta akhir AQ5, Muhamad Nasir Mohamad Salleh,21, pula berkata, beliau tidak terfikir menjadi juara.

"Hanya Allah sahaja yang tahu betapa besyukurnya saya pada ketika ini dan beraksi dipentas akhir ini merupakan pencapai terbaik saya.

"Saya pernah mencuba pada AQ lepas, tetapi di peringkat uji bakat lagi saya telah gagal," kata penuntut jurusan Usul-Fiqh di UM itu.

Jelas anak kelahiran Klang itu lagi, dia akan sentiasa meningkatkan mutu bacaannya walaupun bukan lagi berada dalam AQ.

"Saya akan terus mendalami ilmu al-Quran dan selepas ini saya akan terus berjuma dengan qari-qari di luar sana untuk berguru," ujarnya.

Peserta termuda yang beraksi pada pentas akhir AQ5, Mohamad Husaini Mahmur, 19, berkata, bagainya ilmu yang diperolehi sepanjang berada dalam akademi lebih bermakna.

"Ilmu yang telah diturunkan kepada saya sepanjang bergelar pelajar akademi itu sungguh besar maknanya buat saya dan itulah adalah hadiah yang paling bermakna untuk saya.

"Insya-Allah segala ilmu yang saya dapat itu akan saya kongsikan dalam memartabatkan lagi al-Quran," jelas pelajar tingkat enam sekolah Maahad Ahmadi, Gemencheh, Negeri Sembilan itu.

Akademi Al-Quran memerlukan peserta mengusai tujuh qiraat dengan tujuh imam iaitu imam Nasi', Ibnu Kathir, Abu Amru, Ibnu Amir, Shukbah, Hamzah dan Kisai', selain memperbaiki dan mendalami tajwid, fasohah dan tarranum.

Bagaimanapun AQ5 menampilkan sedikit kelainan apabila tiada lagi pemenang untuk tempat kedua, ketiga dan keempat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: