Monday, March 7, 2011

Mentor 5 mula dapat perhatian

Baru sekali menunjukkan kemampuan dalam konsert pengenalan, peserta Mentor musim kelima mula membuka mata banyak pihak. Rata-rata teruja menonton persembahan pembukaan keenam-enam protege kepada artis popular ini.

Namun sebesar mana pun nama Mentor mereka, segala-galanya terserah kepada keupayaan mereka dalam memikat hati juri dan pemimat apabila mengadakan persembahan yang bakal dinilai mulai minggu kedua minggu depan.

Shiha perlu lari daripada perbandingan.

Salma protege kepada Erra Fazira dilihat paling kurang pakej berbanding lima lagi saingannya. Tapi sekali dia membuka suara, semua ternganga. Pemilik laman Twiter rata-rata melontarkan pendapat pasal vokal Salma yang bersusuk rendah itu.

Mizz Nina, tunang kepada Noh Hujan yang juga mendidik protege dalam Mentor 5 turut menyatakan rasa terkejut dengan vokal Salma. Malah Twitter milik wartawan hiburan juga banyak yang memuji vokal Salma.

Hanya yang terbaik jadi pilihan peminat dan juri.

Nyata pemilihan Erra yang mementingkan mutu vokal berbanding pakej lain sangat berhasil. Erra sendiri dilihat memiliki pakej wanita cantik sebagai bekal untuk terjun ke dunia seni. Bila dia diberi peluang mendidik bakat baru, banyak yang menyangkakan Erra pilih yang cantik sahaja.

"Yang paling utama vokal, saya memilih vokal sebagai kreteria utama sebab bagi saya perkara lain (imej) boleh dibentuk dari semasa ke semasa," kata Erra.

Pada persembahan pembukaan saya sendiri memilih tiga peserta yang mempunyai daya penarik dan bakal mendapat sokongan pengundi. Selain Salma, anak didik Rahim Maarof, Aiman dan Shiha yang diasuh oleh DatuK Sharifah Aini mempunyai penarik kuat dalam persembahan pertama.

Aiman yang mempunyai suara serak dilihat kurang menonjol vokalnya. Namun penampilannya yang bertubuh tinggi lampai dan memiliki raut wajah kacak akan memberi kelebihan. Dia perlu memilih lagu yang benar-benar boleh menampilkan kekuatan pada vokalnya.

Shiha juga memiliki suara yang merdu. Dia diberi tugasan menyanyilah lagu Aizat, Hanya Kau Yang Mampu untuk menghindari suaranya dibandingkan dengan penyanyi wanita sedia ada.

Aiman miliki pakej menarik untuk diketengahkan.

Tapi pada persembahan pembukaan, nampaknya masih ada sedikit lengguk atau patah lagu Datuk Siti Nurhaliza yang muncul daripada peti suara Shiha yang pastnya tidak diingini oleh Sharifah Aini atau mana-mana Mentor.

Apabila memiliki lengguk suara yang sama dengan penyanyi sedia ada dan yang popular, agak payah untuk mendapat tempat. Jadi Shiha perlu berusaha mengikis pandangan itu.

"Saya memang mengelak Shiha menyanyi seperti Siti (Siti Nurhaliza) atau Rossa," kata Sharifah Aini.

Konsert Mentor 5 bersiaran setiap hari Ahad pukul 9.00 malam dan dibawakan langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor dengan Ally Iskandar sebagai pengacara dan Nas Ahmad menerjah Mentor dan Protege di belakang pentas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: