Monday, March 7, 2011

Amy masih laris

Amy Mastura mungkin dilihat sebagai semakin kurang populariti kalau mahu ukur pembabitannya dalam kerjaya seni. Kemeriahannya mungkin tidak seperti dulu.

Tapi itu bukanlah tanda dia tidak lagi popular. Amy menjadi pilihan banyak produk yang menggunakan wajahnya sebagai kempen mereka. Terbaru Amy dilantik pula sebagai duta produk kecantikan jenama terkenal, Kose.

Sebagai jurucakap semestinya Amy akan memperkatakan pasal produk itu. Sebagai penambah pengetahuannya, Amy sendiri turut menggunakan produk tersebut yang baginya nyata berkesan.

"Sejak menggunakan Kose, saya lihat ada perubahan pada wajah saya dan ternyata ia amat sesuai dengan kulit saya.

"Saya yakin ia juga akan sesuai dengan kulit anda semua," kata Amy dalam majlis pengumuman perlantikannya di Kuala Lumpur 3 Mac lalu.

Makin suram?

Amy juga tidak melenting apabila ada yang mengatakan kerjaya seninya semakin hari semakin suram.

Ada juga drama dan filem lakonannya, tetapi ia tidak begitu ketara sebagaimana suatu masa dulu.

Lagu baru juga dah lama tak kedengaran. Agaknya kerana itulah ada yang nampak Amy semacam semakin menjauhkan diri daripada aktiviti seni.

"Saya masih dapat tawaran menyanyi dan berlakon. Saya masih aktif macam dulu cuma sedikit selektiflah.

"Untuk lakonan, kalau masanya pendek sekitar semingu mungkin boleh saya terima. Saya juga memilih watak yang sesuai dengan diri dan masa saya sekarang.

"Selain sibuk aktiviti sebagai duta produk, saya juga perlu meluangkan masa untuk membesarkan dua anak perempuan saya," kata Amy.

Amy juga masih belum mahu bersara sebagai penyanyi dan tidak pernah fikir ke arah itu.

Sementelah dia masih bernaung di bawah bumbung Sony Music dan masih terhutang satu album bersama syarikat rakaman itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: