Monday, March 28, 2011

Menteri Pendidikan Indonesia terima Ijazah Kehormat UTM


RAJA Zarith Sofiah menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan kepada Muhammad Nuh (kiri) selepas majlis Konvokesyen UTM di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 27 Mac – Menteri Pendidikan Indonesia, Prof. Dr. Kiai Muhammad Nuh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sempena majlis konvokesyen ke-46, di sini semalam.

Anugerah disampaikan sendiri oleh Canselor UTM, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Muhammad Nuh dalam ucapannya berkata, anugerah itu merupakan satu penghargaan bukan saja kepada dirinya tetapi seluruh komuniti pendidikan di Indonesia.

Beliau berkata, kedudukan Indonesia dan Malaysia dari sudut geografi, politik, sosiobudaya dan bangsa serumpun membolehkan kerjasama pendidikan memainkan peranan sebagai ‘pendingin’ ketika berlaku pergeseran politik kedua-dua negara.

“Dengan kerjasama yang kuat, tidak mustahil kedua-dua negara dapat menjadi pusat kecemerlangan pengembangan keilmuan di rantau ASEAN mahupun Asia dan dunia,” katanya ketika berucap selepas menerima anugerah tersebut.

Beliau memberitahu, kini sudah tiba masanya untuk pelbagai program pendidikan bersama seperti program berkembar, pemindahan kredit dan penyelidikan dikembangkan.

Muhammad Nuh, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) dan Doktor Falsafah dari Universite Science et Technique du Languedoc (USTL) Montpellier, Perancis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: