Monday, March 28, 2011

Cipta rekod lari tanpa henti


TIGA pelajar UM mencipta rekod baru dalam The Malaysia Book of Records bagi acara larian berganti tanpa henti menggunakan treadmill selama 72 jam baru-baru ini.


Tiga pelajar Pusat Sukan, Universiti Malaya (UM) berjaya mencipta rekod baru dalam The Malaysia Book of Records bagi acara larian berganti tanpa henti di atas treadmill selama 72 jam.

Percubaan bagi mencipta rekod baru ini bermula pukul 8 malam pada 4 Mac sehingga pukul 8 malam 7 Mac lalu di Pusat Membeli-Belah Tropicana City, Petaling Jaya, Selangor.

Pelajar tersebut ialah Amirul Syazwan Samad, 22, Prasad Money Raj S, 21, dan Mohd. Nor Hafizan Abdul Hamit, 23.

Percubaan untuk memecahkan rekod itu merupakan satu aktiviti di bawah projek anjuran Kolej Kediaman Kelima, UM yang buat kali pertama dianjurkan bagi menyebarkan mesej tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.

Acara itu bermula sekitar bulan September 2010 dengan saringan awal melibatkan 25 peserta sebelum disenarai pendek kepada enam peserta terakhir.

Peserta terakhir itu dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kesemua mereka terlibat dalam cubaan ini.

Kumpulan pertama terdiri daripada See Tiam You, 23, dari Fakulti Kejuruteraan, Mohd Aminuddin Abdul Razak, 19, dari Pusat Asasi Sains dan Azwan Bunjing, 22, dari Fakulti Ekonomi & Pentadbiran.

Sebanyak tiga treadmill dari jenama GINTELL digunakan bagi setiap kumpulan. Setiap peserta akan memulakan larian selama dua jam diikuti dengan rehat selama empat jam sebelum kembali memulakan larian bagi memberikan masa rehat secukupnya kepada treadmill yang telah digunakan. Kebiasaannya, treadmill memerlukan rehat selama lima jam sebelum boleh digunakan semula.

Projek itu juga mendapat sokongan tajaan daripada GINTELL (M) Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat korporat yang sentiasa mengamalkan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dengan membekalkan alat-alatan senaman dan kerusi urut di samping mendidik tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.

Majlis penyampaian sijil pengiktirafan dan penutup program itu dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung,

Hadir sama,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UM, Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: