Wednesday, March 2, 2011
Maybank raih anugerah tiga kali
Maybank sekali lagi memenangi Anugerah Euromoney bagi Perkhidmatan Peribadi Terbaik Keseluruhan di Malaysia buat kali ketiga berturut-turut.
Timbalan Presiden merangkap Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat berkata, Maybank berterima kasih kepada pelanggan perbankan peribadi dan rakan perniagaannya kerana mengesan usaha Maybank dalam memberikan nilai lebih besar ketika menawarkan produk dan perkhidmatan bidang yang berkaitan.
“Anugerah industri ini lebih bernilai kerana kami hanya mula menawarkan perkhidmatan pengurusan kekayaan dalam tempoh yang tidak lama iaitu pada 2007.
“Anugerah ini juga mencerminkan tindak balas kami terhadap persekitaran perniagaan yang mencabar dan keupayaan kami dalam memenuhi kehendak pelanggan terutamanya ketika dan selepas berdepan tempoh sukar iaitu krisis kewangan lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemenang bagi anugerah ini dipilih berdasarkan kaji selidik bahagian Perbankan Peribadi oleh majalah Euromoney yang membabitkan lebih 1,500 profesional dalam bidang perbankan peribadi seluruh dunia.
Bilangan berkenaan turut mewakili pengurusan nilai aset sebanyak US Dolar 7.7 trilion, malah kaji selidik ini juga dilihat sebagai penanda aras pendapat golongan profesional.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelanggan Kaya Maybank, Teh Cheah May berkata, anugerah ini sekali gus membuktikan kejayaan model pengurusan kekayaan baru Maybank dalam memenuhi aspirasi menjadi peneraju perkhidmatan kewangan serantau menjelang 2015.
Menurutnya, kriteria pemilihan adalah penanda aras utama ketika mengorak langkah meneruskan fasa selanjutnya dalam mengembangkan pengurusan kekayaan dan menawarkan produk serta perkhidmatan ke luar negara dengan menggunakan kepakaran yang ada.
“Perkhidmatan perbankan peribadi yang disediakan membezakan status pelanggan di 14 negara yang mempunyai Maybank. Di Malaysia, pelanggan perbankan peribadi bukan hanya menikmati kewangan menyeluruh yang direka untuk memenuhi keperluan perniagaan tetapi juga mereka akan menerima jemputan eksklusif ke mana-mana acara sebagai menghargai mereka,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: