Sunday, March 13, 2011

Leman oh Leman!




TIBa-tiba nama Leman jadi sebutan. Sejak minggu pertama program Raja Lawak musim kelima (RL5) hinggalah dia terkeluar pada minggu ketujuh.

Leman atau nama sebenarnya Sulaiman Ibrahim dikatakan buat lawak merapu. Ramai penonton yang tak faham apa dia cakap kerana dia menggunakan loghat Utara pekat.

Malah lebih mengharukan apabila jejaka berusia 29 tahun itu buat lawak, ada yang menggigil menahan geram dan meluat.

Sudahnya setiap minggu, ramai yang berdoa agar Leman yang terkeluar dari RL5. Tapi nasib Leman cukup bertuah kerana dia kekal sampai minggu ketujuh.

“Saya sebenarnya gembira dalam duka. Lagi pun emak saya tengok RL5 di rumah jiran di kampung, Kuala Nerang, Kedah.

“Kalau saya sedih, nanti mak saya sedih juga. Rumah saya di kampung tak ada Astro,” jawab Leman apabila ditanya kenapa dia kelihatan gembira sebaik namanya diumumkan terkeluar daripada RL5.

Graduan Universiti Malaya itu turut meluahkan isi hatinya apabila pernah gagal uji bakat RL empat musim sebelum ini selain sempat bergelar peguam selama sebulan.

Leman buat apa sekarang sejak seminggu lebih terkeluar daripada RL5?

Saya sedang sibuk menyusun persembahan saya yang penuh sampai Hari Raya nanti.

Wah, hebat Leman sekarang, makin popular ni. Banyak sangatkah tawaran persembahan tu?

Persembahan saya nanti banyak di seluruh Kedah dan Pulau Pinang. Di Perlis pula, saya baru hantar proposal projek. Saya buat semua ni kerana nak balas jasa pengundi saya yang menyokong saya sampai minggu ketujuh. Kuat tu sokongan sampai saya boleh bertahan lama.

Tapi dengar Leman hanya berharap kekal dalam RL5 sampai minggu ketiga saja? Betulkah?

Memang betul pasal saingan peserta lain hebat belaka. Saya pun tak sangka kekal lama. Keluar pula dah ada penyokong tetap saya. Terharu sangat kerana mereka banyak tolong saya. Saya sebenarnya buat lawak dalam keadaan tertekan pasal ramai yang kritik saya. Saya ni orang baru, tak biasa buat lawak dalam pertandingan. Ketar dan takut. Kalau berlawak di luar, lainlah.

Tapi ramai yang nak Leman keluar lebih awal pasal mereka tak faham sangat lawak Leman tu? Tapi Leman kekal juga sampai minggu ketujuh.

Saya buat lawak dalam satu bahasa iaitu utara Kedah. Ada juga suruh saya tukar bahasa tapi saya tak boleh buat kecualilah nak jadi DJ. Sebenarnya saya boleh cakap beberapa bahasa asing lain seperti Hindi, Urdu dan Siam.

Kenapa masa Leman diumumkan terkeluar daripada RL5, kata yes dan seronok macam tak sabar-sabar nak keluar dah. Ada pengundi yang kecil hati seolah Leman tak hargai undian mereka sebelum ni.

Saya dah bagi kenyataan di facebook saya. Bukan apa, saya nak buat kelainan kerana bila diumumkan peserta terkeluar mesti suasana sedih. Saya sebenarnya gembira dalam duka. Lagi pun emak saya tengok RL5 di rumah jiran di kampung, Kuala Nerang, Kedah. Kalau saya sedih, nanti mak saya sedih juga. Rumah saya di kampung tak ada Astro.

Leman kata masuk program tu hanya untuk mendapat publisiti agar dikenali dan seterusnya bergelar Yang Berhormat (YB)? Kenapa cakap macam tu?

Saya masuk RL5 bukan tak nak menang tapi saya akui saingan hebat-hebat belaka. Saya memang tak harap menang pun. Yang saya kata nak jadi YB tu, saya berseloroh saja dengan wartawan lepas sidang akhbar. Saya minta maaflah kepada mereka yang terasa hati tu.

Dengar Leman ni seorang peguam sebelum masuk RL5?

Saya sempat kerja sebagai peguam di sebuah firma guaman di Pulau Pinang sebulan sebelum masuk RL5. Sempatlah dapat gaji pertama. Masa dapat tawaran masuk, saya tanya pendapat kawan-kawan. Dia orang cakap bukan senang nak dapat masuk RL5. Lepas keluar nanti, boleh jadi peguam balik.

Leman belajar mana dulu?

Saya lulusan Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya pada tahun 2008. Saya masuk belajar lambat dan buat program jarak jauh.

Habis tu sekarang nak jadi pelawak atau peguam?

Saya suka buat lawak kerana minat dari kecil. Sebelum ni, sudah empat musim saya gagal uji bakat RL. Pada masa sama, saya masih seorang peguam. Siapa yang nak guna khidmat untuk apa-apa kes boleh cari saya.

Lagi satu gosip pasal Leman. Dengar ahli parti pembangkang? Tu yang nak jadi YB. Betulkah?

Mana ada. Saya tak ada parti. Semua parti saya boleh masuk. Saya ni orang berniaga. Kena berkawan dengan semua orang.

Berniaga apa pula ni?

Sebelum ni, siang saya jadi peguam dan berniaga barang bundle dan ubat tradisiobal pada waktu malam. Dah lama saya berniaga sejak zaman belajar dulu. Duit berniaga saya guna bayar yuran di universiti.

Leman rasa dah popularkah sejak masuk RL5 ni?

Tak tahulah. Saya tak rasa jadi artis, macam biasa saja. Tapi kalau jumpa orang, ada juga yang tegur dan ambil gambar bersama. Itu saja.

Popularlah tu, orang kenal?

Popular ni ada macam-macam. Popular pasal orang suka saya dan popular kerana orang tak minat saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: