Thursday, March 17, 2011

Kitar semula bersihkan HKL


SEORANG jururawat di Jabatan O&G HKL tertarik melihat beg wanita yang diperbuat daripada seluar jean pada perasmian Hari Kitar Semula Jabatan O&G Hospital.


TATKALA fajar menyingsing menembusi hutan konkrit di tengah ibu kota, pekerja-pekerja Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedang bertungkus-lumus mengumpul barang buangan untuk di kitar semula.

Pelbagai botol plastik, tin minuman, kotak-kotak dan kertas dikumpulkan secara beramai-ramai oleh sukarelawan program Hari Kitar Semula Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HKL di perkarangan tempat letak kereta Hospital Bersalin HKL baru-baru ini.

Ia dilakukan hanya dengan satu matlamat iaitu memastikan persekitaran HKL sentiasa bersih dan menyejukkan mata, sekali gus menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.

Pengerusi Kitar Semula Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HKL, Dr. Noor Haliza Yussoff berkata, program berkenaan diadakan bertujuan untuk memupuk minat dan menggalakkan masyarakat memahami serta mengamalkan kitar semula.

“Ia juga diadakan untuk memulihara persekitaran supaya lebih bersih demi keselamatan serta kesihatan pekerja, pesakit serta pelawat yang mengunjungi hospital ini.

“Dalam pada itu, ia juga dapat menjana pendapatan kepada jabatan-jabatan yang terdapat di hospital ini apabila mengamalkan kitar semula,” katanya selepas majlis pelancaran Program Hari Kitar Semula Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HKL.


TIN minuman yang dikumpulkan dipijak untuk memudahkan proses pengumpulan.


Program berkenaan yang mendapat kerjasama Pertubuhan Tzu Chi Malaysia berjaya menarik kira-kira 100 peserta dirasmikan Pengarah HKL, Datuk Zaininah Mohd. Zain.

Walaupun sumbangan program berkenaan tidaklah begitu besar, namun Noor Haliza menambah, dia berharap ia dapat diteruskan kerana melalui aktiviti-aktiviti kecil-kecilan apabila dilakukan secara kerap akan menjadi satu gerakan yang relevan.

Buat permulaan katanya, program tersebut dilakukan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HKL dan ia akan diadakan secara berterusan di jabatan-jabatan lain.

Zaininah memberitahu, terdapat kira-kira 9,000 orang yang berkhidmat di seluruh jabatan-jabatan HKL.

“Saya berharap program yang diadakan ini dapat membuka mata sekali gus membantu meningkatkan lagi semangat kerjasama dalam kalangan pekerja,” katanya.

Sementara itu, seorang jururawat dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Siti Hasliza Hamid, 25, berkata, dia sangat gembira kerana dapat bersama-sama menyumbang tenaga dalam memulihara alam sekitar melalui program berkenaan.

“Program kitar semula yang dilakukan ini mungkin kelihatan kecil tetapi, ia tetap dapat menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar terutamanya di kawasan hospital.

“Ia juga merupakan platform terbaik dalam memupuk semangat cintakan alam semula jadi dalam kalangan pekerja-pekerja HKL,” katanya.

Bagi Rani Alagappan, 54, pula program kitar semula yang dilakukan tersebut secara tidak langsung dapat memastikan persekitaran hospital sentiasa berada dalam keadaan bersih dan jauh daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.


SEORANG jururawat komited menjalankan tanggungjawab membersihkan kawasan hospital pada Hari Kitar Semula Jabatan O&G HKL.


“Sudah seharusnya persekitaran hospital mesti bersih dan selamat untuk pesakit. Membersihkan kawasan hospital daripada plastik, botol dan tin sekali gus memusnahkan tempat pembiakan aedes yang boleh membahayakan pesakit,” kata Ketua Jururawat Jabatan Obstetrik dan Ginekologi itu.

Dalam pada itu seorang lagi jururawat, Asmiyaton Abdullah, 28, berkata, dia sangat gembira apabila mendapat pelbagai maklumat mengenai kitar semula menerusi program berkenaan.

“Kita telah didedahkan dengan barangan yang boleh di kitar semula tetapi kita jarang mengaplikasinya.

“Melalui program ini ia melatih dan mendidik kita untuk bukan sahaja membersihkan kawasan yang kotor tetapi mengamalkan kitar semula,” ujarnya.

Sukarelawan dari Pertubuhan Tzu Chi Malaysia, Chua Thiam Aik, 26, pula memberitahu, kira-kira 20 sukarelawan dari pertubuhan berkenaan membantu program tersebut.

“Kita datang bersama-sama dalam membantu pihak HKL mengitar semula barang buangan.

“Ini merupakan satu kerjasama yang amat baik kerana dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: