Thursday, March 17, 2011

Bijak memilih pencetak


MODEL pencetak HP Officejet Pro 8500 A menawarkan ciri-ciri menarik yang mampu memudahkan tugasan di pejabat.


TERDAPAT pelbagai jenis pencetak yang terdapat di pasaran dengan teknologi cetakan berbeza mengikut keperluan pengguna.

Pencetak didatangkan dengan pelbagai bentuk dan saiz, daripada yang kecil dan mudah dibawa ke mana-mana sehinggalah yang tahan lasak serta mampu melaksanakan tugas cetakan berat di pejabat.

Ada juga pencetak yang direka khusus untuk kegunaan jurufoto dan tidak kurang pula yang menawarkan pelbagai ciri selain mencetak. Ia termasuk mengimbas, menghantar dan menerima faks serta membuat salinan dokumen.

Spesifikasi seperti kelajuan mencetak dan resolusi sesebuah pencetak kadangkala boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

Bagaimanapun, mengenali asas teknologi peranti tersebut iaitu pencetak inkjet menghasilkan gambar yang mampu bertahan lama, manakala pencetak laser monokrom pula merupakan pilihan terbaik untuk menghasilkan dokumen teks dengan pantas.

Pengguna rumah

Pengguna rumah lazimnya mengharapkan pencetak yang dibeli mampu melakukan segala tugasan diberikan mereka. Pencetak perlu berupaya melakukan tugasan seperti mencetak surat, laporan sehingga pengimejan. Kesemuanya tanpa melebihi bajet pengguna.


PENCETAK pelbagai fungsi termasuk faks dan pengimbas boleh menjadi pilihan pengguna.


Ini adalah satu sebab mengapa pilihan terbaik untuk pengguna rumah ialah pencetak mampu dimiliki dan boleh menangani tugasan cetakan yang kebiasaannya dilakukan di rumah.

Contoh terbaik ialah pencetak inkjet berwarna SOHO atau small-office/home-office. Pencetak itu berharga di antara RM150 hingga RM450 yang direka untuk melakukan pelbagai tugasan dalam kuantiti yang rendah, sungguhpun agak perlahan berbanding dengan pencetak pejabat.

Bagi mereka yang kerap melakukan cetakan hitam putih tetapi pada masa sama memerlukan pencetak berwarna, penyelesaian terbaik adalah mendapatkan pencetak peribadi laser monokrom bagi melakukan cetakan dengan lebih pantas dan menjimatkan.

Ini kerana kuantiti yang boleh dicetak bagi setiap unit toner jauh lebih banyak berbanding dengan katrij inkjet. Pencetak laser monokrom hari ini boleh didapati pada harga bawah RM500.

Jurufoto digital

Pada asasnya, mana-mana pencetak inkjet mampu mencetak gambar berwarna tetapi sekiranya memerlukan hasil yang lebih menonjol untuk gambar dirakam, anda memerlukan pencetak yang mampu menghasilkan imej dinamik serta warna lebih hidup.


PENCETAK inkjet DreamLabo 5000 dapat membantu dalam percetakan komersial.


Bagi jurufoto yang sering melakukan cetakan gambar untuk dijadikan sebahagian daripada portfolio mereka, anda perlu mempertimbangkan ciri seperti jenis dakwat digunakan, jenis kertas yang boleh dicetak dan pengurusan warna sesebuah pencetak sebelum membuat keputusan membelinya.

Jika anda hanya perlu mencetak tanpa memerlukan banyak suntingan pada gambar dirakam, anda mungkin boleh memilih pencetak yang menawarkan ciri cetakan terus dari kamera tanpa memerlukan komputer.

Pencetak jenis itu selalunya mempunyai skrin LCD kecil yang membolehkan kita melakukan suntingan asas sebelum mencetaknya.

Usahawan kecil dan sederhana

Sama ada anda bekerja dari rumah atau mempunyai perniagaan kecil yang dilakukan dari rumah, pencetak pelbagai fungsi mungkin pilihan terbaik.

Sama ada pencetak laser atau inkjet, pencetak multi fungsi menggabungkan pengimbas, penyalin dan juga mesin faks. Ia juga mampu menjimatkan ruang dengan kos yang sederhana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: