Saturday, March 26, 2011

Kempen deposit baru sasar RM200 juta

Agrobank menyasarkan kempen deposit terbaharunya yang bakal dilancarkan Mei ini, mampu menarik RM200 juta simpanan daripada pelanggan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said (gambar) berkata, kempen deposit itu yang akan bermula tidak lama lagi, yang juga kesinambungan daripada 'Kempen Simpan Dapat Kereta' yang dilancarkannya awal tahun lalu.

“Kami menyasarkan kempen deposit Agrobank terbaru, yang akan berlangsung selama enam bulan mulai Mei ini, berupaya menarik RM200 juta simpanan daripada lebih 200,000 pelanggan,” katanya.

Menurutnya, kempen deposit Agrobank akan menawarkan hadiah yang lebih menarik, termasuk emas, sijil simpanan pelaburan, wang tunai serta kereta mewah bernilai RM250,000.

Beliau berkata, Kempen Simpan Dapat Kereta yang dilancarkan awal tahun lalu, berjaya mencapai sasaran menarik simpanan sebanyak RM500 juta daripada lebih 280,000 penyimpan.

Selain itu, Agrobank juga akan menambah produknya bagi memenuhi keperluan pelanggan serta memastikan ia memenuhi segala keperluan perbankan masa kini.

Produk terbaharu Agrobank yang akan ditawarkan kepada pelanggan termasuk pembiayaan perdagangan serta beberapa produk lain seperti dalam sektor perbankan Islam.

Ditanya sama ada Agrobank berminat mengikuti jejak langkah beberapa bank tempatan lain mengembangkan operasi mereka di luar negara, Ahmad Said berkata, pada masa ini syarikat tidak mempunyai perancangan berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Agrobank bakal mengembangkan operasinya di luar negara terutama di negara serantau pada suatu hari nanti.

“Kita mungkin akan menerokai pasaran luar negara untuk meluaskan lagi asas pelanggan, bagaimanapun memandangkan pasaran Malaysia masih kecil, fokus kini tertumpu pada operasi dalam negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: