Saturday, March 26, 2011

Kuasa ‘petikan gitar’ Karl Cromok

Tempoh 15 tahun bukan jangka masa singkat dan mungkin saja akan terus dilupakan peminat.

Namun, berbeza dengan gitaris handalan, Khairul Anuar Shariff atau Karl yang berani tampil dengan album baru setelah kemunculan terakhirnya dalam album Cromok pada 1996.

Uniknya, kali ini Karl tidak muncul bersama kumpulannya sebaliknya tampil solo dengan album sulungnya berjudul 'Shred It Back'.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa Karl kembali untuk beraksi dan sanggup berdepan dengan bakat baru yang jauh lebih muda darinya. Malah, pertaruhan beraninya terhadap album yang sarat dengan hanya petikan gitar turut mengundang tanda tanya.

Bagaimanapun, Karl dengan penuh optimisnya yakin masih ada peminat tersendiri dan menganggap konsep albumnya itu adalah kelainan untuk pencinta muzik.

“Pada 2009, seorang rakan mendatangi saya selepas menonton konsert kumpulan Dewa dan memberi idea untuk saya mengeluarkan album solo.

“Awalnya, saya tidak mengambil serius, namun dia meyakinkan bahawa saya masih mempunyai ramai peminat. Sejak itulah bermula titik tolak penerbitan album solo ini,” katanya ketika sesi santai di studio rakaman HotSound Studio, baru-baru ini.

Menurut Karl, dia tidak mahu kehadiran albumnya sekadar menambah koleksi album gitaris tanah air, sebaliknya dia ingin tampil dengan kelainan.

“Sebanyak lima lagu instrumental dimuatkan dalam album ini, selain empat lagu instrumental dalam versi ‘extended solo guitar’. Bonus empat lagu itu ibarat ‘minus one’ gitar yang memberi peluang peminat memetik gitar mengikut alunan lagu.

“Saya turut berkolaborasi bersama legenda rock, Amy Search dalam lagu Petanda,” katanya.

Bagi Karl, keistimewaan albumnya juga terletak pada kekuatan lagu dengan melodi tersendiri terutama lagu berkonsep slow rock.

“Berteraskan muzik rock, melodi yang kuat mampu menguatkan tarikan dan penghayatan peminat terhadap lagu dalam album ini,” katanya.

Pengarah pengiklanan di sebuah syarikat swasta ini menggunakan khidmat bekas ahli kumpulan Nrocinu iaitu Shah Sidious (gitaris), Zali Dethstroke (drummer) dan Hafiz Fedora (bassis) bagi menyempurnakan pembikinan lagu dalam 'Shred It Back'.

Album Karl diedarkan sejak Februari lalu dan mula dijual di halaman Facebook Karl yang sudah mencapai sekitar 5,000 pengikut.

Selain Petanda, antara lagu yang terkandung dalam album itu adalah Magnificient dan Expression in K Minor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: