Friday, March 25, 2011

GSTT serap guru tetap

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserapkan ke jawatan tetap perkhidmatan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, mereka perlu memenuhi syarat-syarat pelantikan anggota perkhidmatan awam, berkhidmat dua tahun ke atas dan berumur tidak lebih daripada 35 tahun.

“Mereka akan diberi latihan iktisas yang bersesuaian dan ditempatkan di sekolah-sekolah yang memerlukan di seluruh negara.

“Kementerian juga telah memutuskan mulai tahun ini, tiada lagi GSTT akan dilantik pada masa hadapan,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, GSST kini berada dalam sistem pendidikan yang diberi perhatian dan pertimbangan agensi pusat untuk terus berkhidmat dengan kementerian itu.

“Pelantikan GSTT dilaksanakan mengikut keperluan semasa untuk mengisi kekosongan atau kekurangan guru di sekolah disebabkan guru cuti bersalin, menyambung pelajaran dan lain-lain.

“Lantikan adalah bersifat sementara dan dilaksanakan secara kontrak mengikut kesesuaian jangka waktu.

“Tempoh perkhidmatan mereka akan ditamatkan apabila guru terlatih daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) mengisi kekosongan itu,” katanya.
Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Datuk Marcus Majiko (Putatan), Teng Boon Soon (Tebrau) dan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong).
Mulai 2013, katanya, Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia.

“Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan modal insan cemerlang, berkemahiran tinggi dan memiliki semangat patriotik kewarganegaraan yang tinggi.

“Justeru itu, kementerian telah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji kurikulum dan buku teks Sejarah yang bertanggungjawab menilai sukatan dan kandungan buku teks itu,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: