
SATU ketika dahulu francais Rock Band mungkin dipandang sebagai sebuah permainan video yang cuba menumpang populariti Guitar Hero. Kedua-dua merupakan permainan simulasi kugiran muzik dengan menggunakan lagu-lagu terkenal dalam permainannya.
Kini, dengan Rock Band 3 (RB3), peminat Guitar Hero sudah mula berpaling tadah kerana pembaharuan yang dibawa francais Rock Band. Ia diterbitkan oleh Harmonix dan Backbone Entertainment dan boleh dimainkan menerusi konsol Xbox 360, Playstation 3, Wii dan Nintendo DS.
Mod Pro
Mod untuk bermain secara pro adalah pembaharuan utama yang dibawa permainan terbaru ini. Bagi tujuan tersebut, alat kawalan gitar khas dibangunkan iaitu pro guitar dan pro drums.
Pro guitar dilihat seolah-olah menyerupai gitar sebenar dengan menempatkan 102 butang di bahagian leher gitar berkenaan hampir sama gitar sebenar.
Lebih menarik lagi, alat kawalan pro guitar itu boleh didapati dalam bentuk Fender Squier Stratocaster dan Fender Mustang. Walaupun tidak memiliki tali sepenuhnya, pro guitar menyediakan string box yang memerlukan pemain untuk strum seperti bermain gitar sebenar.
Pemain perlu menekan butang pada leher gitar mengikut kod-kod lagu yang dipilih. Selain daripada gitar, terdapat juga mod pro untuk gitar bass, drum dan papan nada.
Mekanisme permainan
Secara keseluruhan, cara permainan RB3 tidak jauh beza berbanding siri sebelum ini. Pemain masih perlu memainkan alat muzik mengikut isyarat yang muncul di skrin mereka.
Dalam pada itu, pemain juga mempunyai kebebasan memilih untuk bermain secara solo ataupun berkumpulan dengan bilangan pemain sehingga empat orang. Ia tidak termasuk penyanyi.
Pemain perlu menamatkan sesuatu lagu mengikut tahap kesusahan yang telah dipilih dan terdapat bonus istimewa sekiranya semua pemain memainkan alat muzik masing-masing dengan cemerlang. Bagaimanapun, jika salah seorang ahli kumpulan gagal ia akan menjejaskan prestasi keseluruhan kumpulan.
Mod permainan
RB3 kali ini menawarkan mod kerjaya lebih menarik, apabila pemain mampu menggubah sendiri jalan cerita kumpulan muzik yang ditubuhkan pada awal permainan.
Terdapat juga mod permainan Road Challenges yang membolehkan pemain berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk menduga kewibawaan dan kehebatan pemain.

Bagi mereka yang gemar bermain lebih daripada seorang, pemain boleh memilih permainan secara offline bersama rakan-rakan lain atau pun dengan menyertai kumpulan lain secara atas talian.
Set lagu
RB3 memberikan seleksi pilihan lagu yang banyak untuk pemain. Lagu-lagu daripada 1970 sehingga 2000 boleh didapati dalam RB3.
Antara lagu menarik yang terdapat dalam permainan itu adalah Werewolves of London oleh Warren Zevon, Rainbow in the Dark (Dio), Misery Business (Paramore) dan Beast and the Harlot (Avenge Sevenfold).
Pemain juga boleh membeli dan memuat turun lagu-lagu daripada Harmonix. Seleksi lagu-lagu muat turun adalah lebih menarik seperti daripada kumpulan terkenal Linkin Park, Metallica, Lenny Kravitz dan Lady Antabellum.
Walaupun RB3 tidak memiliki kualiti grafik yang hebat, ia tidak penting kerana pemain hanya akan memberi tumpuan pada isyarat alat muzik dan juga muzik itu sendiri.
Ia lebih menyeronokkan apabila sahabat handai bertandang di rumah dan semua alat muzik dapat dimainkan bersama-sama untuk menambah kemeriahan bermain muzik.
Ciri terbaru iaitu pro guitar dan pro drums juga memberikan satu nafas baru kepada permainan genre ini. Koleksi lagu sedia ada dan kandungan lagu muat turun dalam permainan yang sentiasa bertambah pasti akan membuatkan pemain tidak mudah jemu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: