
TANYALAH kepada sesiapa sahaja, saat dikhabarkan sebagai pesakit barah pasti diri terasa hilang harapan untuk terus hidup.
Memikirkan kematian, kesakitan dan segala jenis rawatan kanser menyebabkan seseorang berada pada tahap putus asa paling ekstrem.
Kerana itu, apabila didiagnosis sebagai pesakit kanser adalah penting untuk seseorang itu mendalami dan memahami penyakit tersebut.
Selain mendapat rundingan pakar perubatan, seseorang pesakit seharusnya mendekati survivor dan pesakit kanser lain untuk berkongsi kisah.
Kehadiran buku My Journal edisi kedua dilihat sebagai satu cara lagi untuk pesakit kanser mendapatkan sokongan dan semangat.
Dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin, inisiatif yang menerima sokongan daripada Empowered! iaitu Persatuan Advokasi Barah Malaysia itu adalah sejajar dengan misi persatuan berkenaan untuk menyelamatkan nyawa dan menghapuskan penderitaan akibat barah dalam kalangan masyarakat yang kurang berkemampuan.
“Saya dapati ramai pesakit saya yang tidak mempunyai maklumat yang sewajarnya mengenai keadaan mereka. Itu menyebabkan mereka khuatir dan sangat tertekan.
“Waktu itulah timbul inspirasi untuk saya menerbitkan My Journal bagi dijadikan bahan rujukan dan panduan untuk membantu pesakit-pesakit barah memahami keadaan mereka dan siri rawatan yang ada supaya mereka lebih bersedia menghadapi hari-hari hadapan,” jelas Pengasas dan Presiden Empowered! yang juga penulis buku tersebut, Dr. Christina Ng.
My Journal adalah projek khidmat masyarakat di seluruh negara yang menjadi sumber bagi pesakit dan bekas pesakit barah untuk memaklumkan serta memperkasa mereka dalam menghadapi barah.
Berdasarkan maklum balas daripada pesakit-pesakit yang mendapatkan edisi pertama yang dilancarkan pada 2007, olahan dan pembaikan telah dibuat dalam edisi kedua untuk menjadikannya lebih informatif dan praktikal bagi pengguna.
“My Journal menawarkan maklumat mengenai jenis-jenis ujian diagnostik yang boleh dijalani, menerangkan jenis-jenis rawatan barah dan memberi nasihat mengenai pelbagai impak ekoran rawatan barah seperti kesan ke atas kehidupan peribadi dan keluarga pesakit,” ungkap Christina yang juga seorang perunding perubatan onkologi.
Edisi kedua itu juga menyediakan kertas kerja untuk membantu bekas pesakit mengatur diari rawatan mereka, merakamkan temu janji dengan doktor dan menyimpan senarai ubat-ubatan.
Diterbitkan dalam bentuk filofax dan empat pilihan bahasa utama negara, ia membolehkan pesakit memfailkan laporan pemeriksaan kesihatan mereka atau rencana-rencana yang memberikan inspirasi selain terdapat bahagian untuk menulis nota peribadi.
“Barah adalah sejenis penyakit yang boleh melemahkan seseorang dari segi fizikal dan emosi. Menghadapi diagnosis barah amatlah menghampakan. Seseorang pesakit itu mungkin mengalami emosi mendalam daripada kejutan awal hingga kepada perasaan penuh kekhuatiran, sedih dan rasa marah.
“Kerap kali, pesakit yang melawan barah sukar meluahkan perasaan mereka kepada keluarga dan rakan-rakan dan mungkin akan menyendiri dalam usaha menangani kebarangkalian mengatasi penyakit ini.
![]() |
| CHRISTINA menunjukkan edisi kedua My Journal yang menjadi panduan dan motivasi kepada pesakit kanser. |
“Maklumat yang betul dan sokongan yang padu adalah amat penting pada waktu itu kerana pesakit perlu berfikiran waras dan bersedia secara mental untuk menjalani pemulihan,” tambah beliau.
Sempena majlis pelancaran itu, sebanyak 4,000 naskah edisi kedua My Journal akan disumbangkan kepada hospital-hospital kerajaan terpilih yang mempunyai unit barah bagi memperkuatkan lagi misi EMPOWERED!
“Kementerian Kesihatan amat berbesar hati kerana dapat menyokong inisiatif murni ini. Ilham di sebalik My Journal, iaitu untuk membantu pesakit barah dalam menjalani pemulihan dengan maklumat dan sokongan yang mencukupi amatlah membanggakan,” kata Rosnah.
Seorang bekas pesakit barah usus, Phong KT, memberitahu, melawan barah adalah suatu fasa hidup yang menakutkan.
“Saya bernasib baik kerana telah diperkenalkan kepada My Journal yang menjadi satu sumber pengetahuan yang berharga untuk mententeramkan saya,” kata Phong.
Edisi kedua My Journal dijual pada harga RM30 di empat buah hospital iaitu Hospital Pantai Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Sunway Petaling Jaya, Pusat Perubatan Sabah dan Pusat Pakar Loh Guan Lye Pulau Pinang.
Bagi setiap naskhah My Journal yang dijual, orang ramai akan membantu seorang bekas pesakit barah yang kurang berkemampuan untuk memiliki senaskah panduan sumber.
Untuk keterangan lanjut mengenai edisi kedua My Journal atau Empowered! The Cancer Advocacy Society of Malaysia sila layari www.empowered.org.my.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: