MENYUSURI mahligai milik keluarga pereka fesyen terkenal Amir Luqman menyedarkan penulis mengenai bakat dan cita rasa yang mengalir dalam diri pereka fesyen ini.
Kediaman dua tingkat yang telah diubahsuai itu sarat dengan pelbagai suntikan elemen budaya tempatan tetapi berkonsepkan gaya Inggeris klasik sebagai latar utama.
Ia memberi kesan dramatik dan karakter sebuah mahligai yang terletak di Seksyen 4, Shah Alam, Selangor itu.
Bahagian luar rumah menekankan gabungan ciri budaya Melayu negeri Kelantan dan Pattani, Thailand dengan menonjolkan kemasan kayu dan pintu gerbang yang melambangkan budaya daripada negeri Pantai Timur.
“Idea bahagian luar rumah ini adalah satu konsep yang saya hasilkan untuk mengekalkan ciri-ciri asal usul keluarga saya yang berasal daripada Pantai Timur. Konsep sebegini memberikan kelainan kepada rumah yang terletak di kawasan bandar,” kata Amir yang ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.
Melihat rumah yang memiliki empat bilik tidur itu, ruang tamu dari gaya Inggeris klasik berjaya menarik perhatian dengan penelitian pemilihan perabot dan barang perhiasan bagi menaikkan lagi seri ruang itu.
Menurut Amir, hiasan dalaman rumah itu kebanyakannya idea daripada ibu bapanya yang amat gemar menghias rumah.
Sempat bertemu dengan kedua ibu dan bapanya, Rahani Abd Ghani dan Othman Ismail, mereka memberitahu walaupun gemarkan konsep Inggeris klasik, kegemaran mengumpul barangan antik terutamanya perabot dari kayu jati turut memberi suntikan hiasan dalam rumah mereka.
“Kami gemarkan perabot dari kayu jati dan atas dasar itu kami turut menggabungkan elemen itu dalam gaya Inggeris klasik sebagai konsep utama,” kata Othman yang merupakan seorang pesara.
Sementara itu, Amir memberitahu dia pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang hiasan dalaman sebelum bertukar ke bidang fesyen. Pengalaman belajar dalam bidang itu turut memberikan idea kepada ibu bapanya dalam menghias rumah.
“Saya sukakan sesuatu yang ringkas dan tidak sarat. Sebagaimana saya terapkan dalam rekaan pakaian begitu juga untuk hiasan dalaman,” katanya yang sukakan rona gelap bagi mewujudkan suasana suram.
Jarang berada di rumah kerana kesibukannya sebagai seorang pereka fesyen, Amir memberitahu, dia gemar menghabiskan masa di ruang dapur yang turut menempatkan sebuah katil siang.
“Saya suka duduk di katil siang yang dibeli untuk mendapatkan ilham dalam menghasilkan rekaan selain dapat membuatkan saya mengimbas memori mengenai rumah ini yang banyak nostalgia,” katanya.
Menariknya mengenai rumah milik keluarga Amir, ia adalah gabungan dua buah rumah yang mana unit kedua didiami oleh abangnya.
Sebuah bilik di tingkat bawah yang dijadikan bilik tetamu menjadi penyambung kedua-dua buah rumah. Menariknya kediaman itu mempunyai sebuah pintu sebagai pemisah antara kedua-dua buah rumah tersebut.
Menariknya mengenai bilik tetamu itu, selain mengekalkan hiasan Inggeris lama, bilik tersebut juga turut menempatkan beberapa barang antik milik bapa Amir seperti katil besi dan sebuah kerusi malas yang berusia hampir 250 tahun.
“Ibu dan ayah mahu anak-anak berada dekat dengan mereka supaya hubungan sentiasa rapat tambahan pula mereka telah bersara.
“Kini mereka lebih banyak meluangkan masa menghias rumah bagi memenuhi waktu lapang mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: