ASAK...asakan dan serangan bertubi-tubi dilakukan untuk menewaskan lawan.
SORAKAN dan jeritan penonton yang tidak putus-putus kepada peninju kegemaran mereka menggegar Stadium Titiwangsa sekaligus menimbulkan suasana gegak gempita.
Malah ada di antara penonton bertindak melakukan provokasi cuba ‘menduga’ emosi penyokong lawan sehingga mencetuskan perang mulut. Itulah antara situasi yang menghiasi Cabaran Muay Thai Kuala Lumpur: Edisi Super 8 yang berlangsung baru-baru ini.
Perlawanan anjuran Persatuan Tomoi Kuala Lumpur (PTKL) yang julung kali diadakan itu menerima kira-kira 20 penyertaan daripada peninju tempatan dan seorang peninju dari negara jiran, Thailand.
Walaupun sukan Tomoi bukan berasal dari negara ini, ia mendapat sambutan hangat daripada peminat malah melihat prestasi peserta tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebaris dengan peninju dari negara gajah putih itu.Melihat penyertaan daripada beberapa kelab yang mempunyai ‘bintangnya’ yang tersendiri seperti Kelab Tomoi Kuda Merah PDRM, saingan yang diberi oleh peninju begitu sengit kerana kebanyakan peninju yang tewas hanya dipisahkan jumlah mata yang begitu sedikit.Malah, ia juga mendapat penyertaan daripada peninju yang mempunyai nama besar dan dikategorikan sebagai ‘gred A’ iaitu seperti Tengku Sharizal Tengku Abdul Rahman dan Mohd Sanusi Yusoff.
Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu perlawanan merebut tali pinggang, Super 8 dan pilihan regu terhebat, di mana dalam perlawanan akhir, enam peninju mengambil bahagian.
Bagi merebut tali pinggang, Wan Abdullah Wan Ibrahim, 18, muncul sebagai juara dengan menewaskan peninju daripada Kelab Tomoi Kuda Merah PDRM, Amirol Ariffin, 20, dengan kiraan 138-137.
Perlawanan yang memasuki lima pusingan itu membuat penonton berdebar dan tidak senang duduk kerana kedua-dua peninju saling berbalas tumbukan untuk mendapatkan mata yang tinggi.
Wan Abdullah atau nama jolokan Lah Kirsty berkata, perlawanan itu adalah sengit kerana lawannya cukup handal dan melakukan serangan bertubi-tubi.
Namun katanya, dia mungkin mempunyai kelebihan kerana lawannya mengalami kecederaan pada bahagian mata dalam perlawanan terdahulu yang sedikit sebanyak mungkin mengganggu konsentrasinya.
“Pada satu ketika saya hampir tewas apabila diasak dengan tumbukan yang bertubi-tubi di bahagian muka sehingga menyukarkan saya untuk membalas serangan itu.
“Pada pusingan kedua, saya mula melakukan serangan dan dapat mengenal pasti kelemahannya. Saya mengambil kesempatan itu untuk menewaskannya,” katanya.
Perlawanan itu juga menyaksikan kedua-dua peninju mengalami kecederaan di bahagian muka, namun semua itu tidak menjadi halangan untuk kedua-duanya meneruskan perlawanan.
Asakan demi asakan yang dilakukan oleh peninju juga membuatkan hampir 2,000 penonton merasai debaran dan turut sama menjerit seolah-olah merasai kesakitan apabila peninju pilihan mereka terkena tumbukan.
Bagi Lah Kirsty, kemenangan itu adalah rekod kemenangan peribadinya yang ke-41 daripada 46 perlawanan yang disertainya sejak berusia 13 tahun.
Pemuda kelahiran Rantau Panjang, Kelantan ini akan cuba mempertahankan gelaran yang dirangkulnya itu dalam cabaran edisi Jun ini.
Walaupun menjangkakan cabaran yang diterimanya dalam edisi itu akan lebih sengit, dia tekad mempersembahkan aksi yang terbaik.
Bagi Khairul Anuar Rusli, 21, ejekan dan cemuhan yang diterimanya sepanjang dia beraksi dalam cabaran itu tidak sedikitpun membuatkan dirinya goyah.
Katanya, walaupun kebanyakan penonton berasal dari Kelantan kerana sukan itu lebih popular di negeri itu, entah mengapa dirinya sedangkan dia juga berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Memang tidak dapat dinafikan, saya berasa agak kecewa apabila dicemuh sedemikian rupa namun saya sedar tidak semua orang akan menyukai kita walaupun mempunyai persamaan.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu mengambil pusing mengenainya dan hanya fokus pada perlawanan saya. Mereka (penonton) mempunyai peninju kegemaran masing-masing,” katanya.
Menurutnya, aspek yang paling penting dalam tomoi adalah keyakinan dan semangat tidak mudah mengalah selain kerjasama rakan sepasukan juga menjadi faktor utama.
Bagi peminat sukan tomoi, nama Pokku mungkin tidak asing lagi kerana kehebatannya menumpaskan lawan sememangnya menjadi buah mulut ramai.
Pokku atau nama sebenarnya Tengku Sharizal Tengku Abdul Rahman mempunyai reputasi cemerlang dalam sukan ini yang memenangi 121 perlawanan daripada 142 perlawanan yang disertainya.
Melihat perlawanan anak muda berusia 24 tahun ini, nyata dia seorang yang agresif ketika di gelanggang dan bijak menggunakan ruang dan peluang untuk mengalahkan lawan.
Katanya, dia mula terbabit dalam sukan itu sejak berusia 6 tahun dan pembabitannya itu banyak dipengaruhi oleh ayahnya.
“Walaupun ada sesetengah orang melabelkan sukan ini sebagai ganas dan berbahaya, bagi saya ia mempunyai keistimewaannya dan tidaklah seganas yang didakwa.
“Tomoi sudah menjadi sebahagian daripada diri saya dan tidak lengkap rasanya jika saya tidak berlatih setiap minggu,” katanya.
Dia yang menyertai Kelab Tomoi Kuda Merah PDRM pernah merangkul banyak kejuaraan termasuk dinobatkan sebagai peninju terbaik Asia dan peninju pertama di negara ini memenangi Contender Asia pada 2008.
Sementara itu, Timbalan Presiden PTKL, Wan Mustapha Wan Sulaiman berkata, walaupun kejohanan ini julung kali diadakan, sambutan penonton amat menggalakkan.
Katanya, PTKL baru ditubuhkan penghujung tahun lalu dan kejohanan ini adalah cabaran pertama persatuan ini untuk memperkenalkan sukan tomoi kepada masyarakat.
“Melihat jumlah penonton yang hadir, saya sifatkan kejohanan ini sebagai berjaya membuka mata masyarakat terhadap sukan ini.
“Walaupun tomoi bukan berasal dari negara ini, ia mempunyai peminat yang agak ramai dan kita juga mempunyai peninju yang hebat,” katanya.
Menurutnya, dia akui sukan ini masih belum berkembang sepenuhnya di negara ini walaupun sudah menjadi sukan utama di negeri yang bersempadan dengan Thailand.
Katanya, tujuan PTKL menganjurkan kejohanan ini bukan semata-mata mahu mencari peninju berbakat besar, tetapi turut memperkenalkan dan mendekatkan lagi sukan ini kepada masyarakat.
“Ia juga adalah salah satu seni membela diri dan walaupun pembabitan lelaki lebih ramai, ia sebenarnya sesuai dipelajari golongan wanita.
“Selain mencergaskan badan, tomoi dapat mengajar diri menjadi lebih tangkas dan pantas selain menguji ketahanan dan kekuatan anggota badan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: