MESKIPUN United Kingdom (UK) sering menjadi destinasi pilihan ‘kaki’ melancong, tujuan penulis berkunjung ke situ baru-baru ini bukan sekadar mahu mencuci mata menyaksikan keindahannya ataupun membeli-belah barangan berjenama.
Kedatangan penulis bersandarkan dua tujuan utama iaitu mengikuti rombongan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyaksikan bintang lumba basikal negara, Azizul Hasni Awang memperagakan bakatnya di UCI Track Cycling World Cup Classic 2010-2011 di Manchester, selain ke Edinburgh bertemu pelajar Malaysia.
Ini berikutan Shabery juga adalah Pengerusi Sekretariat Kelab Umno Luar Negara.
Namun, sudah resmi warga media, sambil menyelam sambil minum air.Menyedari ada ruang ketika lawatan hari pertama, penulis dan rakan menunaikan hajat melawat kelab gergasi bola sepak Inggeris, Manchester United - peluang yang pasti tidak akan ditolak peminat fanatik kelab itu seperti penulis.Bagaikan bermimpi dapat memijakkan kaki ke Old Trafford yang boleh memuatkan 75,957 penonton, iaitu stadium kedua terbesar di negara itu selepas Wembley dan kesebelas terbesar di Eropah.
Alang-alang dapat bertandang ke situ, penulis tidak melepaskan peluang bergambar sakan selain membeli beberapa cenderahati di kedai kelab itu.
Masuk hari kedua, kami bertolak ke Edinburgh dengan kereta api yang mengambil masa tiga jam 20 minit, namun tempoh itu seolah-olah sekejap berikutan penulis berpeluang menikmati pemandangan indah dan panorama hijau sepanjang perjalanan.
Sememangnya, perjalanan dengan kereta api sering menjadi pilihan warga British
di UK memandangkan kenderaan terbabit efisien dan lancar.
Tiba di Edinburgh, penulis berasa teruja melihat keindahan bandar raya kedua terbesar di Scotland itu. Kota itu juga terkenal sebagai pusat pendidikan dan bandar warisan yang diiktiraf Unesco.
Disebabkan itu, kebanyakan bangunan di situ masih mengekalkan seni bina
silam.
Ada empat universiti dan lebih 100,000 pelajar di kota Edinburgh. Institusi pengajian tinggi paling terkenal adalah Universiti Edinburgh.
Ditubuhkan pada 1583, universiti itu keempat tertua di Scotland selepas St Andrew, Glasgow dan Aberdeen.
Sebahagian besar fakulti di universiti itu menumpukan bidang kejuruteraan dan perubatan selain cukup terkenal dalam bidang penyelidikan hinggakan menjadi tumpuan pelajar dari seluruh dunia melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).
Bagi ‘kaki’ melancong, ada banyak perkara yang wajib dibuat bagi menandakan sudah menjejakkan kaki ke sesuatu tempat.
Keutamaan penulis membeli produk Hard Rock apabila menjengah ibu kota yang mempunyai premis itu.
Di Edinburgh, pusat hiburan dan kafe ini menjadi pilihan untuk penulis mencari-cari barangan Hard Rock bagi menambah lagi koleksi produk itu yang dikumpul dari seluruh dunia.
Kehidupan malam di situ tidak pernah mati, pusat hiburan menjadi tarikan kepada pengunjung yang gemarkan suasana kota sebenar.
Itu masa senggang yang kami ada sebelum bertolak ke London pada hari berikutnya juga dengan kereta api East Coast.
Perjalanan hampir lima jam ke kota London dengan perkhidmatan kereta api ini bagaikan tidak terasa apabila ia dimanfaatkan dengan kemudahan Wi-Fi yang disediakan secara percuma kepada penumpang.
Kesempatan menjejak kaki ke situ digunakan sebaik mungkin untuk berkunjung ke London Eye, Big Ben dan turut membeli-belah pelbagai barangan cenderamata di kedai di sekitar Camden Town.
Bagaimanapun, isu bajet diletak pada tangga pertama dalam perkiraan untuk melancong. Bukan enggan mengeluarkan belanja lebih, tetapi merancang perbelanjaan berhemah ketika melancong bakal mendatangkan keuntungan lebih pada diri sendiri.
Justeru, jika bijak merancang, bajet tidak menjadi kekangan pada mana-mana individu yang mahu meneroka ke negara luar meskipun ke negara dalam kategori kelas A.
Di kota London umpamanya, ia bukan saja syurga membeli-belah bagi golongan berada, malah golongan sederhana juga punyai tempatnya untuk berhabisan berbelanja.
Camden Town, sebuah kawasan yang persis Jalan Petaling di Kuala Lumpur. Terletak di barat laut London, dengan perkhidmatan kereta api Tube menjadi pilihan paling utama bagi pengunjung ke situ selain berkereta dan menaiki bas.
Dibuka setiap hari, pelancong boleh mendapatkan pelbagai barangan dengan harga berpatutan. Menariknya, harga boleh dikurangkan lagi sekiranya pelanggan pandai tawar menawar.
Barangan yang dijual tidak kurang menariknya, bak kata orang alah membeli menang memakai.
Dengan persekitaran lot kedai bersih, menarik dan cantik, Camden Town adalah syurga membeli-belah yang menjimatkan.
Bagi meredakan lelah berjalan, pelancong boleh membasahkan tekak dan mengisi perut dengan pelbagai pilihan makanan daripada cita rasa Timur hingga ke Barat.
Menerima kunjungan pelbagai golongan, Camden Town menawarkan pelbagai pilihan makanan seperti menu Cina, Jepun juga Arab.
Malah terdapat juga beberapa kedai makanan halal di sini. Manakala kawasan jalan menyusuri Camden Town ini tidak pernah sunyi daripada persembahan pemuzik jalanan atau Buskers.
Ia adalah pilihan berhibur secara percuma selain berhibur di pub dan juga di bar di kawasan tumpuan ini.
Menambah pilihan lagi turut disediakan pawagam bagi ‘kaki wayang’ yang tidak mahu terlepas peluang menonton filem terkini meskipun dalam mood melancong.
Pendek kata, tempoh empat hari di UK tidak cukup buat penulis kerana masih banyak destinasi menarik belum dikunjungi. Mungkin jika ada rezeki, penulis pasti ke sana lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: