KALAU ditanya siapakah penyanyi remaja yang kini sedang mendaki carta populariti, jawapan yang diterima sudah pasti nama dua bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelapan iaitu Shahir dan Adira.
Adira pun tidak kurang hebatnya. Dia disenaraikan bersama-sama Ana Raffali, Alyah, Stacy dan Yuna untuk kategori Penyanyi Wanita Popular. Dalam kategori Artis Baru Wanita Popular pula, Adira bersaing dengan Ana Raffali, Mizz Nina, Nurul Elfira Loy dan Nur Syuhaida atau Dottie.
Memang kalau diimbas semula, pemenang Artis Baru Lelaki dan Artis Baru Wanita Popular selalunya dikuasai oleh penyanyi lepasan AF. Besar sungguh impak program itu sehingga hampir setiap tahun pemenang untuk kategori itu disapu bersih oleh bekas pelajarnya.
Cuma tahun lalu, kategori Artis Baru Lelaki Popular dimenangi peserta program Mentor, Black, dan Artis Baru Wanita Popular pula menjadi milik Yuna.
Justeru apakah mereka mampu merampas kembali gelaran Artis Baru Popular yang selama ini sering menjadi milik bekas pelajar AF?
Diajukan pertanyaan ini kepada Shahir, jejaka kelahiran Kampar, Perak, itu membalas pertanyaan itu sambil tersenyum. Bukan teruja disebabkan terlalu yakin kemenangan di pihaknya, tetapi dia sendiri sebenarnya kurang yakin langkahnya akan semudah itu.
“Persaingan ini memang sengit. Bukan saja daripada rakan saya sendiri seperti Maulana dan Daus, tetapi juga daripada dua pelakon, Sharnaaz dan Shah Jaszle. Mereka pun ada mempunyai pengikut yang ramai.
“Lagi pun, tidak semestinya bekas pelajar AF berpeluang menggenggam trofi kemenangan itu. Macam tahun lalu, peminat memilih Black daripada program Mentor untuk memegang trofi Artis Baru Lelaki Popular.
“Sebenarnya, apabila tersenarai sebagai Top 5, ia sudah cukup untuk membuktikan bahawa saya masih ada peminat yang sudi untuk mengundi dan meletakkan saya di kedudukan ini,” katanya kepada Hip.
Shahir cukup beruntung kerana mempunyai peminat yang sanggup bersusah payah kerananya. Malah menerusi laman Facebook ABPBH 2010, kempen untuk Shahir cukup giat dijalankan. Hakikat itu disedari penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini.
“Apabila dapat tahu usaha peminat saya itu, saya cukup terkejut kerana mereka sanggup susah payah kerana saya. Saya juga dapat tahu, ada peminat dari Singapura sanggup mengirimkan wang kepada rakan mereka di sini semata-mata mahu kawan-kawan di sini membeli akhbar Berita Harian dan mengundi saya.
“Saya kagum dan sangat hargai usaha peminat itu. Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya luahkan buat mereka. Kalau saya menang, Alhamdulillah, itu satu bonus buat saya dan jika kalah, saya minta peminat yang mengundi supaya tidak kecewa kerana saya tahu mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan saya,” katanya yang akan mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan Riffai pada malam kemuncak ABPBH 2010 nanti.
Mengenai album sulungnya yang masih ditunggu-tunggu peminat, Shahir mengharapkan mereka akan terus bersabar kerana masih ada beberapa lagu yang belum dirakam.
“Selepas Kebahagiaan Dalam Perpisahan, single kedua saya yang berjudul Luar Biasa kini sedang diputarkan di corong radio. Memang sepatutnya album sulung saya keluar dalam bulan Mac, namun disebabkan masalah teknikal, ia terpaksa ditangguhkan. Saya harap peminat bersabar menanti kemunculan album saya itu,” pesan Shahir pada peminatnya.
Gosip jejaskan imej
ADIRA pantas mengecapi populariti apabila lagu Ku Ada Kamu mudah menarik perhatian penggemar muzik. Ketika lagu ciptaan Edry KRU itu masih lagi melekat di hati pendengar, lagu terbaru nyanyian penyanyi dari Sabah berjudul Ilusi terus mengukuhkan nama Adira di persada seni.
Namun, ketika dirinya enak diulit perjalanan manis dalam dunia seni yang sarat dengan glamor ini, muncul pula gosip panas yang sedikit sebanyak menjejaskan nama baiknya. Apakah kemunculan gosip itu mampu memberikan kesan kepada undian penyanyi jelita bertubuh kecil molek ini?
“Dari segi reputasi, saya akui memang gosip itu sedikit sebanyak menjejaskan imej saya. Namun saya bersyukur kerana peminat lebih mempercayai saya daripada gosip terbabit. Saya juga sudah terangkan pada mereka situasi sebenar.
“Soal terjejas atau tidak undian saya, semua itu saya serahkan sendiri pada peminat. Tapi berdasarkan komen yang diberikan menerusi laman sosial seperti Facebook dan juga fan page saya, mereka sentiasa memberikan dorongan dan sokongan yang tidak berbelah bagi, membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan mereka yang terbaik pada masa akan datang,” kata Adira yang akan menggayakan rekaan Hazwani Osman pada malam kemuncak ABPBH2010 nanti.
Ditanya apakah dia turun padang untuk berkempen supaya peminat mengundinya, Adira hanya tertawa kecil. Dalam nada malu-malu, dia mengakui ada juga meminta peminat mengundi dirinya.
“Selalunya saya tulis dalam laman Fan Page saya dan meminta peminat mengundi saya. Sekadar melakukan apa yang termampu. Tapi kalau boleh, biarlah pemilihan itu dilakukan dengan ikhlas. Saya tidak mahu dilihat seperti memaksa mereka pula,” katanya yang kini semakin petah berkata-kata.
Bakal bersaing dengan calon lain seperti Elfira Loy, Ana Raffali, Mizz Nina dan Nur Syuhaida atau Dottie dalam kategori artis baru, Adira dengan rasa rendah diri berkata tidak ada jalan mudah baginya untuk merebut gelaran itu.
“Saingan saya cukup hebat dan apa yang boleh saya katakan, disenarai sama pada kedudukan Top 5 sudah cukup untuk membuatkan saya bangga kerana untuk berada pada tahap ini juga sebenarnya bukan sesuatu yang mudah,” katanya sambil mengakui ABPBH turut memberi impak yang besar dalam memperkembangkan populariti serta kerjayanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: