Monday, March 28, 2011

Jaga kesihatan tulang, jantung

TANGANI SEBAIKNYA...menopaus boleh dilalui dengan tenang tanpa risau dan sedih.
TANGANI SEBAIKNYA...menopaus boleh dilalui dengan tenang tanpa risau dan sedih.
DR ONG...menopaus bukan penyakit tetapi hanya pertukaran fasa dalam kehidupan wanita dan HRT pilihan berkesan untuk menanganinya.
DR ONG...menopaus bukan penyakit tetapi hanya pertukaran fasa dalam kehidupan wanita dan HRT pilihan berkesan untuk menanganinya.

PADA zaman moden ini, boleh dikatakan ramai yang tahu mengenai menopaus terutama wanita. Agak janggal sekiranya ada yang mengatakan tidak tahu-menahu mengenai menopaus atau dalam bahasa yang lebih mudah - putus haid.

Wanita sering diingatkan pada fasa peralihan yang bakal mereka lalui itu yang membawa kepada pelbagai perubahan fizikal, psikologi dan emosi.

Menopaus bukan sekadar putus haid. Ada kesan yang perlu dilalui wanita sebelum dan selepasnya. Kesan paling popular tentu sahaja kedatangan haid yang tidak tetap, rasa hangat seluruh badan dan murung.

Namun, ramai yang kurang tahu mengenai kesan jangka panjang melainkan apa yang harus dilalui ‘sebelum dan selepas’ terjadinya menopaus. Ramai yang lupa bahawa kesihatan tulang dan jantung adalah perkara yang perlu diambil berat dan dirisaukan selepas menopaus.“Selepas menopaus, tulang wanita mudah retak terutama pada lengan, pinggang dan tulang belakang,” kata perunding menopaus, Dr Ong Hean Choon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Buku Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) pertama mengenai Terapi Hormon Semasa Menopaus Di Kalangan Wanita Malaysia.


Namun kata Dr Ong, perlu diingat, menopaus bukanlah penyakit.

“Ia hanya pertukaran fasa dalam kehidupan wanita yang mesti dihadapi pada masa akan datang walaupun dia mahu atau tidak.

“Justeru, pengetahuan mengenai menopaus sangat penting dan perlu diketahui. Apabila tahu sebab dan kesannya, kita tidak akan berasa takut lagi,” katanya.

Ramai yang menganggap menopaus sebagai penyakit yang tiada ubatnya dan kerana itu, rasa takut, risau dan sedih menghantui wanita.

Sekiranya ilmu mengenai menopaus sudah ada di dada, tentu kedatangan menopaus dilalui dengan tenang, relaks dan berlapang dada.

Adakah sebarang perbezaan mengenai menopaus yang dilalui wanita yang berkahwin dan tidak berkahwin?

“Tidak ada bezanya kerana mereka menempuh pengalaman yang sama sahaja. Mungkin wanita tidak berkahwin tidak mempunyai masalah dalam hal yang berkaitan hubungan kelamin,” katanya.

Ada juga wanita yang tidak mengalami simptom menopaus, sebaliknya terus sahaja melalui fasa kedatangan haid yang tiba-tiba berhenti.

“Biasanya wanita hanya risaukan keadaan mereka pada fasa awal dan fasa pertengahan menopaus. Tetapi bagi doktor, kami lebih risau pada apa yang terjadi pada fasa lebih jauh lagi iaitu masalah jangka panjang.

“Osteoporosis dan penyakit jantung contohnya tidak mung�kin terjadi pada awal menopaus, Maka, walaupun anda tidak melalui simptom biasa pada sebelum dan selepas menopaus, anda mesti berwaspada apa yang berlaku pada kesihatan pada peringkat jangka panjang nanti,” katanya.

Ada beranggapan menopaus tidak mengganggu atau mengubah hidup mereka tetapi mereka tetap dinasihatkan tidak mudah mengambil enteng pada kesan sampingannya.

“Kesan paling besar adalah sakit dan sengal sendi serta kekurangan kecergasan fizikal. Tiga gejala menopaus paling biasa dan teratas yang dialami wanita Malaysia ialah sukar tidur, pening kepala dan kurang nafsu seks.

“Apa yang berlaku hanya 30 peratus wanita yang mengadu mengenai keadaan mereka berhadapan dengan masalah menopaus sedangkan 70 peratus lagi sanggup menderita dalam diam,” katanya.

Menurut Dr Ong, terapi penggantian hormon (HRT) adalah pilihan paling berkesan menangani menopaus. Kurang kesedaran terhadap HRT dikaitkan dengan kurang penggunaannya.

“HRT patut menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk menguruskan menopaus. Aspek lain dalam pengurusan menopaus termasuk mengubah suai gaya hidup, mengamalkan diet yang betul, bersenam, berhenti merokok dan mengelakkan pengambilan alkohol,” katanya.

Dua jenis HRT utama adalah Terapi Estrogen dan Terapi Estrogen - Progestin. Setiap individu memerlukan terapi atau dos yang berlainan.

“HRT memberi manfaat kepada wanita menopaus dengan mengurangkan masalah jangka pendek hingga pertengahan, sambil melindungi mereka daripada masalah jangka panjang.

“Faktor utama yang menghalang wanita daripada memulakan HRT ialah kebimbangan terhadap kanser payudara dan perasaan tidak yakin HRT dapat melegakan gejala menopaus.

“Seperti kebanyakan ubat atau terapi, terdapat beberapa kesan sampingan seperti pendarahan bulanan, tompokan darah tidak tetap dan nyeri payudara, yang lebih mudah diuruskan berbanding masalah yang ditimbulkan oleh gejala menopaus itu sendiri,” jelas Dr Ong.

Wanita yang mendapatkan rawatan mengenai menopaus sangat digalakkan membawa bersama orang terdekat mereka terutama suami.

“Suami perlu datang sama bagi memahami apa yang dihadapi si isteri. Apabila suami memahami ia lebih bagus pada pesakit.

“Suami juga perlu memahami kaedah rawatan yang diberi. Jangan pula menopaus menjadi punca keruntuhan rumah tangga. Kebanyakan masalah terjadi kerana suami tidak memahami keadaan yang dilalui isteri,” katanya.


INFO

  • Kolej Obstetrik & Ginekologi, Akademi Perubatan Malaysia (COGAMM) menyediakan buku Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) pertama mengenai Terapi Hormon Semasa Menopaus Di Kalangan Wanita Malaysia.

  • Jawatankuasa CPG dianggotai wakil daripada Kolej Obstetrik & Ginekologi, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia, Persatuan Menopaus Malaysia, Akademi Pakar Perubatan Keluarga Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah naungan Kolej Obstetrik & Ginekologi, Akademi Perubatan Malaysia.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: