BERJAYA Corporation Berhad bersama Yayasan Pendidikan Cheras berkolaborasi menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan meraikan 450 orang kanak-kanak dari 10 buah sekolah sekitar Cheras, Kuala Lumpur di Taman Tema Berjaya Times Square baru-baru ini.
Program itu yang turut meraikan 160 kanak-kanak istimewa, turut dihadiri oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Majlis Jalinan Kasih bersama kanak-kanak istimewa yang dinamakan Shower of Love Celebration itu meraikan empat buah sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Yaakob Latif, Sekolah Kebangsaan Yaakob Latif, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel dan Sekolah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Jalan Batu, Kuala Lumpur.
“Program ini membuktikan bahawa badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak pernah menyisihkan golongan yang memerlukan terutama kanak-kanak istimewa.
“Malah, sebanyak 36 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur menjadi sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras dan separuh daripadanya mempunyai kelas pendidikan khas,” kata Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.
Pada majlis tersebut, semua tetamu turut diraikan dengan persembahan pelajar termasuk juga daripada kanak-kanak istimewa.
Persembahan tersebut mendapat sorakan apabila semua kanak-kanak yang hadir menyanyi dan bertepuk tangan di tempat duduk tetamu.
Dalam pada itu, Pengerusi Berjaya Berhad, Tan Sri Vincent Tan berharap majlis seperti itu dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan cara berkongsi kasih sayang terutamanya bagi mereka yang kurang bernasib baik.
|
|
“Pada hari ini, kami memberi peluang kepada semua kanak-kanak termasuk mereka yang tergolong sebagai kanak-kanak istimewa untuk sama-sama bergembira dengan bermain pelbagai permainan yang terdapat di taman tema ini.
“Kami berharap mereka bersama-sama terhibur dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya yang berharap badan korporat lain turut menganjurkan program seumpamanya.
Golongan istimewa
Dalam ucapan perasmian, Noorainee mencadangkan program pendidikan khas harus diwujudkan di setiap sekolah rendah dan menengah sebagai perancangan strategik bagi membantu golongan istimewa.
“Langkah ini wajar bagi memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa menghantar anak mereka ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah berbanding menempatkan mereka di sekolah khas yang hanya terdapat di sesetengah kawasan sahaja.
“Malah, langkah ini selaras dengan pelaksanaan gagasan 1Malaysia dengan tidak menyisihkan golongan istimewa,” terangnya.
Beliau turut memuji usaha murni Berjaya Times Square dengan Yayasan Pendidikan Cheras. Beliau berharap program seumpamanya dapat diteruskan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa agar manfaatnya dapat dinikmati oleh kumpulan sasaran terutamanya anak-anak istimewa.
Selepas majlis perasmian, kesemua kanak-kanak, guru pengiring dan tetamu jemputan dihiburkan dengan persembahan khas iaitu persembahan pantomin oleh pelajar-pelajar dari SMK Yaakob Latif. Majlis itu juga dimeriahkan dengan persembahan organ oleh seorang pelajar cacat penglihatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: