MELENTUR buluh biar dari rebungnya. Demikian pepatah yang sesuai digunakan untuk merujuk usaha mengajar kanak-kanak dengan sikap dan tabiat yang positif.
Lantaran itu Lifebuoy, jenama sabun perlindungan daripada kuman mengambil inisiatif melancarkan pertandingan unik antara sekolah di seluruh negara 28 Februari lalu dengan matlamat untuk menyemai tabiat menjaga kesihatan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.
Pertandingan yang dinamakan Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy adalah sebahagian daripada kempen misi sosial besar-besaran jenama itu untuk memastikan semua rakyat Malaysia menjadikan tabiat membasuh tangan dan membersihkan diri dengan sabun sebagai satu amalan hidup.
Pelajar sekolah rendah itu diajar melakukan lima perkara penting setiap hari iaitu apabila mandi, selepas menggunakan tandas, sebelum sarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan menggunakan Lifebuoy.
Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy dibuka kepada semua sekolah rendah di seluruh negara di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sekolah dijemput menghantar borang penyertaan yang disiarkan oleh akhbar utama.
Setiap sekolah daripada 16 buah sekolah yang terpilih kemudian akan memilih lima pelajar bersama seorang guru untuk program itu.
Pelajar terpilih tersebut akan menjadi ‘Doktor Kecil’ Lifebuoy atau duta kesihatan untuk sekolah masing-masing. Semua Doktor Kecil bersama guru mereka akan menghadiri kem kebersihan interaktif eksklusif tiga hari dua malam yang dianjurkan oleh Lifebuoy.
Mereka akan belajar cara yang kreatif dan berkesan untuk menggalakkan rakan sekolah mereka mengamalkan tabiat menjaga kebersihan, khususnya membasuh tangan dan membersihkan diri dengan sabun lima kali sehari.
Dalam tempoh enam minggu, pelajar setiap sekolah akan dinilai sejauh mana mereka mengamalkan penjagaan kebersihan atas dorongan dan daya usaha pasukan-pasukan Doktor Kecil.
Sekolah yang menunjukkan pertukaran tabiat paling ketara, dinilai berasaskan senarai kriteria yang ditetapkan, akan menerima pembiayaan untuk mengubahsuai tandas dan kemudahan mencuci tangan dengan kos sehingga RM20,000 dan bekalan sabun Lifebuoy selama satu tahun.
Di samping itu, dua sekolah lain akan menerima bekalan satu tahun sabun Lifebuoy sebagai hadiah sagu hati.
Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy diadakan sejajar dengan komitmen kerajaan untuk membentuk rakyat Malaysia menjadi warga yang mementingkan kebersihan.
“Tekanan positif daripada rakan sebaya boleh menjadi cara yang berkesan untuk menggalakkan anak-anak muda Malaysia mengamalkan tabiat menjaga kebersihan.
“Oleh itu, kami terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelajaran sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk memperkasakan kanak-kanak Malaysia menjadi kuasa penggerak perubahan,” kata Pengarah Penjagaan Rumah dan Peribadi, Unilever (M) Holdings Sdn. Bhd., Ainul Yaqin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: