MENUNGGANG kuda adalah pengalaman yang amat menyeronokkan kepada mereka yang sukakan cabaran, namun tidak ramai yang berpeluang menunggang haiwan tersebut kerana kemudahannya yang terhad dan kosnya yang mahal.
Kepada mereka yang berminat merasai pengalaman menunggang kuda, anda boleh berkunjung ke sebuah pusat ekuin yang baru dibuka di Kampung Rawa Hilir, Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan.
Sukan berkuda kelolaan AS Equestrian yang dimiliki AS Resources Services Sdn. Bhd. menjadi satu lagi produk dalam industri pelancongan di Negeri Sembilan.
Udara segar
AS Equestrian yang mendapat pengiktirafan Majlis Ekuin Malaysia menyediakan kemudahan kelas menunggang kuda, khidmat penjagaan kuda dan pelbagai aktiviti berkaitan kuda, kata Pengarah Urusan AS Resources Services Sdn. Bhd., Saadiah Othman ketika ditemui baru-baru ini.
"Kelas menunggang kuda di AS Equestrian dikendalikan oleh jurulatih bertauliah dan berpengalaman dalam pengendalian kuda.
"Pelatih berpeluang menikmati kehijauan dan kesegaran suasana desa," katanya.
AS Equestrian dibuka sejak enam bulan lalu dengan pelaburan sebanyak RM50,000.
"Setakat ini terdapat 10 ekor kuda di AS Equestrian dan pihak kami bercadang untuk membawa masuk beberapa ekor lagi dalam masa yang terdekat ini," kata Saadiah.
Selain aktiviti menunggang kuda di arena dan trek, terdapat beberapa kemudahan lain seperti restoran dan Homestay Rawa, Lenggeng bagi mereka yang ingin bermalam dan menikmati udara segar dan kesegaran alam semula jadi.
Saadiah berkata, aktiviti sukan berkuda boleh menjadi aktiviti sekeluarga sambil meluangkan masa bermesra dan berinteraksi dengan kuda. Aktiviti seperti itu juga sesuai untuk kanak-kanak mempelajari cara-cara menyayangi haiwan dan alam sekitar.
Menurut Saadiah, setiap orang yang berhasrat menjadi seorang penunggang kuda yang baik memerlukan empat perkara utama iaitu kecergasan, fleksibel, keseimbangan dan sikap yang betul.
Mungkin sesetengah orang berpendapat untuk menunggang kuda hanya membiarkan kuda membuat segala pergerakan. Penunggang hanya mengikut apa yang dilakukan kuda seperti menunggang motosikal.
Dengan kata lain hanya duduk sahaja di atas kuda.
"Sebenarnya tidak, penunggang yang baik mestilah cergas, mempunyai kekuatan otot kaki terutama paha, perut dan belakang. Bahagian ini penting bagi membolehkan penunggang duduk tegap di atas kuda dan mudah untuk mengawal pergerakan kuda.
"Menunggang kuda cukup meletihkan kerana tuntutan fizikal kepada penunggang, jadi semakin cergas seseorang penunggang adalah lebih baik," katanya.
Di samping itu, fleksibel juga ciri penting bagi penunggang untuk membuat perubahan dan pertukaran kedudukan dengan cepat dan mudah.
Pergerakan kuda kadang-kadang mengejutkan, jadi badan penunggang perlu fleksibel untuk mengikut pergerakan kuda.
"Keseimbangan merujuk kepada kedudukan tubuh penunggang ketika menunggang. Ia amat penting supaya penunggang berada tegap di atas kuda dan dapat mengawal kuda ketika menunggang. Jika kedudukan penunggang tidak seimbang, penunggang sukar mengawal kuda dan berkemungkinan boleh jatuh," katanya berkongsi tip.
Saadiah berkata, satu aspek yang paling penting dalam mencapai standard menunggang kuda ialah sikap. Penunggang yang baik mesti dapat memahami dan sekurang-kurangnya menyukai kuda walaupun tidak menyayanginya.
Relaks
"Kuda adalah haiwan yang mempunyai kebolehan 'merasai' dan akan memberi respons terhadap perasaan takut penunggang. Jika penunggang takut atau tertekan, kuda akan lebih rasa takut yang menyebabkan kuda tertekan dan mengambil peluang berkelakuan tidak baik.
"Sehubungan itu, penunggang perlu relaks. Dalam hal ini, menunggang kuda bukan semata-mata penunggang mendominasi kuda tetapi ia lebih kepada perkongsian dan saling mempercayai. Kebanyakan penunggang yang baik biasanya mempunyai hubungan yang amat baik dengan kuda yang ditungganginya," katanya.
AS Equestrian menawarkan pakej menunggang kuda. Setakat ini sambutan sungguh menggalakkan kerana ramai pengunjung tertarik dengan AS Equestrian yang dibuka pada hari Selasa hingga Ahad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: