BENGKEL Sayangi Diri, Sayangi Keluarga Bersama Wanita anjuran majalah Wanita kembali lagi tahun ini untuk siri jelajah bengkel yang telah mencipta kejayaan di lima buah lokasi sebelum ini. Lokasi-lokasi tersebut adalah Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Melaka dan Sabah.
Membuka tirai tahun 2011, Perak terpilih menjadi negeri pertama yang akan menerima kunjungan redaksi Wanita untuk siri bengkel pada kali ini.
Bengkel yang mendapat kerjasama dari Badan Amal Dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (Ybu) itu akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Sultan Idris Shah pada 26 Mac in. Bengkel bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, bengkel itu sudah lama dinanti-nantikan oleh warga Perak.
Menurut Saripah, penganjuran bengkel itu adalah salah satu aktiviti yang mendekatkan majalah Wanita dengan pembaca setianya. “Apabila diberi penghargaan menjadi negeri dan badan amal pertama untuk kerjasama ini, pihak kami amat berbesar hati dan tidak sabar untuk sama-sama memastikan siri bengkel di Ipoh ini berjaya direalisasikan,” katanya pada majlis mengumumkan penganjuran Bengkel Sayangi Diri, Sayangi Keluarga Bersama Wanita di Ipoh baru-baru ini.
Hadir sama ialah Ketua Khidmat Pengurusan Komuniti, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Isfarina Mohd. Bali dan Pengarang Kanan Unit Majalah Keluarga merangkap Pengarang Wanita, Normala Hamzah.
Antara pengisian bengkel itu termasuklah perbincangan isu-isu yang berkaitan kesihatan, kecantikan, keibubapaan, undang-undang dan kerohanian selain pelbagai panduan dan motivasi untuk menjadi insan yang lebih cemerlang.
Barisan panel jemputan yang arif dalam bidang masing-masing bakal menjawab segala kemusykilan berkaitan topik-topik yang akan dibentangkan.
Selain itu, pertunjukan fesyen, demonstrasi solekan dan dandanan, kraftangan serta aktiviti kecergasan selain cabutan bertuah turut memeriahkan majlis.
Bengkel yang mendapat sokongan beberapa penaja iaitu Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Alazo, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan dan D’or Rue itu bertujuan menambah pengetahuan dan melengkapkan para peserta dengan keyakinan diri dalam memikul tanggungjawab sebagai pelajar, pekerja, isteri dan ibu, tidak kira golongan suri rumah mahupun wanita bekerjaya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi redaksi Wanita di talian 03-8926 2999 atau Eksekutif Kanan, Pengurusan Jenama, Iskandar Sani Melan di talian 013-3451 946 atau e-mel iskandar.melan@utusan karya.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: