SELEPAS hampir sejam menunggu, Awie menelefon dan memberitahu: "Saya minta maaf sangat kerana terlewat. Sibuk layan anak-anak sebab mereka tidak sekolah hari ini. Maaf ya. Ini saja masa yang saya ada dengan mereka."
Talian telefon dimatikan. Kurang setengah jam kemudian dia sampai sambil memohon maaf berkali-kali.
Untuk bertemu dan menemu bual Awie pada masa kini memang agak sukar. Jadual kerjanya terlalu padat sejak penghujung tahun lalu. Harus dikejar dengan tekun masa untuk duduk berbicara dengan lelaki ini.
Seperti petang Sabtu lalu, kami bertemu di 'rumah kedua'nya, Istana Budaya. Awie dan produksi LAT Kampung Boy The Musical sedang berkampung di bangunan gah itu untuk memastikan pementasan julung-julung kali teater yang mengangkat kisah hidup kartunis tersohor Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) dipentaskan dengan sukses bermula esok malam sehingga 3 April di Panggung Sari, Istana Budaya.
Duduk di hadapan saya, Awie bertanya, apa sahaja yang ingin dibicarakan, ia dibalas dengan - semua. Semua, tentang Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 43 tahun. Tentang kerjayanya yang semakin tinggi di puncak. Tentang kehidupan peribadinya bersama isteri, Rozana Misbun serta lima cahaya matanya, Puteri Aleeya Antasha, Puteri Aleefa Antasha, Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rizki dan Qasseh. Tentang kisah dirinya yang dilabel gangster, kaki perempuan serta jatuh bangun dia dalam industri.
Awie mengangguk faham dan sambil menikmati minum petang, kami mula berbicara. Bicara kami dibuka dengan keterujaannya membawa karakter hebat Lat. Mengaku pada awal menolak pelawaan produksi sebelum menerimanya kerana terpaksa, kini emosi itu bertukar menjadi bangga. Dia bangga dan rasa bertuah kerana akan mementaskan karakter seorang genius kartun Malaysia yang sepatutnya diangkat sejak dulu lagi.
"Saya akan menyesal jika saya menolak membawa watak Lat. Jujur, pada awalnya, saya tidak berasa takut. Tetapi kini, perasaan itu wujud selepas menyedari betapa besarnya pengaruh Lat bukan sahaja di Malaysia sebaliknya di mata dunia.
"Jika di Barat orang mengagungkan karakter kartun seperti Bart Simpson atau Archie, di Malaysia kita ada Lat. Sebab itu bila saya perasan tentang pengaruh Lat, saya jadi takut. Tapi Insya-Allah saya akan memberi yang terbaik untuk pementasan ini," katanya penuh teruja.
Untuk menguasai Lat dalam versinya, Awie memberitahu dia mengkaji karakter tokoh kartunis itu dalam kesempatan bertemunya. Namun kata Awie, dia tidak boleh 100 peratus menjadi Lat, tetapi apa yang boleh dijanjikan anak kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini adalah dia akan menghembuskan roh Lat di dalam jasad Awie apabila naik ke atas pentas kelak
Sudah mula menjiwai Lat dan menguasai dialog selain masih gigih berusaha menghafal lirik lagu muzikal tersebut, Awie saat ditanya tentang kecenderungannya bermain teater memberitahu dia menggunakan kesempatan yang ada dengan sehabis baik untuk memaksimumkan kemampuan diri.
Apabila diberi kepercayaan untuk bermain di gelanggang teater yang diketahui selalu menjadi gelanggang paling agung anak seni sejati, dia tidak mahu mempersiakannya. Maka sebab itu sejak Cuci The Muzikal, kakinya bagai sudah terpasak di pentas teater.
Tahu ada segelintir pemain teater sejati kurang senang dengan kehadiran pelakon komersial sepertinya bermain di lapangan yang sama, kata Awie penuh makna: "Saya buat kerana minat dan mahu mengembangkan industri seni kita. Apa salahnya kita berkongsi ilmu bersama dan meraikan ia bersama juga."
Jutawan
Mengajak Awie berbicara tentang perjalanan kariernya sejak dulu, dia mengaku ada banyak gelombang besar yang telah ditempuhinya. Paling mengguris hati vokalis Wings ini adalah apabila dia dihentam teruk selepas putus tunang dengan Erra Fazira sekitar tahun 1997.
Tiga tahun dia menyepi kerana kecewa dengan industri. Katanya: "Saya hanya manusia biasa dan apabila dihentam teruk selepas putus tunang, saya sangat kecewa.
"Jadi saya ambil keputusan untuk 'keluar bersiar-siar' sebentar. Dalam jangka waktu tiga tahun itu, kehidupan ekonomi saya memang tidak begitu stabil. Saya buat banyak pekerjaan seperti jual minyak wangi dan menyanyi di fun fair. Merata tempat saya pergi.
"Pada masa yang sama, saya sibuk buat kerja belakang tabir sehingga lahirnya Kristal dan Dragon Malaya. Tiga tahun vakum, saya rasa kemaruk untuk menyanyi semula. Kebetulan arwah J.S Kevin mempunyai pemikiran yang sama dengan saya untuk kembali bersatu dengan Wings. Sejak tahun 2000 saya kembali aktif semula," cerita Awie yang cukup berbangga dengan Wings kerana kombinasi dia, Joe, Black dan Eddie tidak pernah bubar walau sesekali berlaga ego.
Diminta mengenang kemanisan sebagai anak seni pula, Awie membocorkan satu hal bahawa dia pernah memegang status jutawan pada usianya 25 tahun pada tahun 1995. Pada waktu itu, dia meledak dengan filem-filem hit seperti Sembilu dan Bara. Malah lagu-lagu solonya turut menjadi faktor kewangannya menjadi kukuh.
"Itu dulu. Saya memang pernah jadi jutawan. Tapi sekejap saja sebab saya banyak membuat kesilapan dalam pelaburan. Waktu itu saya gila membeli aset seperti bangunan, namun ada bangunan yang dibeli terbengkalai dan sebagainya. Jadi aset yang tinggal tidak sebanyak dulu," akuinya jujur.
Ditanya mengapa memilih membeli bangunan pada usia muda berbanding menghabiskannya untuk berfesyen, jawab Awie: "Saya mahu kehidupan mendatang buat keluarga, terutama anak-anak saya, terjamin. Sebab itu saya suka kumpul aset."
Emosi kaki pukul
Label kaki pukul atau gengster juga sangat sinonim dengan Awie. Awie pukul orang itu, Awie belasah orang ini, Awie bertumbuk di kelab malam dan banyak lagi.
Awie senyum kelat apabila persoalan kaki pukul dibangkitkan. Kemudian, panjang sejarah bagaimana dia boleh dikaitkan dengan isu sebegitu diceritakan Awie. Namun secara ringkas, katanya, dia tidak akan mengganggu orang jika orang tidak mengganggu dirinya.
Malah dia akui, dia adalah seorang lelaki yang agak baran. Terutama sewaktu muda, namun sifat barannya mula kendur apabila usia meningkat.
"Saya juga nak buktikan bahawa artis kita bukan lembik dan jangan selalu dibuli. Saya sedih apabila melihat rakan seperjuangan dibaling telur, dilempar batu atau apa saja kerana dibenci peminat.
"Kami golongan artis juga ada maruah dan emosi. Jadi jangan sesuka hati melakukan penghinaan terhadap kami," katanya ringkas.
Soalan terakhir yang dijolok kepada Awie adalah tentang label kaki perempuan. Awie senyum lagi, menghela nafas panjang sebelum menjawab: "Saya akui, saya seorang yang nakal. Tapi bukan jahat.
"Sepanjang saya menjadi artis, saya tidak pernah menyorokkan kekasih saya. Kalau saya kaki perempuan, saya tidak akan menonjolkan wanita yang bersama saya. Jadi masyarakat boleh menilai sendiri."
Saat ditanya dalam hidup, berapa kali dia benar-benar jatuh cinta, Awie terdiam lama. Perlahan-lahan kemudian dia menjawab: "Lebih kurang tiga kali. Kini cinta saya hanya untuk isteri serta anak-anak."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: