|
|
UMPAMA pucuk dicita, ulam mendatang. Tawaran ber lakon di bawah pengarah Badarudin Haji Azmi yang lebih dikenali sebagai Bade yang singgah kepada Roslan Shah dan pendatang baru Amar Baharin atau Amar menerusi drama komedi bersiri, Darling sememangnya merungkai sebuah penantian sejak sekian lama.
Impian untuk berlakon di bawah arahan Bade sudah lama terpasang di dalam hati kedua-dua pelakon itu yang me nyifatkan Bade merupakan seorang pengarah yang mempunyai nama dan bakat besar.
Menurut Roslan, kali pertama bekerja dengan Bade menerbitkan rasa yang bercampur-baur kerana pengalaman pertama adalah satu detik penting untuk menonjolkan kredebilitinya sebagai pelakon.
“Saya memang sangat teruja apabila ditawarkan untuk berlakon di bawah Bade. Saya rasa takut, berdebar meskipun pada saya hanya diperlukan untuk melakonkan dua babak sahaja sebagai penampilan khas.
“Barangkali selepas melihat komitmen yang saya berikan terhadap Darling, watak saya ditambah lagi kepada 12 babak dan menjadikan ia keseluruhannya 14 babak.
Meskipun itu bukan watak komedi pertama lakonannya, Roslan mengakui berdepan dengan cabaran melakonkan watak Shariman kerana dia perlu bertutur mengikut loghat Negeri Sembilan.
Mengakui menerima tawaran lakonan bukan untuk menunjukkan kehebatan diri, tetapi dia lebih selesa mengklasifikasikan sisi berlakon untuk memperbetulkan pembawaan watak.
“Saya menerima tawaran berlakon bukan untuk nampak hebat, tetapi saya rasa ia sebagai latihan untuk mengasah pembawaan watak,” katanya yang akan muncul dengan sebuah drama di TV2 pada bulan April iaitu Mawar Desa Anggerik Kota.
Drama komedi Darling sebanyak 13 episod telah mula ditayangkan pada 1 Mac lalu menerusi saluran Astro Warna pada setiap Selasa pukul 9 malam.
Darling turut menampilkan Datuk Jalaluddin Hassan, Ifa Raziah, Kuna, Watie Elite, dan Zarina AF.
Sementara itu, pendatang baru, Amar yang lahir daripada program realiti Anak Wayang (AW) turut berkongsi rasa bertuah kerana hajat untuk bekerja dengan salah seorang pengarah yang menjadi idolanya telah termakbul.
Menyifatkan Bade sebagai seorang pengarah yang ringkas dan kreatif, Amar turut memendam impian untuk berada di posisi Bade di masa akan datang.
“Bade merupakan seorang pengarah yang hebat, relaks dan kreatif. Shot yang diambil semuanya ringkas, tetapi menarik dan kreatif.
“Sebelum ini saya hanya pernah lihat dia menghasilkan filem genre lasak, tetapi yang menariknya, apabila dia mengarah karya komedi, ia pun tidak kurang hebatnya.
“Melihat kepada bakat dan karisma yang ada dalam diri Bade, saya turut menyimpan cita-cita untuk duduk di depan monitor, tetapi bukan sekarang. Disebabkan itu, saya gemar duduk di sebelah pengarah apabila tiada babak yang melibatkan saya untuk melihat kreativiti mereka menghasilkan babak yang cantik,” kata pemuda berusia 26 tahun itu.
Bercerita lanjut tentang Darling, Amar yang terlibat dalam setiap episod drama itu mengakui selesa melakonkan watak komedi kerana baginya, watak komedi memberikan dia kebebasan sepenuhnya.
Pernah melakonkan watak serius, menurut Amar, ia memerlukan dia bermain dengan perasaan dalaman dan kadangkala mengalirkan air mata.
“Watak berat meletihkan, tetapi ia adalah cabaran yang hebat untuk dilakonkan, tetapi jika komedi, saya baru lepaskan perasaan sehabis mungkin,” kata jejaka yang akan tampil dengan sebuah lagi drama rantaian yang menyaksikan gandingannya dengan Scha Al-Yahya menerusi Mimi Mencari Cinta.
Biarpun tersingkir awal daripada AW, Amar bersyukur kerana perjalanan seni yang dilaluinya kini cerah dan tawaran lakonan yang diterima juga tidak mengecewakan.
Mengimbas kembali perjalanan hidup Amar sebelum bergelar pelakon, dia mula aktif sebagai model iklan ko mersial sejak tahun 2003.
“Selepas terlibat dalam komersial, saya ada berlakon, tetapi tidak serius. Tidak lama selepas itu, saya bekerja sebagai pelatih peribadi di sebuah gim.
“Pada masa yang sama, saya tidak pernah putus asa untuk terus berlakon dan pada tahun 2009, saya terpilih sebagai salah seorang calon Anak Wayang. Namun tuah tidak menyebelahi saya dan saya terkeluar awal.
“Begitupun, saya menganggap Anak Wayang adalah paltform saya untuk mula serius dalam industri lakonan,” tutur pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Selepas dikenali menerusi beberapa drama termasuk Kau dan Aku, Amar turut mengintai peluang untuk beraksi di layar lebar pada masa akan datang.
Katanya, dia tidak mahu tergesa-gesa untuk beraksi dalam filem kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari sebagai seorang pelakon yang masih hijau.
“Tawaran belum ada. Kalau ada rezeki dan watak itu saya boleh saya bawa, mungkin saya akan ambil, tetapi jika ia terlalu berat dan tidak sesuai dengan tahap saya yang masih baru, mungkin saya kena tolak.
“Buat masa sekarang, saya mahu terus aktif dalam drama dan jadual saya sudah padat sehingga bulan Jun,” ujar pelakon kelahiran Kajang itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: