PAMPASAN...Nik Mohamed (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM27,800 kepada Norasilah di Kuantan, Pahang, semalam.
ASM Investment Services Berhad (ASM Investment) wilayah Pahang mencatat jualan sebanyak RM3.5 juta menerusi 6,600 pelabur individu dan 76 syarikat korporat di Pahang, Kelantan dan Terengganu sejak beroperasi Jun 2009.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff berkata, kejayaan itu diraih hasil kerjasama padu antara Pejabat Wilayah Pahang dengan perunding unit amanah di tiga negeri terbabit menerusi aktiviti pembukaan gerai jualan di lokasi strategik, taklimat di jabatan kerajaan, organisasi, koperasi dan industri.
Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai 51 perunding unit amanah yang membantu memasarkan dana unit amanah kepada pelabur di ketiga-tiga negeri itu.
“Perlindungan takaful ditawarkan menerusi produk syariah banyak membantu waris serta pelabur sendiri dan pemahaman mengenai saham amanah itu memberi keyakinan kepada mereka untuk melabur.
“Selain perlindungan takaful, kami juga menguruskan dana pelaburan berprinsip syariah dan memastikan semua pendapatan daripada pelaburan memenuhi keperluan syariah,” katanya pada Hari Penghargaan Pelabur Pahang dan ‘ASM Investment Community Reach’, di Kuantan, Pahang.
Pada majlis itu, Norasilah Mohamed Zin, 37, menerima pampasan takaful sebanyak RM27,800 menerusi pelaburan Allahyarham ibunya, Kalthom Othman yang melabur dalam Dana Al-Aiman, Dana Bestari dan ASM Dana Mutiara.Nik Mohamed Zaki berkata, ASM Investment sudah menyerahkan pampasan perlindungan takaful kepada pelabur dan waris pelabur sebanyak RM2.82 juta sejak 13 tahun lalu.
ASM Investment adalah anak syarikat milik penuh Amanah Saham Mara Berhad (ASMB) iaitu anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara).Beliau berkata, ASM Investment sedang merancang mewujudkan ASM Investment Advisory Desk (Asmad) di pejabat Mara terpilih seluruh negara.
“Asmad akan dikendalikan perunding unit amanah kami sendiri yag memberi khidmat nasihat pelaburan saham amanah kepada pelabur dan bakal pelabur.
“Kami yakin, dengan adanya Asmad, ASM Investment akan terus dikenali ramai selain dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kami,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bakal membuka 30 Asmad masing-masing 17 pada separuh penggal pertama dan 13 lagi pada separuh penggal kedua di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: